Khazanah Untung Lebih 2000% Dalam Saham Phunware
- Khazanah merupakan pelabur terbesar dalam Phunware dengan 2.2 juta saham
- Permodalan pasaran Phunware meningkat daripada USD 56.5 juta tahun lalu kepada USD 4.4 bilion
Khazanah Nasional Bhd meraih keuntungan apabila saham firma pelaburannya, Phunware Inc yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) meningkat 2,000 peratus minggu lalu.
Menurut Bloomberg, kenaikan saham ini ekoran penggabungannya dengan firma Stellar Acquisition dari Greece pada akhir Disember lalu. Permodalan pasaran syarikat tersebut meningkat daripada USD 56.5 juta tahun lalu kepada USD 4.4 bilion.
“Saham firma itu pada akhir 2018 berada pada AS$14.26 dan ditutup pada rekod tertingginya AS$220 pada Rabu, dan melonjak setinggi AS$550 pada Khamis sebelum mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 29 peratus hari ini kepada AS$157,” – Bloomberg
Phunware merupakan syarikat penyedia perisian awan (cloud software) dan diasaskan pada 2009. Ketika itu, Phunware berjaya meraih USD 84 juta daripada sekumpulan pelabur seperti Central Texas Angel Network, Wild Basin Investments, Wavemaker Partners, Samsung Ventures dan Khazanah.
Baca: Ini Wajah Baru Khazanah Nasional
Setakat ini, Khazanah merupakan pelabur terbesar dengan 2.2 juta saham diikuti oleh Ketua Pegawai Teknologi Phunware, Luan Dang. Pelaburan Khazanah ke dalam firma inovasi dan teknologi termasuk Phunware adalah sekitar empat peratus daripada jumlah portfolionya.

Namun di sebalik kejayaan besar Khazanah ini, di manakah suara daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang dulunya kecoh mengumumkan kerugian RM80 juta dalam pelaburan syarikat baju dalam.
Jika kerugian RM80 juta dahulu boleh dihebohkan, mengapa keuntungan yang mencecah RM1.35 bilion ini tidak dihebohkan? Ianya adalah satu pencapaian yang baik daripada Khazanah.
Adakah kerana kejayaan ini datangnya daripada kerajaan lama maka ianya tidak diberikan perhatian?
Seharusnya perlu difahami dalam pelaburan itu untung dan rugi itu adalah perkara biasa. Tiada pelaburan yang boleh lari daripada kerugian. Namun apa yang penting keuntungan yang diperolehi melebihi kerugian.
Jika dilihat dari sudut nilai aset Khazanah, dalam tempoh 9 tahun sahaja (2008 – 2017), Khazanah telah mendapatkan pulangan pelaburan berjumlah RM82 bilion. Khazanah sebenarnya lebih banyak mencatatkan keuntungan besar, berbanding kerugian-kerugian kecil yang dihebohkan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyatakan bahawa kerajaan ‘memilih bulu’ dalam mengumumkan kejayaan Khazanah. Selain daripada keuntungan Phunware ini, Najib juga menyatakan kerajaan juga membisu tentang fakta bahawa Khazanah untung RM6 bilion apabila mereka melabur di dalam syarikat gergasi China, Alibaba pada tahun 2014.