fbpx

Ekonomi Perlahan, Kos Sara Hidup Dirasai

Oleh : Kapital
04 Januari 2019 - 10:56 am

Reading Time: 2 minutes

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Utusan Malaysia.

 

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Beberapa penganalisis berpendapat ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada separuh pertama tahun ini sebelum menunjukkan tanda-tanda pemulihan menjelang separuh kedua 2019.

 

Malah, mereka turut menyemak semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada sekitar 4.5 hingga 4.8 peratus. Bagi 2018 pula, ia diunjur berkembang antara 4.7 peratus hingga 4.9 peratus.

Kenanga Investment Bank Bhd. menjangkakan trend permintaan global terus menurun pada 2019 dan keadaan itu mungkin akan terus memberi kesan terhadap ekonomi Malaysia.

 

Ini kerana menurutnya, permintaan luar dijangka semakin menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang de­ngan tempahan eksport baharu akan berkurangan di seluruh rantau ini.

 

“Baltic Dry Index te­rus mencatatkan penurunan mencerminkan kurangnya permintaan terhadap bahan mentah manakala kebimbangan terhadap perang dagangan Amerika Syarikat(AS)-China turut memberi kesan kepada perdagangan global. Unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan adalah realistik bagi 2019 iaitu pada 4.7 peratus,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

 

Walaupun, kelembapan dan kitaran ekonomi dijangka pulih pada suku kedua tahun ini, namun keadaan itu bergantung kepada kualiti dasar fiskal dan monetari yang dilaksanakan oleh negara selain faktor-faktor luaran.

 

Mengulas mengenai situasi ekonomi negara, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, kelembapan ekonomi diakui turut menyebabkan kenaikan kos sara hidup terutama melibatkan barang keperluan, makanan dan pe­ngangkutan.

 

“Sebagai rakyat dan juga pengguna terdapat dua faktor yang boleh dikawal iaitu perbelanjaan dan pendapatan. Rakyat harus bijak dalam me­nguruskan kewangan mereka terutama dalam keadaan ekonomi sekarang yang menghadkan perbelanjaan mereka untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Namun, kata beliau, kebiasaannya ekonomi mengambil masa antara tujuh hingga 27 bulan untuk pulih dan penekanan kepada dua faktor iaitu dasar fiskal dan monetari membolehkan tempoh pemulihan dicapai dengan lebih pantas.

 

“Dasar fiskal dilaksanakan berdasarkan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan manakala monetari ditentukan oleh bank pusat. Ekonomi Malaysia masih lagi baik kerana kadar kemerosotan hanya pada 12 dan 13 peratus berbanding negara membangun yang lain.

 

“Dari aspek penggunaan, kerajaan perlu bersedia untuk berbelanja, meningkatkan pelaburan dalam dan luar negara serta menekankan kepada eksport dan import. Dasar yang dilaksanakan harus memberi impak kepada pendapatan negara secara keseluruhannya,” ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Ambank, Dr. Anthony Dass berkata, unjuran KDNK pada 2019 adalah 4.5 peratus dengan peningkatan sehingga 4.8 peratus, namun keadaan semasa terus memberi tekanan kepada pertumbuhan pada suku pertama.

 

“Ekonomi akan mula me­nunjukkan sedikit pemulihan bermula suku kedua dan terus meningkat selepas itu. Keadaan itu dipengaruhi oleh asas yang rendah di samping sokongan daripada aktiviti domestik, pelaburan langsung asing, kitaran eksport elektronik yang semakin perlahan dan pemulihan harga komoditi,” katanya.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Huawei-01

Mengapa Sesetengah Negara Mengharamkan Teknologi 5G Huawei

Reading Time: 3 minutes Huawei tidak layak untuk menyediakan infrastruktur 5G di UK Malaysia akan mengkaji sama ada perlu mengharamkan teknologi 5G…

China Numba 1-01
Kapital

Rekod Terburuk Pertumbuhan Ekonomi China Dalam Tempoh 3 Dekad

Reading Time: 3 minutes Kadar pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2018 yang direkodkan ialah 6.6% Bank pusat China telah menyuntik lebih banyak…

Apartment-01
Kapital

‘Henti pendekatan M40 tanggung subsidi rumah mampu milik’

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Penyertaan besar sektor swasta untuk membina rumah…

Myeg Mypay-01
Kapital

MyPay, Pesaing Baru MyEG

Reading Time: 3 minutes Saham syarikat HeiTech Padu telah meningkat naik melebihi 50% Sukaniaga dan MyAngkasa Holdings Sdn Bhd kini bekerjasama membangunkan…