Perlumbaan SUV Kini Bermula, Proton VS Perodua
Perodua mencatatkan jualan paling tinggi pada 2017 berbanding jenama lain sebanyak 204,887 unit.
X70 telah menerima tempahan lebih daripada 15,000 unit semenjak tempahan dibuka September lalu.
Persaingan antara dua kereta nasional iaitu Perodua dan Proton semakin hangat apabila Perodua mengumumkan pengeluaran model sport-utility vehicle (SUV) baru-baru ini.
Ini merupakan kali pertama kedua syarikat ini melancarkan model SUV mereka di Malaysia. Menurut penganalisa automotif, Shamsul Yunos, tindakan ini mampu meningkatkan kadar jualan SUV di negara ini yang dilihat jauh ketinggalan berbanding purata jualan SUV dunia.
“Segmen SUV di Malaysia berjumlah 15% daripada paras jualan kenderaan (TIV), lebih rendah berbanding purata dunia pada kadar 30%”
“Pengilang Malaysia dan jenama-jenama lain percaya pada potensi pertumbuhan bagi segmen SUV dan mula memperkenalkan model SUV mereka bagi memenuhi permintaan pasaran” – Shamsul Yunos
Kedua-dua syarikat ini dilihat mempunyai objektif berbeza melalui pelancaran model SUV mereka. Proton fokus kepada menambah baik persepsi masyarakat terhadap jenama mereka, manakala Perodua lebih fokus kepada jualan dan keuntungan.
Berdasarkan data daripada Malaysian Automotive Association (MAA), Perodua mencatatkan jualan paling tinggi pada 2017 berbanding jenama lain sebanyak 204,887 unit. Walau bagaimanapun pegangan pasaran Perodua menurun daripada 35.7% kepada 35.5%.

Proton pula berada di tangga ketiga bagi kategori unit jualan terbanyak. Pada tahun 2017, Proton telah menjual sebanyak 70,991 unit dan turut mengalami penurunan pegangan pasaran daripada 12.5% kepada 12.3%.
Baca: X70: Titik Permulaan Kebangkitan Semula Proton
Tanda-tanda kebangkitan semula Proton dapat dilihat melalui pelancaran model X70. Setakat hari ini, X70 telah menerima tempahan lebih daripada 15,000 unit semenjak tempahan dibuka September lalu.
Tidak ketinggalan, Perodua turut mengumumkan model SUV mereka iaitu Perodua Aruz. Tempahannya telah pun dibuka bermula pada harga RM72,200. Perodua yakin mereka mampu menjual sekurangnya 2,500 unit sebulan pada tahun ini.
Siapakah yang bakal menguasai pasaran SUV keluaran tempatan?
Dalam kehangatan persaingan dua kereta nasional ini, wujud pula pelan mewujudkan kereta nasional ketiga daripada kerajaan. Pelbagai kritikan dan cadangan diterima bagi idea “Perotiga” ini.
Terbaru, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga yang sebahagian besarnya adalah daripada pelaburan vendor.
Pengumuman ini mendapat kritikan daripada kebanyakan masyarakat kerana pada asalnya kerajaan berjanji projek kereta nasional ketiga tidak akan menggunakan sebarang dana awam.
Baca: Negara Ini Memerlukan Kereta Nasional Baru, Apa Komen Pakar?
Baca: Wajarkah Malaysia Mempunyai Kereta Nasional Yang Baru?
Bagaimanakah keadaaan pasaran automotif pada tahun ini? Adakah Proton akan kembali gemilang?