Sampai Bila Perlu Pengsan Untuk Beli Tiket Bola?
- UEFA menggunakan pendekatan penjualan tiket bola menggunakan aplikasi telefon pintar dengan teknologi blockchain
- Pada tahun 2023, pasaran tiket pintar dijangka mencecah nilai sehingga USD20.4 bilion berbanding hanya USD10.1 bilion pada tahun ini
Kecoh! Begitulah yang terjadi di Malaysia setiap kali muncul perlawanan bola sepak penting. Berebut-rebut mendapatkan tiket, kewujudan ulat tiket, malah sistem penjualan yang disifatkan masih di takuk lama menghantui peminat dan penyokong bola sepak tempatan.
Semangat berkobar-kobar untuk memberikan sokongan luntur kerana sistem tidak teratur ini. Setiap kali dalam kesesakan seperti itu, pasti ada sahaja kejadian pengsan dan kita bimbang jika keadaan ini tidak ditangani dengan baik pasti sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku.
Tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku, berdasarkan kepada tinjauan yang dibuat Ahad lalu, semasa ribuan rakyat Malaysia sedang berasak-asak mendapatkan tiket, didapati kaunter tiket yang dibuka terlalu sedikit, sedangkan jumlah pintu dan jumlah kaunter sebenarnya banyak dan boleh dimanfaatkan dengan baik. Malah penghadang besi juga tidak disediakan bagi memudahkan proses pembeli tiket untuk beratur dan mengelakkan sebarang kekecohan.
Namun begitu, selain daripada soal kekurangan persediaan, kita dapati sikap segelintir yang datang membanjiri kaunter tiket juga tidak menunjukkan teladan yang elok. Sebaik sahaja kaunter dibuka mereka dilihat terus berpusu-pusu sehingga ada ketikanya boleh mencetuskan pergaduhan.

Sementara itu, wartawan akhbar Nghe An dari Vietnam, Tran Van Trung menyifatkan apa yang dilihatnya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad lalu sebagai sesuatu yang gila.
“Saya tak pernah melihat suasana seperti ini, orang ramai beratur sejak tengah malam. Ini lebih gila daripada penyokong Vietnam!” katanya.
Di sebalik terdetik rasa bangga kita terhadap semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sehingga sanggup bermalam di hadapan kaunter untuk mendapatkan tiket, kita juga harus memikirkan sesuatu bagaimana di Vietnam, perkara seperti ini tidak berlaku.
Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan Van Trung, beliau memaklumkan Vietnam menjual tiket aksi separuh akhir dan akhir sepenuhnya menggunakan sistem dalam talian.
“Di Vietnam, tiket secara fizikal hanya dijual semasa peringkat kumpulan sahaja. Bagi aksi separuh akhir dan perlawanan akhir, semua tiket dijual secara online,” katanya.
Di Malaysia situasinya jelas berbeza apabila FAM mengumumkan jualan secara online hanya untuk 40 ribu tiket, manakala baki 40 ribu lagi dijual secara fizikal. Lebih memburukkan keadaan selepas proses penjualan selesai, muncul iklan-iklan ulat tiket yang menawarkan tiket pada harga tidak masuk akal, malah ada yang mencecah sehingga RM500.
Jelas di sini bahawa sistem pengenalan diri dan jumlah kuota tiket untuk seorang pembeli masih lemah dan gagal membendung ulat tiket yang ada.
Sewajar semua pihak yang bertanggungjawab menilai hal penjualan tiket ini secara serius kerana ia bukan kali pertama berlaku dan kita sepatutnya sudah belajar dari kesilapan yang lepas.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah mengumumkan usaha berterusan untuk memastikan proses penjualan tiket untuk perlawanan-perlawanan yang dikendalikan mereka menjadi lebih mudah dan selamat. Terbaru UEFA menggunakan pendekatan penjualan tiket menggunakan aplikasi telefon pintar dengan teknologi blockchain.
Sistem ini pertama kali diguna pakai sepenuhnya untuk perlawanan UEFA Super Cup yang lalu di antara Real Madrid menentang Atletico Madrid. Sistem ini secara keseluruhannya dianggap cemerlang kerana ia berjaya mengelakkan kejadian ulat tiket dan penonton tidak perlu lagi bersusah payah mengharung kesesakan untuk mendapatkan tiket.
Lebih menarik sistem tiket ini turut diintergrasikan dengan sistem kemasukan ke stadium. Ia digabungkan melalui penggunaan sistem Bluetooth pada peranti anda dan pada pintu masuk stadium.
Malah UEFA kini bercadang untuk meluaskan penggunaan sistem yang sama kepada semua perlawanan bola sepak melibatkan ahli gabungannya juga supaya ia tidak lagi menimbulkan kepayahan dan jelas memberikan lebih keuntungan kepada pengguna dari pelbagai sudut.
Di Eropah kita dapat melihat sendiri tiket sebagai sesuatu yang penting dan memiliki nilai. Setiap orang yang ingin menonton perlawanan bola sepak, pada tiket mereka tercatat nombor barisan dan nombor kerusi. Maka tiket berkenaan mengesahkan setiap pembeli akan mempunyai tempat duduk.
Ini amat berbeza di Malaysia, di mana kita sering kali akan melihat bagaimana penonton membeli tiket, tetapi tidak mendapat tempat duduk. Jelas di sini terdapat kepincangan yang perlu dilihat.
Sistem penjualan tiket dalam talian di Malaysia khasnya untuk perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 ini juga tidak kondusif. Ini kerana pembeli yang telah membeli tiket perlu menebus tiket pula di kaunter stadium. Alangkah lebih baik seseorang pembeli itu dapat diberikan pilihan untuk mencetak tiket sendiri atau sekadar menunjukkan telefon bimbit mereka kepada penjaga tiket sebelum memasuki stadium. Ini lebih baik dan mesra.
Pihak bertanggungjawab dalam urusan ini seperti FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia wajar mengambil kesempatan terhadap perkembangan teknologi pada hari ini untuk memudahkan rakyat dan peminat bola sepak serta sukan amnya. Pasaran tiket pintar kini dilihat akan terus berkembang dengan meluas.
Pada tahun 2023, pasaran tiket pintar dijangka mencecah nilai sehingga USD20.4 bilion berbanding hanya USD10.1 bilion pada tahun ini dan sewajarnya bermula pada tahun hadapan kita sudah mampu untuk melihat pengurusan tiket acara sukan di Malaysia menjadi lebih cekap seiiring dengan keupayaan dan keperluan teknologi.