fbpx

Saham Manchester United Naik 5.78% Dengan Pemecatan Mourinho

Oleh : Wan Syarafiz
20 Disember 2018 - 5:05 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Nilai saham Manchester United PLC telah melonjak naik kepada USD18.30 bagi satu unit selepas pemecatan Mourinho
  • Semenjak Ogos lalu, nilai pasaran Manchester United PLC telah susut kira-kira USD1 bilion.

 

Keyakinan pelabur terhadap Manchester United telah bertambah sebaik sahaja Mourinho dipecat. Ini berdasarkan harga saham Manchester United PLC yang telah meningkat naik sebanyak 5.78% di New York Stock Exchange.

 

Selepas bersama kelab Manchester United untuk tempoh hampir dua tahun setengah, Pengurus kelab, Jose Mourinho yang bergelut untuk membawa kelab tersebut ke puncak kejayaan akhirnya telah diarahkan untuk meninggalkan Old Trafford.

 

Keputusan ini sudah pasti menggembirakan ramai pihak terutamanya peminat Manchester United di seluruh dunia yang dianggarkan berjumlah sekitar 659 juta orang.

 

Mourinho sebelum ini yang pernah mememegang jawatan Pengurus di Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan mula berkhidmat untuk Manchester United pada tahun 2016 dan telah berjaya membawa kelab tersebut memenangi Piala Carabao pada musim pertama beliau serta menjuarai Piala UEFA Europa pada musim 2016-2017.

 

Namun pada musim ini, selepas kekalahan 3-1 kepada kelab Liverpool, Manchester United hanya berjaya mengumpul 26 mata keseluruhan selepas 17 perlawanan dan menjadikan musim ini adalah yang terburuk dicatatkan selepas 28 tahun.

 

Kredit: Twitter Manchester United

 

Sama ada anda suka atau tidak kepada Mourinho, satu fakta yang anda tidak boleh sangkal ialah beliau telah memberi kesan yang buruk kepada harga saham Manchester United PLC.

 

Dalam tempoh dua tahun setengah beliau memegang jawatan sebagai Pengurus, harga saham Manchester United telah jatuh sebanyak 12%. Untuk tempoh yang sama juga, harga saham kelab Borussia Dortmund telah meningkat dua kali ganda manakala harga saham kelab Juventus pula telah meningkat lebih daripada empat kali ganda.

 

“Apabila sesebuah kelab membuat keputusan untuk menukar Pengurus, ia sentiasa menjadi tanda tanya adakah keputusan tersebut diambil atas dasar perniagaan atau dasar prestasi dalam sukan,”

 

“Sebenarnya, keputusan yang diambil merangkumi kedua-duanya. Jika anda berjaya menjana wang di luar padang, anda akan mempunyai lebih dana untuk dilaburkan ke dalam pasukan,” ujar Dan Jones, Ketua Unit Sukan Global Deloitte.

 

Selepas tewas kepada Liverpool, usaha Manchester United untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UEFA Champions League) musim hadapan dilihat semakin sukar.

 

Sekiranya gagal ke Liga Juara-Juara, ia sudah pasti akan memberikan impak yang besar kepada pertumbuhan pendapatan kelab tersebut.

 

Menurut penganalisa bank pelaburan Jefferies, Manchester United mampu menjana pendapatan sebanyak USD93 juta melalui hak penyiaran (broadcast revenue) sekiranya layak sehingga ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

 

Jumlah ini adalah jauh lebih tinggi daripada apa yang diterima Manchester United ketika menjuarai Piala UEFA Europa 2016-2017 sebanyak USD51 juta.

 

USD51 juta itu diraih berdasarkan kejayaan mereka menjuarai Piala UEFA Europa, tetapi sekiranya mereka gagal melepasi peringkat kumpulan, jumlah itu akan menjadi jauh lebih kecil dan sudah pasti mengurangkan lagi pendapatan keseluruhan kelab.

 

Bermula musim hadapan pula, pendapatan keseluruhan melalui hak penyiaran Liga Juara-Juara akan lebih meningkat. Untuk tempoh tiga musim lepas bermula dari musim 2015-2016, nilai keseluruhan bagi hak penyiaran ialah EUR3.77 bilion. Jumlah ini akan meningkat kepada EUR5.9 bilion.

 

Kredit: Bloomberg

 

Melihat kepada prestasi pasukan di bawah kendalian Mourinho, adalah amat sukar mereka untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dan sudah pasti pendapatan kelab akan juga terus merosot.

 

Ini belum diambil kira klausa daripada penaja yang akan mengurangkan pembayaran sekiranya mereka gagal ke kejohanan tersebut. Adidas mempunyai klausa seperti itu pada tahun 2016.

 

Mengambil kira situasi ini, wujud kerisauan terhadap keyakinan pelabur yang akhirnya menyebabkan harga saham telah menurun.

 

Walau bagaimanapun, sehari selepas pemecatan Mourinho, saham Manchester United PLC telah melonjak naik sebanyak 5.78% kepada harga USD18.30 satu saham. Peningkatan ini dilihat sebagai petanda yang baik kerana semenjak Ogos yang lalu, nilai pasaran mereka telah susut kira-kira USD1 bilion.

 

Kredit: Bloomberg

 

Ini adalah sangat jauh berbeza jika dibandingkan pada permulaan musim. Ketika musim 2018-2019 baru bermula, saham mereka pada waktu itu bernilai USD27.70 bagi satu saham yang menjadikan nilai pasaran keseluruhan ialah USD3.1 bilion.

 

Sekiranya prestasi buruk Manchester United ini hanyalah untuk satu musim atau dua musim sahaja mungkin masih boleh diterima. Tetapi kini sudah masuk tahun kelima sejak mereka kali terakhir memenangi kejuaraan EPL.

 

Wujud kerisauan dalam kalangan pelabur sekiranya perkara ini berterusan ia akan menjejaskan pendapatan kelab serta mengurangkan nilai komersial mereka di seluruh dunia.

 

Namun teka-teki siapakah yang akan menjadi Pengurus Manchester United selepas ini masih belum terjawab. Jika Pengurus baru tersebut masih gagal mengembalikan zaman kegemilangan Manchester United, maka pendapatan dan nilai komersial kelab itu akan terus menurun dan akhirnya akan menyebabkan harga saham terus jatuh merudum.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…