fbpx

Senarai Terkini Sekuriti Patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Oleh : Kapital
09 Januari 2019 - 12:27 pm

Reading Time: 4 minutes

Pada 30 November 2018 yang lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan senarai terkini Sekuriti Patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC berkuatkuasa mulai 30 November 2018. Sebanyak 33 sekuriti baru diklasifikasikan oleh MPS sebagai sekuriti patuh Syariah telah dimasukkan dalam senarai tersebut manakala 34 sekuriti yang berada dalam senarai sebelum ini telah dikeluarkan. Berdasarkan senarai terkini, sebanyak 689 daripada 902 sekuriti atau 76%. yang disenaraikan di Bursa Malaysia telah diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah.

 

Kredit: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

 

Metodologi Penentuan Status Syariah

Senarai pertama sekuriti patuh Syariah telah dikeluarkan pada tahun 1997. Sejak 1997, senarai ini dikemaskini dan dikeluarkan dua kali setahun, pada bulan Mei dan November. Bermula November 2013, MPS mula menggunakan metodologi penentuan status Syariah melalui dua pendekatan dan tiga peringkat:

 

Pendekatan Kuantitatif

  1. Peringkat Tanda Aras Aktiviti Perniagaan
  2. Peringkat Tanda Aras Nisbah Kewangan

 

Pendekatan Kualititatif

  1. Peringkat persepsi awam dan imej aktiviti bisnes syarikat.

 

Dalam proses menentukan sekuriti patuh Syariah, MPS menerima input dan sokongan daripada SC yang mendapatkan maklumat mengenai sesebuah syarikat melalui laporan tahunan dan pertanyaan yang dibuat kepada pihak syarikat itu secara terus. MPS melalui SC juga melakukan pemantauan berterusan terhadap status Syariah sekuriti-sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan penyata kewangan tahunan terkini syarikat yang diaudit.

 

Peringkat Tanda Aras Aktiviti Perniagaan

Secara asas, semua aktiviti perniagaan adalah harus kecuali apa yang diharamkan berdasarkan kaedah dalam Syariah bagi perkara-perkara berkaitan Muamalat atau hukum yang bersangkutan dengan urusan dunia. Ia disebut oleh Imam Suyuthi:

 

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

 

Di Malaysia terdapat banyak syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia mempunyai operasi perniagaan yang bercampur-campur, sebagai contoh mudah, sebuah syarikat borong barangan runcit dan termasuk dalam senarai barangan runcit itu adalah rokok. Maka ia dikira syarikat yang mempunyai operasi perniagaan yang bercampur kerana status rokok itu haram dalam Syariah.

 

Maka untuk meyelesaikan masalah pendapatan bercampur syarikat seperti di atas, MPS telah menetapkan tanda aras minimum bagi hasil pendapatan tidak patuh Syariah berdasarkan perbincangan anggota MPS.

 

  1. Tanda aras lima peratus (sumbangan daripada perniagaan/aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan Kumpulan atau keuntungan sebelum cukai Kumpulan sesebuah syarikat mestilah kurang daripada lima peratus untuk sekuriti mereka diklasifikasikan sebagai patuh Syariah)
  • perbankan konvensional;
  • insurans konvensional;
  • perjudian;
  • arak dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya;
  • babi dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya;
  • makanan dan minuman tidak halal;
  • hiburan tidak patuh Syariah;
  • tembakau dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya;
  • pendapatan faedah daripada akaun dan instrumen konvensional (termasuk pendapatan faedah yang diterima berikutan daripada keputusan mahkamah atau penimbang tara);
  • dividen daripada pelaburan tidak patuh Syariah; dan
  • aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak patuh Syariah oleh MPS.

 

  1. Tanda aras 20 peratus (sumbangan daripada perniagaan/aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan Kumpulan atau keuntungan sebelum cukai Kumpulan sesebuah syarikat mestilah kurang daripada 20 peratus untuk sekuriti mereka diklasifikasikan sebagai patuh Syariah))
  • jual beli saham tidak patuh Syariah;
  • pembrokeran saham konvensional;
  • hasil sewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah; dan
  • aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak patuh Syariah oleh MPS.

 

Peringkat Tanda Aras Nisbah Kewangan

Bagi tanda aras nisbah kewangan, MPS mengambil kira perkara berikut:

  1. Tunai ke atas jumlah asset

 

Tunai yang diambil kira ialah tunai yang ditempatkan dalam akaun dan instrumen konvensional, manakala tunai yang ditempatkan dalam akaun dan instrumen patuh Syariah tidak diambil kira dalam pengiraan ini.

  1. Hutang ke atas jumlah aset

 

Hutang yang diambil kira ialah hutang yang berteraskan faedah, manakala pembiayaan secara patuh Syariah ataupun Sukuk tidak diambil kira dalam pengiraan ini.

 

Nisbah di atas bertujuan untuk menilai Riba dan elemen berteraskan Riba dalam penyata kedudukan kewangan sesebuah syarikat, masing-masing mestilah kurang daripada 33 peratus.

 

Peringkat Persepsi Awam dan Imej Aktiviti Bisnes Syarikat.

Di samping dua peringkat di atas, MPS juga mengambil kira aspek kualitatif yang melibatkan persepsi masyarakat umum atau imej aktiviti syarikat dari perspektif Islam terhadap sesebuah syarikat.

 

Kredit: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

 

Pelupusan Sekuriti Tidak Patuh Syariah

Bagi pelabur-pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah dan sekuriti patuh Syariah yang kemudiannya bertukar status kepada tidak patuh Syariah berdasarkan senarai terkini ini, mereka dinasihatkan untuk melupuskannya. Bagi pemilikan sekuriti yang bertukar status, ada tiga keadaan yang disebutkan oleh pihak MPS:

  1. Sekiranya pada tarikh senarai kemas kini berkuatkuasa (30 November 2018), harga pasaran sekuriti tersebut melebihi atau bersamaan dengan kos pelaburan (harga beli sekuriti termasuk kos pembrokeran dan kos transaksi yang berkaitan), para pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah tersebut mesti melupuskannya. Sebarang dividen yang diterima sehingga tarikh pengumuman dibuat serta keuntungan modal hasil daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah tersebut pada tarikh pengumuman dibuat, boleh disimpan oleh para pelabur.

 

  1. Sekiranya dividen diterima dan lebihan keuntungan modal diterima hasil daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah selepas hari pengumuman, ia hendaklah disalurkan kepada baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan. Pelabur hanya boleh mengambil kos pelaburan sahaja.

 

  1. Sekiranya harga pasaran sekuriti tersebut berada di bawah kos pelaburan, para pelabur dibenarkan untuk memegang pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah. Sepanjang tempoh pegangan sekuriti itu, para pelabur dibenarkan menyimpan dividen yang diterima sehingga jumlah dividen yang diterima dan harga pasaran sekuriti itu bersamaan dengan kos pelaburan. Pada ketika ini, para pelabur dinasihatkan untuk melupuskan pegangan mereka dan mengambil kos pelaburan sahaja.

 

Di samping itu, sepanjang tempoh pegangan sekuriti tidak patuh Syariah itu, para pelabur dibenarkan untuk melanggan:

(a) sebarang terbitan sekuriti baru oleh syarikat yang mana sekuritinya tidak patuh Syariah yang dipegang oleh pelabur, sebagai contoh, terbitan hak, terbitan bonus, terbitan khas dan waran (tidak termasuk sekuriti yang tidak patuh Syariah seperti stok pinjaman);

dan

 

(b) sekuriti patuh Syariah syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang mana sekuritinya tidak patuh Syariah yang dipegang oleh para pelabur.

Ia dengan syarat mereka kemudian menyegerakan pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah tersebut.

 

Akhir kata, marilah kita menjadi pelabur Muslim yang cakna dan bertanggungjawab.

 

Sumber rujukan: (https://www.sc.com.my/wpcontent/uploads/eng/html/icm/sas/sc_syariahcompliant_181129.pdf)


Artikel ditulis oleh Saudara Arham Merican

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

230194
Kapital

7 Perkara Mengenai Ekonomi Malaysia Baru

Reading Time: 3 minutes Satu garis panduan pelantikan jawatan tertinggi GLC akan dikeluarkan MoF Cukai korporat bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)…

7-01
Kapital

MRCB Perkenal MBS Bagi Tingkatkan Kualiti Pembinaan

Reading Time: 2 minutes   Syarikat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bakal meningkatkan lagi kualiti dalam sektor pembinaan dengan memperkenalkan sistem pembinaan…

101b
Kapital

Lima Strategi Makro Kekal Daya Tahan Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan lima strategi makro bagi…

kilang-mazda-kulim-mekanika-4

Tahap Perniagaan Di Malaysia Kurang Memberansangkan Bagi Tempoh 5 Bulan Berturut-Turut

Reading Time: 2 minutes PMI China kekal bawah paras 50 semenjak Disember 2018 PMI adalah satu kaji selidik yang dilakukan secara bulanan…