Malaysia Tegas Halang Kemasukan Atlet Israel
- Malaysia termasuk antara 15 negara di seluruh dunia yang tidak menerima kemasukan pemegang pasport Israel
- Ini adalah atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin – Syed Saddiq
Baru-baru ini, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk tidak memberi kebenaran kepada atlet dari negara Israel untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan akan berlangsung pada 29 Julai sehingga 4 Ogos 2019.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan beliau berkata sekiranya skuad Israel tetap mahu menyertai kejohana tersebut maka ia adalah satu kesalahan.
Hal ini kerana, Malaysia mempunyai dasar luar negara yang amat jelas terhadap Israel di mana negara kita tidak pernah sama sekali mengiktiraf pendudukan Israel sebagai sebuah negara di Jerusalem Timur semenjak selepas perang 1967.
Seperti yang diketahui umum juga, rakyat Malaysia dengan jelas telah dinyatakan dalam pasport mereka bahawa ia boleh digunakan untuk memasuki ke mana-mana negara sahaja kecuali Israel. Bagi pemegang pasport Israel yang mahu memasuki Malaysia pula, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia terlebih dahulu.

Malaysia termasuk antara 35 negara daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mengiktiraf Israel sebagai negara. Terdapat 15 negara di seluruh dunia ini yang tidak menerima pemegang pasport Israel dengan majoritinya adalah negara-negara Arab seperti Arab Saudi, UAE, Yaman, Iran dan Iraq.
Susulan daripada keputusan Malaysia untuk tidak membenarkan altel Israel bertanding, pihak Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) telah memutuskan untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan renang paralimpik tersebut.
“Semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.
“Apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, pihaknya sama sekali tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.
“Pergerakan Paralimpik sentiasa akan diteruskan, didorong oleh keinginan untuk memacu kemasukan, bukan pengecualian. Tidak kira negara yang terbabit dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan sama dalam situasinya sama walaupun negara berbeza,” memetik kenyataan wakil IPC.
Dalam satu kenyataan oleh Menteri Belia dan Sukan, kerajaan sama sekali tidak akan berkrompomi dengan keputusan untuk tidak menerima penyertaan atlet Israel atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.
“Jika penganjuran sebuah acara sukan antarabangsa lebih penting daripada membela saudara kami di Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa rejim (perdana menteri Israel) Netanyahu, itu bermakna Malaysia sudah hilang kompas moralnya,” ujar Syed Saddiq.
Jika kita lihat kembali, ini bukanlah kali pertama perkara seumpama ini terjadi. Pada Oktober 2017, dalam satu kejohanan antarabangsa Judo di Abu Dhabi, pihak penganjur enggan mengibarkan bendera Israel serta memainkan lagu kebangsaaan Israel apabila atlet Israel telah memenangi pingat emas. Atlet Israel juga diharamkan daripada memakai sebarang simbol yang mewakili Israel pada pakaian uniform.
Pada penghujung tahun 2018, Arab Saudi juga telah kehilangan hak sebagai penganjur bagi World Chess Championship selepas tidak membenarkan atlet Israel untuk bertanding.
Melihat kepada ketegasan Malaysia dalam isu ini, ia sewajarnya dipandang sebagai langkah yang terpuji memandangkan negara kita mempunyai dasar luar negara yang jelas terhadap Israel.
Dalam kehangatan isu ini berlegar-legar di media sosial sehingga laman Facebook IPC diserang bertalu-talu oleh netizen Malaysia, wujud juga tanda tanya mengenai Kejohanan Kriket ICC yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1997.
Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada ketika itu telah membenarkan pasukan kriket kebangsaan Israel untuk bertanding dalam kejohanan tersebut. Sedangkan Pakistan yang terkenal dengan kehebatan dalam sukan kriket juga telah memboikot kejohanan tersebut. Persoalannya, mengapakah pada ketika itu Tun Mahathir mempunyai pendirian yang berbeza dari sekarang?