Nasi Kandar Pelita dan MR D.I.Y Mensasarkan Untuk Memasuki IPO
- Tawaran IPO ini dijangka dibuka pada harga sekitar RM0.80 – RM1.00 bagi Nasi Kandar Pelita
- MR D.I.Y. mensasarkan pengumpulan dana berjumlah RM2.1 bilion melalui IPO
Siapa sangka kedai makan seperti rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita bakal tersenarai di dalam Bursa Malaysia.
Awal tahun ini, terdapat dua syarikat yang mengemukakan hasrat mereka untuk membuat tawaran awam permulaan (IPO). Dua syarikat tersebut adalah Mr. D.I.Y. dan Syarikat Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. (Pelita).
Sebelum kita membincangkan lebih lanjut mengenai dua syarikat ini, lebih baik kita fahami dulu apa itu IPO dan mengapa syarikat ingin membuat IPO.
IPO dalam Bahasa Inggeris adalah Initial Public Offering atau nama lain dalam Bahasa Melayu adalah Saham Terbitan Awam. IPO juga adalah merupakan salah satu peluang pelaburan yang ada di Malaysia. Jika ikut track record, 80% IPO memberikan keuntungan kepada pelabur.
Baca: Initial Coin Offering (ICO) VS Initial Public Offering (IPO)
IPO adalah terbitan syer/saham baru yang dikeluarkan oleh syarikat tertentu untuk dijual kepada pelabur awam pada harga tawaran yang dipersetujui Jawatankuasa Terbitan Modal (CIC).
Sebagai contoh syarikat Roti Abu ingin menyenaraikan sahamnya di Bursa Malaysia. Oleh itu, langkah pertamanya adalah melalui IPO. Secara ringkas, setelah harga dipersetujui, saham syarikat Abu dijual pada awalnya dengan harga RM1.50. Unit yang dijual di IPO adalah terhad dan pelabur awam yang berminat untunk membeli perlu terlebih dahulu membuat permohonan awal.
Kenapa syarikat laksanakan IPO?
Antara tujuannya adalah bagi mendapatkan pembiayaan tambahan bagi membayar hutang, menambah modal kerja atau menampung pembiayaan projek pelaburan syarikat. Jadi sebelum membeli saham IPO, anda perlu semak dahulu sama ada syarikat tersebut ingin keluar dari hutang atau ingin mengembangkan perniagaannya.

Syarikat Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. (Pelita)
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Datuk KK Sihabutheen berkata, IPO itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi mengembangkan lagi rangkaian perniagaan mereka khususnya bagi pembukaan restoran dan hotel baharu di masa akan datang.
Tawaran IPO ini dijangka dibuka pada harga sekitar RM0.80 – RM1.00. Buat masa sekarang, terdapat lebih 30 rangkaian restoran nasi kandar Pelita di seluruh negara selain di Chennai, India dengan purata pelanggan lebih 25 juta orang setahun.

Mr. D.I.Y.
Berdasarkan maklumat daripada Bloomberg, MR D.I.Y. mensasarkan pengumpulan dana berjumlah RM2.1 bilion melalui IPO pada suku keempat tahun ini. Ianya diumumkan oleh CEO Creador Sdn Bhd, Brahmal Vasudevan. Creador memegang 18% saham syarikat Mr. DIY, manakala baki saham masih lagi dipegang oleh pengasas Mr.DIY.
Cawangan pertama Mr DIY dibuka di Jalan Tunku Abdul Rahman pada Julai 2005 dan kini sudah berkembang lebih 650 cawangan di Asia Tenggara. Dengan lebih 8,000 pekerja, Mr DIY melayan lebih 128 juta pelanggan setiap tahun di Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia dan juga Singapura.
Dengan dua IPO ini, anda berpotensi untuk menjadi salah seorang daripada pemegang saham mereka secara tidak lansung anda memiliki sebahagian daripada bisnes mereka.
Kepada mereka yang mempunyai perniagaan dan bisnes, anda boleh letakkan penyenaraian di Bursa Malaysia sebagai salah satu sasaran anda.