Pasaran Halal di Olimpik Tokyo 2020, Malaysia Sasar Menjadi Pemain Utama
- Jumlah pelancong dijangka mencecah 40 juta orang di Olimpik Tokyo 2020
- Import Malaysia ke Jepun bakal mencecah RM3.7 bilion menjelang 2020
2020 nanti akan diadakan satu kejohanan sukan berprestij di Tokyo iaitu Olimpik Tokyo 2020. Dijangkakan nilai pasaran halal bagi kejohanan tersebut mencecah USD 300 juta dan Malaysia merancang untuk menjadi sebahagian daripadanya.
Seramai 40 juta pelancong akan tiba menjelang Olimpik 2020 dan sebahagian besar mereka adalah orang Islam. Malaysia cukup terkenal dengan piawaian halal yang cukup baik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehinggakan menjadi rujukan Jepun.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof syarikat-syarikat Jepun telah menyatakan minat mereka terhadap sektor makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan di Malaysia.
“Jepun kini lebih terbuka kepada pasaran halal berbanding 10 tahun lalu, dan jika industri kecil dan sederhana (IKS) Malaysia tidak mengambil peluang ini, ianya satu kerugian yang besar” – Redzuan Yusof
Pada tahun 2017, jumlah eksport Malaysia ke Jepun bernilai RM2.8 bilion dan dijangka terus meningkat sehingga RM3.1 bilion tahun 2018, RM3.4 bilion pada 2019 dan RM3.7 bilion menjelang 2020.
Baca: Bon Samurai, Adakah Satu Langkah Bijak?
“Kami berharap di expo ini, kita boleh mencapai sasaran jualan sebanyak RM50 juta” Ujar beliau selepas merasmikan Malaysia Halal Expo 2019 (MHE 2019).
MHE 2019 diadakan sebagai satu platform kepada IKS menembusi pasaran Jepun menjelang Olimpik Tokyo 2020 dengan tema “Malaysia ke Jepun Bagi Olimpik 2020”. Expo ini dianjurkan oleh Corporation Malaysia (SME Corp).
Seramai 320 buah booth disediakan bagi usahawan yang bersedia untuk mengimport produk dan servis mereka ke Jepun yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuklah makanan dan minuman, kosmetik, logistic, bioteknologi dan farmasi.
Setakat ini, jualan telah mencecah RM40.8 juta hasil daripada kerjasama syarikat Jepun dan Malaysia di expo ini.
Antara syarikat Jepun yang turut serta dalam expo ini adalah ake One Co. Ltd (syarikat yang mengusahakan Family Mart), Ohga Pharmacy, Hayabusa International dan Yatsumoto Tsusho Co. Ltd.
Manakala 5 syarikat utama daripada Malaysia adalah Lulu Group Retails Sdn Bhd, Ramly Halal Mart Sdn Bhd, Aeon Big (M) Sdn Bhd, Nestle Malaysia Bhd dan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd.
Kerjasama Malaysia dan Jepun ini boleh dijadikan sebagai salah satu langkah pertama bagi Malaysia untuk mempelopori pasaran halal dunia. Setakat hari ini jumlah penduduk beragama Islam di dunia mencecah 1.8 bilion orang dan ruang bagi pasaran halal masih lagi luas.