fbpx

RM22 Juta Disalurkan Oleh Tabung Haji Bagi Program Politik

Oleh : Wan Syarafiz
03 Disember 2018 - 4:47 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Dua laporan polis telah dibuat berkaitan penyelewengan dana berjumlah sebanyak RM22 juta serta penjualan 95% pegangan milik anak syarikatnya yang dilaporkan berjumlah kira-kira RM3.8 bilion
  • 3,954 pendeposit Tabung Haji telah menutup akaun simpanan mereka pada tahun 2016 berikutan artikel yang disiarkan oleh Rafizi Ramli

 

Sebanyak RM22 juta telah disalurkan oleh Tabung Haji kepada aktiviti berunsur politik. Ini adalah berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh Tabung Haji terhadap beberapa bekas pemimpin tertingginya.

 

Baru-baru ini, dua laporan polis telah dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berkenaan penyelewengan dana berjumlah sebanyak RM22 juta serta penjualan 95% pegangan milik anak syarikatnya yang dilaporkan berjumlah kira-kira RM3.8 bilion.

 

Beberapa nama telah dinyatakan dalam laporan polis tersebut, antaranya ialah bekas Pengerusi, Datuk Seri Azeez Rahim; bekas CEO, Datuk Seri Johan Abdullah serta beberapa pegawai kanan lain seperti Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan dan Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid.

 

Image result for tabung haji
Kredit: mStar

 

Dua laporan telah dibuat yang mana laporan pertama adalah melibatkan program Yayasan Tabung Haji dengan penyalahgunaan dana sebanyak RM22 juta dikatakan telah digunakan bagi membiayai aktiviti berkaitan politik.

 

Laporan kedua pula dibuat ekoran daripada penjualan pegangan anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Indopalms Sdn Bd dan TH Indo Industries Sdn Bhd dalam syarikat PT TH Indo Plantations sebanyak 95% kepaada PT Borneo Pacific dengan harga RM3.8 bilion pada tahun 2012.

 

Seperti yang kita tahu, Tabung Haji merupakan satu badan yang bertaggungjawab untuk memastikan pencarumnya dapat melaksanakan ibadah haji. Sekiranya benar laporan RM22 juta ini digunakan bagi aktiviti politik, berita ini adalah satu perkara yang amat mendukacitakan buat 9.3 juta pencarumnya.

 

Jika anda masih ingat pada tahun 2016, Rafizi Ramli pernah menyiarkan satu artikel berkaitan Tabung Haji yang mana beliau telah menyatakan bahawa Tabung Haji telah mengalami kerugian serta tidak mempunyai wang untuk membayar dividen pendeposit.

 

Artikel terebut telah menjadi tular dan menyebabkan seramai 3,954 pendeposit Tabung Haji telah menutup akaun simpanan mereka.

 

Walau bagaimanapun, Datuk Asyraf Wajdi (Timbalan Menteri Agama pada waktu itu) telah mempertahankan Tabung Haji dan menyatakan bahawa umat Islam di Malaysia harus berpegang kepada prinsip tabayyun dan tidak mudah dipengaruhi oleh maklumat tidak tepat yang disebarkan melalui media sosial.

 

Image result for asyraf wajdi tabung haji
Kredit: FMT

 

Tetapi sekarang apa sudah jadi?

 

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin dalam satu kenyataannya telah mengucapkan tahniah kepada pegawai Tabung Haji kerana mempunyai integriti untuk melaporkan penyelewengan ini kepada pihak polis.

 

Ulya dalam masa yang sama juga mempersoalkan di manakan Asyraf Wajdi apabila penyelewengan ini berlaku kerana Asyraf Wajdi merupakan timbalan menteri agama pada waktu tersebut dan seharusnya beliau bertanggungjawab memastikan hak-hak agama Islam ini terjaga.

 

“Kenapa terus diam dan tidak bersuara menegakkan keadilan demi agama dan bangsa?”soal Ulya kepada Asyraf Wajdi.

 

Kenyataan ini kemudiannya dibalas oleh Asyraf Wajdi yang mewakili suara Pemuda UMNO dengan mendesak pihak berkuasa terutamanya PDRM untuk menyiasat laporan yang dibuat terhadap Tabung Haji itu.

 

Asyraf Wajdi yang merupakan Ketua Pemuda UMNO menyatakan harapan beliau supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya rakyat tidak berterusan ‘bertanggapan buruk’ terhadap reputasi institusi Islam tersebut.

 

“Biar proses perundangan berjalan dengan adil, telus, tanpa prejudis di mahkamah kelak dan bukannya dihukum di pentas media. Pemuda UMNO menegaskan bahawa isu berkaitan integriti dan moral tidak boleh sesekali dikompromi apatah lagi apabila melibatkan institusi agama yang diharapkan rakyat mengamalkan prinsip tadbir urus pada tahap yang lebih tinggi,” ujar Asyraf Wajdi

Selain itu, Datuk Seri Azeez Rahim telah mendakwa bahawa laporan polis yang dibuat itu adalah berniat jahat. Menurut beliau, RM22 juta itu adalah merupakan wang yang telah dikumpulkan oleh Yayasan Tabung Haji dengan memperoleh dana daripada pelbagai pihak korporat, kerajaan dan UMNO.

 

Apakah nasib pendeposit Tabung Haji selepas ini?

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berharap pendeposit Tabung Haji tidak gusar akan berita ini dan menyatakan jaminan bahawa semua simpanan pendeposit adalah selamat.

 

“Perniagaan adalah seperti biasa bagi kami. Pendeposit harus meletakkan kepercayaan bahawa Tabung Haji akan memastikan simpanan mereka selamat,” ujar Datuk Seri Zukri Samat.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…