USD5 Trilion Mengalir Keluar Dari Pasaran Saham Asia
- Indeks Asia Pasifik MSCI mencatatkan rekod paling buruk sejak tahun 2011
- Saham teknologi antara yang terkesan dengan penurun sebanyak 21%
Pasaran saham di rantau Asia pada tahun 2018 telah menyaksikan penurunan yang sangat ketara dengan pengaliran keluar nilai pasaran sebanyak USD5.2 trilion.
Dilihat kepada situasi masa kini, banyak faktor yang telah menyumbang kepada penurunan nilai pasaran saham ini seperti kerisauan terhadap pertumbuhan pasaran, pertembungan kuasa besar Amerika Syarikat dan China serta ketidakstabilan politik Amerika Syarikat.
Setakat ini, pasaran Indeks Asia Pasifik MSCI telah menurun sebanyak 22% sejak mencapai nilai tertinggi pada Januari awal tahun ini.
Menurut Pakar Pelaburan daripada DBS Group Holdings, Jason Low, terdapat beberapa instrumen pelaburan yang masih selamat untuk tahun ini dengan pasaran ekuiti Asia tidak terlepas daripada terkena tempias perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China.
Daripada kejatuhan saham teknologi sehingga kemerosotan pasaran China. Ini perkara yang anda perlu tahu mengenai pasaran saham di Asia sepanjang tahun 2018.
Tahun yang penuh dengan ‘ketidaktentuan’
Berdasarkan Indeks Asia Pasifik MSCI, pergolakan pasaran saham di rantau Asia ini telah menunjukkan perubahan harga yang paling tidak menentu pernah direkodkan dalam masa dua tahun ini.
Pasaran saham utama di Asia ‘berlumba-lumba’ menurun
Selepas hampir sedekad kenaikan harga saham di pasaran ekuiti Amerika Syarikat dicatatkan, pasaran saham Asia pula menunjukkan ia kurang mengukuh pada awal tahun ini. Pasaran saham serantau secara keseluruhannya telah menurun sebanyak 24% daripada nilai tertinggi yang dicatatkan tahun ini.
Perang dagangan Amerika Syarikat-China
Prestasi buruk dalam pasaran saham ini sudah pasti juga terjadi disebabkan oleh konflik yang berlaku antara Amerika Syarikat dan China yang menggugat ekonomi global serta mengganggu rantaian bekalan (supply chains) di seluruh Asia. Pengeksport barangan pengguna seperti Li & Fung Ltd di Hong Kong misalannya telah mengalami kesan yang teruk apabila 70% nilai pasarannya ‘hilang’ sejak bulan Mei tahun ini.
Kejatuhan saham teknologi
Sepanjang tahun ini, antara situasi yang menjadi perhatian ramai ialah kejatuhan pelaburan dalam bidang teknologi apabila unit saham FAANG (Facebook, Apple, Amazon, Netflix & Alphabet Google) telah merekodkan penurunan. Saham Apple dan Amazon selepas pertengahan tahun jatuh sebanyak 30%. Situasi hampir sama terjadi di Asia apabila saham Tencent Holdings telah jatuh sebanyak 47%.
‘The China Effect’
Pelabur di China paling terkesan dengan kejatuhan saham di rantau Asia apabila Indeks Komposit Shanghai kini berada 25% di bawah nilai yang dicatatkan pada awal tahun ini. Perang dagangan Amerika Syarikat-China telah menyebabkan USD2.4 trilion nilai pasaran saham jatuh.
Sumber: Bloomberg