fbpx

Porsche Taycan Pesaing Baru Tesla, Elon Musk Tidak Senang Duduk

Oleh : Wan Syarafiz
31 Januari 2019 - 4:50 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Kebanyakan tempahan yang diterima bagi model Porsche Taycan ini adalah daripada pemilik kereta Tesla
  • Tesla mengadakan kerjasama dengan kerajaan Shanghai bagi membina kilang Gigafactory untuk mengeluarkan Model 3 di pasaran China

 

Tanpa diragui lagi, Taycan merupakan model kereta elektrik keluaran jenama Porsche yang sudah pasti membuatkan CEO Tesla, Elon Musk merasa agak gelisah. Model Taycan ini disifatkan sebagai penunjuk bahawa Porsche benar-benar serius mahu bersaing dalam pasaran kereta elektrik.

 

Daripada sudut spesifikasi, Porsche Taycan mampu memecut kepada kelajuan 100 km/jam dengan hanya mengambil masa 3.5 saat sahaja. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai pula ialah 250km/jam. Apa yang lebih menarik lagi, untuk satu kali pengecasan model kereta elektrik ini, ia mampu bergerak untuk jarak sehingga 500km.

 

Dan kini Porsche dikhabarkan sedang giat membina jaringan voltan tinggi bagi membenarkan pemilik kereta melakukan pengecasan untuk jarak 400 km dalam tempoh 20 minit sahaja.

 

Walaupun kereta ini belum lagi dikeluarkan dan hanya dibuka untuk tempahan sejak enam bulan lepas namun Porsche telah mengumumkan akan meningkatkan pengeluaran model Taycan daripada 20,000 unit kepada 40,000 unit.

 

Menurut Porsche, kebanyakan tempahan yang diterima bagi model Taycan ini adalah datang daripada pemilik kereta Tesla. Ini mungkin petanda awal yang menunjukkan pemilik Tesla tidak berpuas hati terhadap jenama kereta itu kerana beberapa faktor. Sebelum ini Tesla dilaporkan berhadapan dengan beberapa masalah seperti penghantaran kereta yang lambat, kecacatan pada produk serta kos penyelenggaraan yang mahal.

 

Image result for taycan
Kredit: The Economic Times

 

Walaupun Porsche belum dikenali untuk model kereta elektriknya, namun ramai beranggapan syarikat pengeluar kereta tersebut mempunyai pengalaman yang luas dalam pengeluaran kereta dan sudah semestinya pengalaman pemanduan yang ditawarkan adalah setaraf dengan model-model Porsche yang lain.

 

Tesla sememangnya cukup dikenali sebagai pengeluar kereta elektrik yang mendominasi pasaran premium sejak melancarkan model Roadster sedekad lalu. Namun kini dengan lebih banyak model baru dikeluarkan seperti Porsche Taycan, Audi e-tron dan Jaguar I-Pace yang memasuki pasaran, kedudukan Tesla dilihat semakin goyah.

 

Banyak penganalisa menyatakan keputusan Tesla untuk menghentikan penjualan 75D Model S dan X adalah bagi menumpukan persaingan kepada model-model yang lebih mahal dan premium dengan syarikat pengeluar kereta elektrik yang lain.

 

 

Apa yang lebih menggusarkan Tesla dengan kehadiran Porsche Taycan ini ialah kemudahan pengecasan yang ditawarkan. Dengan kerjasama Volkswagen, pembeli Porsche Taycan akan lebih mudah untuk mengecas kereta di stesen Electrify America LLC (milik Volkswagen). Terdapat 300 stesen pengecasan ini di lebuhraya di 42 buah negeri di seluruh Amerika Syarikat dan 180 stesen di 17 bandar-bandar besar. Untuk tempoh 3 tahun, pembeli Porsche Taycan juga boleh mengecas kereta mereka selama 30 minit untuk setiap kali pengecasan secara percuma!

 

Dengan jangkaan harga sekitar USD80,000, Porsche Taycan sudah pasti memberi tentangan sengit kepada Tesla.

 

Namun begitu, janganlah kita memandang rendah kepada kemampuan Tesla. Ini kerana, Tesla kini sedang menggiatkan usaha mereka untuk mendominasi pasaran kereta elektrik. Ini dapat dilihat apabila Elon Musk baru sahaja melakukan upacara pecah tanah di China bagi pembinaan kilang Gigafactory mereka.

 

 

Melihat kepada trend harga saham Tesla sepanjang tahun lepas, ia telah menunjukkan ketidaktentuan dengan penghujung tahun 2018 merekodkan trend yang menurun. Namun selepas upacara pecah tanah di China, harga saham Tesla telah kembali mencatatkan trend yang menaik.

 

Sepanjang tahun 2018, sebanyak 245,240 unit telah dikeluarkan oleh Tesla dan daripada jumlah keseluruhan ini, 145,846 unit datangnya daripada Model 3. Berikutan daripada sambutan hangat yang diterima, Tesla telah mengadakan kerjasama dengan kerajaan Shanghai bagi membina kilang dan mengeluarkan Model 3 ini bagi pasaran China.

 

Apabila kilang ini berjaya disiapkan, ia akan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 500,000 unit kereta dan jika ini ditambah dengan pengeluaran kereta di kilang Fremont, California, Tesla berupaya untuk mencapai jualan global sebanyak 1 juta unit.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara¬†mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…