fbpx

Airbus A380, Pesawat Yang Dibina Untuk Gagal

Oleh : Wan Syarafiz
19 Februari 2019 - 5:05 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Emirates Airlines telah membatalkan 35 daripada 55 jumlah tempahan keseluruhan bagi Airbus A380
  • Pesawat A380 milik Malaysia Airlines kini digunakan bagi tujuan haji dan umrah

 

Syarikat pembuat kapal terbang, Airbus baru-baru ini telah membuat pengumuman akan menamatkan pengeluaran pesawat A380 bermula pada tahun 2021 selepas gagal menerima sebarang tempahan baru.

 

Pembeli terbesar pesawat A380, Emirates Airlines juga dilaporkan telah membatalkan tempahan sebanyak 35 pesawat daripada 55 jumlah tempahan keseluruhan. Dalam perjanjian terbaru bersama Airbus, Emirates telah menukar tempahan A380 tersebut dengan 70 pesawat model A330 dan A350 yang dikatakan lebih efisien.

 

Setakat ini, Emirates merupakan syarikat penerbangan yang memiliki jumlah pesawat A380 paling banyak di dunia dengan jumlah keseluruhan 108 pesawat. Jika diambil kira nilai tempahan baru 70 pesawat A330 dan A350 ini, ianya berjumlah sebanyak USD21.4 bilion. Manakala jumlah 35 tempahan A380 yang dibatalkan Emirates pula bernilai sekitar USD15.6 bilion.

 

Melihat kepada pembuatan A380, ia boleh disifatkan sebagai salah satu kejuruteraan yang hebat dengan saiz binaan yang luas serta mampu menampung sehingga 600 penumpang. Pada awal pengeluarannya, ia boleh disifatkan sebagai satu model pesawat yang mampu menewaskan model-model pesawat yang lain.

 

Image result for airbus a380
Kredit: CNBC.com

 

Namun begitu, kenapa Airbus mahu menamatkan pengeluaran A380?

 

Kebanyakan pembeli pesawat A380 seperti Qantas, Singapore Airlines, Nippon Airways, British Airways bahkan Air France tidak mampu memaksimumkan kapasiti A380. Satu sahaja masalah utama A380 ini iaitu ia terlampau besar sehingga sukar untuk memenuhkan penumpang dalam pesawat tersebut.

 

Pendek kata, ianya menelan belanja kos yang tinggi dan sukar menjana keuntungan sekiranya pesawat tidak penuh.

 

Malaysia Airlines Bhd (MAB) juga menerima nasib yang hampir serupa apabila 6 pesawat A380 yang dibeli dilihat hanya sebagai pembaziran. Ketika pesawat A380 ini dibeli, mesej yang ditunjukkan MAB adalah amat jelas iaitu mahu meningkatkan kapasiti atau jumlah penumpang untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

 

Namun seperti yang diketahui, trafik laluan bagi Malaysia Airlines bukanlah terlalu besar sehingga memerlukan pesawat seperti A380. Ini ditambah pula dengan insiden MH370 dan MH17 yang membuatkan lebih ramai orang takut untuk menaiki pesawat MAB.

 

Pada awal pembelian, A380 telah digunakan bagi laluan Kuala Lumpur-London namun kemudiannya telah ditukar dengan model A350. Pesawat A380 ini kemudiannya telah digunakan secara bermusim untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke beberapa destinasi seperti Hong Kong, Sydney, Tokyo dan Seoul bagi memaksimumkan penggunaannya.

 

Selain itu, pihak MAB juga telah mengambil langkah melancarkan penyedia perkhidmatan sewa khas bagi tujuan haji dan umrah yang dikenali dengan nama Amal (Project Hope).

 

Amal telah mensasarkan untuk menguasai 60% penerbangan haji dan umrah di Malaysia dalam tempoh satu ke dua tahun ini. Mula dilancarkan pada Oktober 2018, MAB telah menandatangani perjanjian dengan 5 syarikat pengurusan haji dan umrah untuk menerbangkan rakyat Malaysia ke Madinah dan Jeddah menggunakan pesawat A380.

 

Pihak pengurusan Amal sendiri juga menyatakan wujud potensi besar dalam pasaran haji dan umrah ini bukan sahaja di Malaysia malahan mereka juga menjangkakan akan melebarkan perkhidmatan ini di Thailand dan Indonesia memandangkan pasaran umrah di Indonesia adalah 10 kali lebih besar daripada pasaran Malaysia.

 

Related image

 

Berbalik kepada syarikat Airbus, mereka sebelum ini pernah berbincang bersama satu lagi syarikat pembuat kapal terbang, Boeing untuk bersama-sama membangunkan pesawat bersaiz “superjumbo”, namun idea tersebut telah ditentang oleh jurutera Boeing dan penganalisa pasaran atas faktor pasaran belum bersedia menerima pesawat yang bersaiz besar.

 

Namun, pihak Airbus telah mengambil keputusan untuk meneruskan idea tersebut dengan alasan lapangan terbang sudah terlalu padat dan tidak mampu untuk menampung jumlah pesawat yang semakin bertambah. Idea Airbus pada ketika itu ialah untuk membina pesawat yang besar supaya syarikat penerbangan hanya perlu menggunakan satu pesawat sahaja ke satu destinasi setiap hari berbanding tiga atau empat pesawat setiap hari terbang ke destinasi yang sama.

 

Airbus jelas tidak mengambil sebarang pengajaran daripada Boeing. Pesawat model 747 yang diperkenalkan Boeing pada tahun 1970 juga sebenarnya menghadapi masalah yang sama. Ianya terlalu besar dan memakan kos yang tinggi sehinggakan banyak syarikat penerbangan akhirnya memilih untuk menamatkan penggunaan pesawat Boeing 747. Selepas 49 tahun mengeluarkan model 747, Boeing juga dilaporkan akan menghentikan pengeluaran model tersebut di pasaran tidak lama lagi.

 

Sedangkan Boeing 747 yang lebih kecil dengan kapasiti 400 penumpang juga sukar menjana keuntungan inikan pula Airbus A380 dengan kapasiti melebihi 600 penumpang.

 

Walaupun teknologi serta reka bentuk dalaman Airbus A380 ini tidak boleh dinafikan sebagai antara yang terbaik bagi pesawat komersial namun perkara yang penting dalam sebarang perniagaan ialah kemampuan untuk menjana jualan serta keuntungan. Airbus A380 secara jelas telah dibina untuk pasaran yang salah atau lebih tepat lagi pasaran yang sebenarnya tidak wujud langsung pada hari ini.

 

 

Sumber: Forbes

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 24-01
Kapital

Kenapa Orang Jepun Tidak Membeli Kereta Buatan Amerika

Reading Time: 2 minutes 40% daripada kereta yang dijual di Jepun adalah kereta bersaiz kecil General Motor hanya mampu menjual 700 unit…

Featured Image 3-01 (1)
Kapital

Perkhidmatan Kesihatan & Impak Kepada Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes   AmInvestment menjangkakan prospek pertumbuhan bagi sektor kesihatan adalah positif untuk tempoh jangka panjang yang akan datang berdasarkan…

Featured Image 2-01
Kapital

Graduan B40 Sukar Dapat Kerja Setimpal

Reading Time: 10 minutes   Peluang melanjutkan pelajaran di menara gading, kini bukan lagi jaminan bagi anak-anak daripada keluarga miskin serta kelompok…

Featured Image-01
Kapital

Hi HOME Bakal Tingkatkan Kadar Pemilikan Rumah Di Malaysia

Reading Time: 3 minutes   Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, sudah pasti memiliki rumah adalah salah satu impian yang mahu dipenuhi. Selain…