fbpx

Pengecualian Duti Setem Meringankan Beban Pembeli Rumah Pertama

Oleh : Kapital
04 Januari 2019 - 5:41 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Setakat September tahun 2018, unit rumah yang sudah disiapkan tetapi masih belum terjual meningkat 48.35%
  • Kerajaan memberikan pengecualian duti setem 100% bagi pembelian rumah pertama

 

Kerajaan hari ini dilihat sedang mempergiatkan lagi usaha untuk mengatasi masalah lebihan bekalan rumah tidak terjual dalam pasaran hartanah. Ini berikutan daripada langkah pemberian pengecualian duti setem bagi pembelian rumah sehingga nilai RM1 juta seperti yang diumumkan baru-baru ini.

 

Isu pemilikan rumah di Malaysia sudah menjadi satu masalah yang besar sehingga ramai rakyat seolah-olah dilihat ‘tawar hati’ untuk membeli rumah. Jika dilihat kepada statistik oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), setakat ini nilai hartanah yang tidak terjual berjumlah sebanyak RM19.54 bilion. Ini adalah kenaikan sebanyak 56.44% jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

 

Bukan itu sahaja, unit rumah yang sudah disiapkan tetapi masih belum terjual juga turut meningkat 48.35%. Setakat September tahun 2018, dilaporkan terdapat 30,115 unit yang sudah siap namun tidak berjaya dijual berbanding setahun sebelumnya sebanyak 20,304 unit.

 

Image result for rumah tidak terjual
Kredit: Hartabumi.com

 

Apa masalahnya? Jika ditanya kepada orang ramai sudah pasti jawapan mereka akan berbalik kepada soal harga rumah yang dijual tersebut. Bagi orang kebanyakan, rumah yang dijual pada hari ini adalah mahal dan di luar kemampuan.

 

Salah siapa? Soalan ini sebenarnya paling sesuai ditanyakan kepada pihak pemaju. Melihat kepada situasi penjualan rumah tidak terjual yang mana 12,000 unit rumah tidak terjual adalah berharga RM500,000 ke atas dan 3,500 unit rumah tidak terjual berharga antara RM200,000 hingga RM250,000, persoalannya kenapa pemaju masih membina rumah yang tidak mampu atau tidak mahu dibeli oleh orang ramai?

 

Ini bermakna pemaju mungkin kurang memahami kehendak pasaran dan menjual produk yang salah. Sehinggakan wujud gesaan daripada beberapa pihak supaya pemaju perlu mengalah untuk menurunkan harga rumah.

 

Dengan jangkaan harga rumah akan lebih menyusut pada tahun 2019, apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk merancakkan lagi pembelian rumah?

 

Sebelum ini, kerajaan melalui Belanjawan 2019 telah mengumumkan kadar duti setem bagi hartanah melebihi RM1 juta akan dinaikkan kadar daripada 3% kepada 4% mulai 1 Januari 2019. Namun, dalam kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini telah menyatakan bahawa kenaikan tersebut akan ditangguhkan selama 6 bulan dan hanya akan berkuatkuasa bermula 1 Julai 2019.

 

Dalam masa yang sama, bagi pembelian rumah pertama, kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian duti setem 100%. Perlu diingat juga pengecualian ini hanya diberikan kepada pembelian rumah yang berstatus ‘residential’ sahaja dan bukannya berstatus komersial.

 

“Bagi rumah berharga RM300,001 hingga RM500,000, duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman dikecualikan terhad kepada RM300,000 pertama daripada harga rumah tersebut, dengan perjanjian jual beli perlu disempurnakan mulai 1 Julai, 2019 hingga 31 Dis, 2020.

“Manakala, duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi rumah berharga antara RM300,001 dan RM1 juta yang dibeli daripada mana-mana pemaju perumahan adalah dikecualikan, bagi perjanjian jual beli yang diselesaikan mulai 1 Jan, 2019 sehingga 30 Jun, 2019,” ujar Lim Guan Eng.

 

Image result for rumah tidak terjual
Kredit: Hartabumi.com

 

Dalam satu kenyataan media bertulis yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, langkah pengecualian duti setem ini dilaksanakan adalah bagi menggalakkan lagi pembelian rumah pertama, meningkatkan pembelian unit yang tidak terjual daripada pemaju serta mahu mengatasi isu lebihan bekalan hartanah kediaman yang semakin meningkat.

 

Melihat kepada usaha kerajaan ini, kita boleh beranggapan bahawa kerajaan sebenarnya cakna akan isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat. Namun, sejauh mana keberkesanan usaha ini masih belum dapat dipastikan. Dengan keadaan ekonomi tidak menentu serta kemelesetan ekonomi yang dijangka bakal melanda tidak lama lagi, mampukah pasaran hartanah Malaysia kembali rancak?

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Huawei-01

Mengapa Sesetengah Negara Mengharamkan Teknologi 5G Huawei

Reading Time: 3 minutes Huawei tidak layak untuk menyediakan infrastruktur 5G di UK Malaysia akan mengkaji sama ada perlu mengharamkan teknologi 5G…

China Numba 1-01
Kapital

Rekod Terburuk Pertumbuhan Ekonomi China Dalam Tempoh 3 Dekad

Reading Time: 3 minutes Kadar pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2018 yang direkodkan ialah 6.6% Bank pusat China telah menyuntik lebih banyak…

Apartment-01
Kapital

‘Henti pendekatan M40 tanggung subsidi rumah mampu milik’

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Penyertaan besar sektor swasta untuk membina rumah…

Myeg Mypay-01
Kapital

MyPay, Pesaing Baru MyEG

Reading Time: 3 minutes Saham syarikat HeiTech Padu telah meningkat naik melebihi 50% Sukaniaga dan MyAngkasa Holdings Sdn Bhd kini bekerjasama membangunkan…