fbpx

20% Perokok VS 80% Bukan Perokok. Keutamaan Kepada Siapa?

Oleh : Kapital
03 Januari 2019 - 3:21 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Dianggarkan 27,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun kerana penggunaan tembakau
  • Kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM7.4 bilion menjelang tahun 2025 bagi merawat pesakit yang merokok

 

Bermula 12 malam 1 Januari 2019, larangan merokok telah dikuatkuasakan di semua premis makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mengikut larangan merokok yang diwartakan ini, mana-mana individu yang ingkar akan didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

 

Bagi pengusaha kedai makan yang gagal mematuhi peraturan pula akan didenda sebanyak RM3,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan jika didapati bersalah.

 

Melihat kepada penguatkuasaan larangan merokok ini, ia telah mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif daripada banyak pihak. Adakah ia satu polisi yang bagus?

 

Baca: Kerajaan Bakal Kutip RM5.3 Bilion Daripada Cukai Rokok

Baca: Merokok Dan Alternatif Kepada Rokok – Antara Persepsi Dan Realiti

 

Untuk menyatakan ia polisi yang tidak bagus adalah amat tidak tepat kerana tujuan utama larangan merokok ini dilaksanakan adalah bagi membendung budaya yang kurang sihat terutamanya apabila orang yang tidak merokok juga terkena tempiasnya.

 

Menurut kajian yang dilaksanakan oleh American Cancer Society, dianggarkan setiap tahun seramai 27,000 rakyat Malaysia mati kerana penggunaan tembakau. Kadar kematian 27,000 orang setahun ini adalah bersamaan dengan satu kematian setiap 20 minit!

 

Budaya merokok ini bukan sahaja membahayakan perokok tetapi juga kepada orang yang berada di sekitar perokok (secondhand smoker). Ia boleh menyebabkan secondhand smoker ini terdedah kepada risiko penyakit seperti kanser paru-paru, bronchitis dan bermacam-macam lagi.

 

Image result for dilarang merokok 2019
Kredit: SAYS

 

Malaysia bukanlah negara pertama yang menguatkuasakan larangan merokok ini. Banyak negara lain di seluruh dunia juga telah mengambil inisiatif yang sama untuk menguatkuasakan larangan merokok di kawasan tertentu.

 

Sebagai contoh di England, larangan merokok di tempat kerja telah dikuatkuasakan pada tahun 2007. Selepas tempoh 5 tahun larangan itu berjalan, kadar pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat sakit jantung telah menurun sebanyak 42% bagi lelaki dan menurun 43% bagi perempuan.

 

Ini terbukti menunjukkan penguatkuasaan merokok sebenarnya memberi impak yang lebih baik kepada rakyat sesebuah negara.

 

Walaupun ramai menyambut baik usaha kerajaan untuk menguatkuasakan larangan merokok, namun kerajaan juga tidak terlepas menerima gesaan daripada beberapa pihak untuk menangguhkan larangan merokok ini.

 

Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) melalui Presidennya, T Muthusamy berkata pelaksanaan merokok sejauh 3 meter dari premis makanan sebagai tidak praktikal dan sukar dituruti pelanggan dan ianya akan membebankan pengusaha jika pelanggan masih ingkar terhadap arahan tersebut.

 

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Ayoob Khan juga menyuarakan pendapat yang hampir serupa kerana ia adalah sukar bagi pengusaha restoran untuk menegur pelanggan yang merokok di premis mereka.

 

“Kerajaan seharusnya memberi kelonggaran kepada pengusaha restoran untuk menyediakan beberapa meja khas bagi golongan perokok,” ujar Ayoob.

 

Wujud juga kebimbangan dalam kalangan pengusaha restoran terutamanya restoran ‘mamak’ yang merasakan larangan merokok ini akan menyebabkan restoran mereka semakin kurang dikunjungi dan sekaligus akan memberi kesan yang buruk kepada perniagaan mereka.

 

Namun, adakah ini wajar dijadikan sebagai alasan?

 

Image result for larangan merokok
Kredit: mStar

 

Ini kerana berdasarkan statistik, 80% penduduk Malaysia adalah bukan perokok. Hanya 20% rakyat sahaja yang merokok dan pengusaha restoran sepatutnya tidak perlu risau kerana secara umumnya restoran mereka akan dapat menarik lebih ramai pelanggan selepas larangan merokok ini dikuatkuasakan.

 

Sebagai contoh di England, apabila larangan merokok dilaksanakan, banyak restoran telah terjejas namun pengusaha restoran telah mengubah model perniagaan kepada konsep restoran yang lebih mesra keluarga dan terbukti perniagaan mereka bertambah baik selepas itu.

 

Jadi, melihat kepada jumlah penduduk tidak merokok di Malaysia yang jauh lebih ramai daripada jumlah perokok, adalah tidak wajar ia dijadikan sebagai alasan untuk mengatakan larangan merokok akan menjadi punca utama perniagaan mereka terjejas.

 

Selain itu, rakyat juga harus melihat kepada sudut dana yang dibelanjakan kerajaan untuk merawat pesakit-pesakit daripada tabiat merokok ini. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sekiranya larangan merokok tidak dikuatkuasakan, kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM7.4 bilion menjelang tahun 2025 bagi merawat pesakit yang merokok.

 

Bukankah ini satu pembaziran? Adalah lebih baik wang tersebut disalurkan kepada program atau kepada rakyat yang lebih memerlukan.

 

Mungkin ramai akan berkata bahawa kos merawat pesakit perokok ini sebenarnya mampu ditampung oleh hasil pendapatan negara melalui pengutipan cukai jualan rokok. Tetapi tahukah anda bahawa rokok seludup menguasai hampir 60% pasaran rokok di Malaysia. Hasil pendapatan kerajaan ‘bocor’ sebanyak RM5 bilion setiap tahun disebabkan penjualan rokok seludup ini.

 

Kerajaan bukan sahaja rugi kerana cukai tidak dapat dikutip, bahkan terpaksa mengeluarkan lebih banyak belanja untuk merawat pesakit perokok. Bukankah ini adalah lebih tidak adil?

 

Singapura dan terbaru Jepun juga telah mengambil langkah untuk menguatkuasakan larangan merokok. Jadi, penguatkuasaan larangan merokok di Malaysia ini boleh dianggap sebagai langkah yang terpuji memandangkan Malaysia telah menjadi salah sebuah negara yang menandatangani dan meratifikasi usaha World Health Organization (WHO) untuk menjadikan negara kita bebas asap (smoke-free) menjelang tahun 2045.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Huawei-01

Mengapa Sesetengah Negara Mengharamkan Teknologi 5G Huawei

Reading Time: 3 minutes Huawei tidak layak untuk menyediakan infrastruktur 5G di UK Malaysia akan mengkaji sama ada perlu mengharamkan teknologi 5G…

China Numba 1-01
Kapital

Rekod Terburuk Pertumbuhan Ekonomi China Dalam Tempoh 3 Dekad

Reading Time: 3 minutes Kadar pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2018 yang direkodkan ialah 6.6% Bank pusat China telah menyuntik lebih banyak…

Apartment-01
Kapital

‘Henti pendekatan M40 tanggung subsidi rumah mampu milik’

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Penyertaan besar sektor swasta untuk membina rumah…

Myeg Mypay-01
Kapital

MyPay, Pesaing Baru MyEG

Reading Time: 3 minutes Saham syarikat HeiTech Padu telah meningkat naik melebihi 50% Sukaniaga dan MyAngkasa Holdings Sdn Bhd kini bekerjasama membangunkan…