Pelaburan Hartanah Selain Daripada REIT
Bila sebut sahaja pelaburan hartanah, kebiasaannya orang akan faham mereka perlu beli rumah atau tanah untuk memulakan pelaburan. Yang mana ianya memerlukan modal yang agak besar atau terlalu rumit. Pelabur perlu cari penyewa, jaga penyewa dan pastikan rumah dalam sentiasa dalam keadaan baik.
Jadi sesetengah orang melihat pelaburan hartanah ini bukan untuk mereka dek kerana kekurangan modal atau masa. Apa pilihan lain bagi orang begini? Nak juga melabur hartanah?
Tidak mengapa, jangan risau, ada beberapa lagi pelaburan lain yang berasaskan hartanah tetapi tidak memerlukan wang yang besar atau masa yang banyak.
1. Real Estate Investment Trust (REIT)
Konsep REIT lebih kurang sama denan konsep saham amanah (unit trust). Melalui saham amanah, duit pelabur dikumpulkan dan dilaburkan dalam pasaran saham dan bon/sukuk. Berbeza dengan REIT, duit pelabur dilaburkan dalam pasaran hartanah.
Portfolio REIT boleh mengandungi beberapa jenis hartanah seperti pusat membeli belah, kedai runcit, rumah kedai dan hospital. Yang terbaru kerajaan mencadangkan untuk mewujudkan REIT lapangan terbang pula, ianya merupakan REIT lapangan terbang yang pertama di dunia.
Sebagai pelabur, kita tidak perlu memikirkan hartanah mana yang paling berpotensi, lokasi mana yang strategik atau serabut kepala untuk mencari penyewa dan mengutip sewa setiap bulan. Semua perkara ini akan diuruskan oleh pengurus dana.
2. Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)
AHB juga adalah REIT, cuma bezanya harga unitnya tidak berubah. Jadi AHB tiada risiko turun naik harga. Dana AHB ini diuruskan oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB). Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada pelabur Bumiputera untuk turut serta dalam pemilikan hartanah tetapi melalui pemilikan unit dalam AHB sebagai unit holders.
3. Mortgage Backed Securities (MBS)
Siapa yang pernah tonton cerita The Big Short pasti boleh faham MBS ni. MBS adalah satu produk pelaburan berasaskan hutang rumah. Bahasa mudahnya kita labur dalam pinjaman rumah, apa-apa kadar faedah yang dibayar peminjam kita akan dapat.
Bank akan beri pinjaman rumah kepada pelanggan. Katakan bank dah pinjamkan RM1 bilion kepada pembeli rumah, sekarang bank sudah kekurangan modal. Jadi macam mana dia nak pastikan dia boleh terus memberi pinjaman kepada orang ramai?
Kemudian datangnya satu idea untuk kumpulankan semua hutang rumah ini untuk menjadi satu bon yang dikenali sebagai MBS. MBS ini kemudiannya dijual kepada pelabur. MBS akan memberikan pelabur dividen setiap tahun dan modalnya akan dipulangkan selepas tempoh yang dijanjikan.
Baca: REIT: Pelaburan Hartanah Bermodal Rendah
Katakan MBS ini perjanjian terlampau panjang sehingga 30 tahun tetapi pelabur mahu melabur 5 tahun sahaja. Boleh atau tidak?
Boleh, sebab MBS ini boleh dijual daripada satu pelabur kepada pelabur yang lain.
Selain 3 pelaburan di atas ini, ada beberapa produk pelaburan berasaskan hartanah yang lebih kompleks. Tetapi sayangnya pelaburan ini tiada di Malaysia buat masa ini. Antaranya adalah Collateralised Debt Obligation (CDO), derivatif hartanah, indeks hartanah dan matawang digital hartanah.