Kepincangan Kerajaan Menentukan Hala Tuju ECRL
ECRL tidak diteruskan kerana kerajaan tidak mampu membayar kadar faedah – Azmin Ali
Saya terkejut dengan keputusan pembatalan ECRL – Lim Guan Eng
Masuk bulan Januari ini sudah memasuki bulan kesembilan Pakatan Harapan menjadi kerajaan Malaysia. Antara perkara yang menjadi keutamaan adalah mengkaji semula projek-projek mega atas alasan hutang negara yang terlalu tinggi.
Jaringan pengangkutan awam yang merentasi negeri pantai timur serta menghubungkan negeri-negeri dengan Lembah Klang menelan belanja RM55 bilion.
Sebelum ini, ECRL dikaitkan dengan pelbagai skandal seperti tuduhan bahawa projek ini diberikan kepada China dan sebagai balasan, China akan membantu Malaysia membayar hutang-hutang 1MDB. Benar atau tidak pertuduhan ini masih belum dapat dibuktikan.
Baru-baru ini pula, kerajaan dilihat mengeluarkan kenyataan yang berbeza-beza antara satu sama lain. Pada mulanya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengeluarkan satu kenyataan bahawa ECRL akan dibatalkan kerana kos pembayaran kadar faedahnya terlalu tinggi.
Menurut beliau, kerajaan tidak mampu untuk membayar kadar faedah berjumlah RM500 juta setahun bagi projek ini.
“Kabinet membuat keputusan ini kerana kos untuk membangunkan ECRL terlalu tinggi, dan kami tidak mempunyai keupayaan kewangan pada masa ini.
“Dan jika projek ini tidak ditamatkan, kadar faedah yang perlu dibayar oleh kerajaan mencapai hampir setengah bilion ringgit.
“Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat kita lakukan” Azmin Ali.
Baca: ECRL: Diluah Mati Emak, Ditelan Mati Bapa
Baca: Misi Pencarian Kontraktor Baru ECRL
Namun, timbul kekeliruan apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata beliau terkejut dan tidak tahu mengenai keputusan pembatalan tersebut.
“Datuk Seri Azmin dalam mesyuarat kabinet yang lepas.
“Saya bertindak atas arahan Tun dan kabinet” – Lim
Apakah Azmin membuat keputusan sendiri tanpa persetujuan kabinet? Atau Lim sendiri yang tiada dalam mesyuarat kabinet tersebut?
Bagi mencari penjelasan bagi kemelutan isu ini, Tun Dr Mahathir ditanyakan mengenai perkembangan ECRL sejurus sahaja beliau pulang daripada lawatan luar negara.
“Saya tidak pasti sama ada kontrak ini diteruskan atau tidak. Saya tidak pasti (sama ada ianya dibatalkan atau tidak). Saya baru sahaja balik daripada luar negara” Tun M
Persoalannya kini, mana satu yang betul? ECRL ini bakal diteruskan atau tidak?
Ketidak tentuan seperti ini memberikan imej yang kurang kepada Malaysia. Bagaimana pelabur mahu membuat keputusan untuk melabur disini jika kerajaan sendiri gagal membuat keputusan. Kepincangan seperti ini tidak boleh diteruskan lagi. Kerajaan perlu sebulat suara dan menjadi lebih tegas dalam membuat keputusan.