Dividen KWSP Dijangka Rendah
- Indeks KLCI jatuh sebanyak 5.17% bagi tahun 2018
- Dana asing ke pasaran baru muncul menurun 48% berbanding 2017
Tidak lama lagi dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diumumkan kepada awam. Ramai pihak menjangkakan bahawa dividen KWSP bagi 2018 adalah lebih rendah berbanding tahun 2017.
Sebagai rekod, tahun lalu dividen KWSP bagi dana konvensional adalah 6.9% dan 6.4% bagi dana syariah, yang tertinggi semenjak 1996.
Jangkaan penurunan dividen ini ekoran daripada prestasi saham-saham Malaysia yang kurang memberansangkan tahun lalu.
Pada tahun 2018, Indeks KLCI telah pun jatuh sebanyak 5.17%. Hal ini ekoran ketidaktentuan politik dalam negara dan keadaan pasaran global yang tidak menentu. 40% daripada portfolio pelaburan KWSP adalah dalam bentuk ekuiti. Kejatuhan KLCI ini sudah pasti memberi kesan kepada dividen KWSP.
Sebagai perbandingan dengan pasaran saham serantau, indeks Hang Seng jatuh 15.35%, Indeks Shanghai jatuh 25.52%, Indeks Saham Indonesia jatuh 2.28% dan Indeks Straits Times jatuh 10.54%.
Tahun lalu juga, kita dapat lihat beberapa projek mega telah dikaji semula dan dibatalkan. Perkara ini memberikan kesan kepada beberapa syarikat seperti Gamuda dan MRCB.

Manakala inisiatif penghapusan monopoli oleh kerajaan bagi menyediakan servis jalur lebar yang lebih murah dan pantas memberi kesan kepada saham Telekom Malaysia Bhd and Axiata Group Bhd.
Selain itu, pasaran sekitar ASEAN turut mengalami penurunan ekoran keluaran dana asing daripada pasaran baru muncul (emerging market). Kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan perang dagangan AS-China antara punca pelabur asing keluar daripada pasaran.
Baca: Nilai Pasaran TM Jatuh Sebanyak RM5.82 Bilion
Menurut Institute of International Finance, Inc (IIF), dana asing yang masuk ke pasaran baru muncul pada tahun lalu berjumlah USD195.5 bilion turun 48% berbanding tahun 2017 sebanyak USD368 bilion.
Jika kita lihat kepada Indeks MSCI Emerging Market pula, ianya jatuh sebanyak 18%, memberikan gambaran kasar bahawa pasaran tidak memberansangkan bagi pasaran baru muncul.
Berdasarkan laporan The Star, pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman memberikan gambaran awal bahawa dividen bagi tahun 2018 kurang memberansangkan.
“Anda boleh lihat keadaan pasaran. Pada tahap apa, saya tidak boleh katakan dan saya tidak dapat memberikan jawapannya. Kita perlu melihat apa yang berlaku tahun lepas untuk mengetahui sama ada ia baik atau buruk.
“Saya sendiri tidak tahu kerana mereka masih mengira berapakah dividennya,” katanya apabila ditanya mengenai dividen KWSP.
Sama-sama kita nantikan berapakah dividen KWSP pada tahun ini.