fbpx

Penarafan Malaysia Boleh Diturunkan

Oleh : Kapital
10 Januari 2019 - 2:50 pm

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 8 Jan. – MOODY’S Investors Service mungkin mempertimbangkan untuk menurunkan penarafan kedaulatan Malaysia sekiranya prospek fiskal atau beban hutang negara semakin meningkat.

 

Malah menurut agensi penarafan antarabangsa itu, ia juga boleh menyebabkan tekanan penarafan yang lebih rendah jika ketegangan politik meningkat dan pandangan yang berbeza dalam kerajaan menjejaskan keberkesanan dasar dan keupayaan mematuhi objektif pengukuhan fiskal yang boleh mengancam kestabilan aliran modal ke negara ini.

“Prospek stabil dalam penarafan kedaulatan me­nunjukkan terdapat perubahan penarafan mungkin bukan dalam tempoh terdekat dengan kekangan imbangan penarafan kredit, yang berpunca daripada kemampuan hutang rendah dan tahap hutang tinggi terhadap kekuatan kredit.

 

“Ini termasuk pertumbuhan yang berdaya tahan dan stabil serta asas pendanaan yang luas untuk hutang Malaysia walaupun dalam persekitaran global yang lemah. Namun, penarafan ini boleh menghadapi tekanan jika skop untuk pengukuhan fiskal meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Moody’s berkata, kredit profil kerajaan Malaysia (A3 stabil) mencerminkan ekonomi negara yang besar dan pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang sihat manakala hutang kerajaan yang tinggi sebahagiannya diimbangi oleh struktur hutang yang baik dan simpanan dalam negeri yang besar.

 

Kesimpulan mengenai kedudukan Malaysia itu dimuatkan dalam analisis kredit yang dikeluarkan baru-baru ini bertajuk Kerajaan Malaysia-A3 Stabil : Analisis Kredit Tahunan.

 

Analisis itu melihat profil kredit Malaysia dari segi kekuatan ekonomi yang dinilai berdasarkan kepada sangat tinggi (-); kekuatan institusi adalah tinggi (+); kekuatan fiskal adalah sederhana dan kecenderu­ngan risiko adalah sederhana (-), yang merupakan empat faktor utama analitik dalam Metodologi Penarafan Kedaulatan Bon Moody’s.

 

Laporan itu merupakan kemas kini tahunan kepada pelabur dan bukannya tindakan penarafan.

 

Moody’s mendapati langkah kerajaan baharu terhadap dasar fiskal negara terutama memansuhkan cukai barang dan per­khidmatan akan mengecilkan asas pendapatan dan mengurangkan fleksibiliti fiskal.

 

“Tambahan pula, beban hutang negara, yang jauh lebih tinggi berbanding median A-rated, akan kekal sebagai kekangan kredit. Bagaimanapun, pasaran modal domestik yang mendalam dan penjimatan yang tinggi akan menyediakan dana yang stabil untuk hutang kerajaan dan sebahagiannya dapat mengimbangi kelemahan fiskal ini,” katanya.

 

Menurutnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur lebih perlahan kepada 4.7 peratus tahun ini dan 4.5 peratus pada 2020 selepas mencatat perkembangan ekonomi secara purata lima pe­ratus antara 2015 hingga 2018.

 

“Ketidaktentuan luaran daripada fahaman perlindungan dagangan akan mempengaruhi aktiviti perdagangan manakala semakan semula projek infrastruktur dan perbelanjaan awam yang perlahan akan mengheret pertumbuhan secara berterusan.

 

“Walau bagaimanapun, perkembangan ekonomi akan kekal kukuh berbanding median purata A-rated, dengan mengambil kira pertumbuhan sederhana,” katanya.

 

Jelas agensi itu, rangka kerja institusi yang mantap merangkumi dasar monetari yang efektif akan menyokong profil kredit negara tetapi gejala rasuah akan menjadi cabaran kepada kerajaan dan menjejaskan keberkesanan dasar.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

230194
Kapital

7 Perkara Mengenai Ekonomi Malaysia Baru

Reading Time: 3 minutes Satu garis panduan pelantikan jawatan tertinggi GLC akan dikeluarkan MoF Cukai korporat bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)…

7-01
Kapital

MRCB Perkenal MBS Bagi Tingkatkan Kualiti Pembinaan

Reading Time: 2 minutes   Syarikat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bakal meningkatkan lagi kualiti dalam sektor pembinaan dengan memperkenalkan sistem pembinaan…

101b
Kapital

Lima Strategi Makro Kekal Daya Tahan Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan lima strategi makro bagi…

kilang-mazda-kulim-mekanika-4

Tahap Perniagaan Di Malaysia Kurang Memberansangkan Bagi Tempoh 5 Bulan Berturut-Turut

Reading Time: 2 minutes PMI China kekal bawah paras 50 semenjak Disember 2018 PMI adalah satu kaji selidik yang dilakukan secara bulanan…