Minyak di Malaysia Kedua Termurah Di Asia Tenggara Selepas Brunei
- Harga tertinggi dicatatkan pada Februari dan Mac 2017 pada harga RM2.30 seliter bagi Ron95.
- 64 sen seliter cukai dikenakan bagi minyak gred premium dan 56 sen seliter cukai bagi minyak gred pertengahan di Singapura
Semenjak kejatuhan harga minyak daripada USD115 setong kepada USD30 – USD50 setong pada 2014 yang lalu, kebanyakan negara di Asia terpaksa menyemak semula polisi penetapan harga petrol dan merasionalisasikan subsidi, Malaysia tidak terkecuali.
Berdasarkan rekod, selepas sistem apungan terkawal dilaksanakan di Malaysia, harga runcit terendah dicatatkan pada bulan September 2016 pada harga RM1.70 seliter bagi Ron95. Manakala harga tertinggi dicatatkan pada Februari dan Mac 2017 pada harga RM2.30 seliter bagi Ron95.
Tindakan kerajaan Malaysia menghapuskan subsidi minyak menjadi kemarahan kepada rakyat Malaysia dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi. Namun ada juga pihak yang menyokong tindakan ini kerana subsidi memberi lebih banyak manfaat kepada golongan kaya berbanding golongan miskin.
Dalam Belanjawan 2019, kerajaan menyatakan bahawa subsidi minyak bersasar akan dilaksanakan bagi meringankan beban kumpulan B40 dan dijangka dilaksanakan bermula pertengahan tahun ini. Tetapi sehingga ke hari ini, masih tiada mekanisme yang jelas daripada kerajaan bagi melaksanakan subsidi bersasar ini.
Buat masa sekarang, kerajaan menggunakan sistem apungan terkawal bagi menentukan harga minyak dan ditetapkan tidak melebihi RM2.20 seliter bagi RON95. Adakah ini mekanisme yang terbaik? Bagaimana pula mekanisme di negara jiran?

Thailand
Sementara kebanyakan negara menggunakan octane rated fuel, Thailand menggunakan jenis minyak yang berbeza iaitu Gasohol. Kebanyakan kenderaan di Thailand menggunakan Gasohol 95, ianya ibarat RON95 di Malaysia.
Walaupun Gasohol 95 and Gasohol 91 ini disubsidikan, namun harganya berbeza mengikut tempat dan stesyen minyak. Berdasarkan laman web Shell, harga terkini bagi Gasohol 95 adalah Baht 25.75 seliter bersamaan RM3.32.
Bagi Diesel pula, harga dihadkan kepada Baht 30 seliter, bersamaan RM3.97.

Singapura
Di Singapura, harga minyak ditentukan oleh pasaran bagi semua kategori. Harganya pula berbeza mengikut syarikat pengedar minyak. Setakat ini 4 syarikat kesemuanya iaitu Caltex, ESSO, Shell dan SPC.
2 perkara utama yang menentukan harga minyak di Singapura adalah cukai dan kos pengendalian. Sebanyak 64 sen seliter cukai dikenakan bagi minyak gred premium dan 56 sen seliter cukai bagi minyak gred pertengahan.
Harga terkini bagi RON95 di Singapura adalah SGD2.19 bersamaan RM6.64.
Jika kita lihat semula kepada mekanisme di negara-negara jiran, Malaysia dikira beruntung kerana tiada sebarang cukai minyak dikenakan kepada pengguna. Malaysia juga perlu beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar seperti mana yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019.
- Perbandingan harga berdasarkan kadar tukaran wang pada 3/1/19