fbpx

Caj Kesesakan Diperkenal, Kos Sara Hidup Kekal

Oleh : Wan Syarafiz
25 Februari 2019 - 4:53 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Kadar caj kesesakan pada waktu puncak adalah sama dengan kadar tol sedia ada
  • Kesesakan trafik di bandar London telah menurun sebanyak 25% apabila caj kesesakan diperkenalkan

 

Kerajaan kini telah memulakan proses rundingan dengan pihak Gamuda Berhad bagi membincangkan pengambil alihan konsesi lebuh raya yang melibatkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

 

Sekiraya kerajaan berjaya mengambil alih empat lebuhraya yang dinyatakan ini, kerajaan dikatakan bercadang untuk menghapuskan mekanisme kutipan tol dan menggantikannya dengan memperkenalkan ‘caj kesesakan’ (congestion charge).

 

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, langkah ini mahu diambil bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan dalam pilihanraya yang lepas. Di bawah model yang baru, caj kesesakan akan dikutip pada waktu puncak selama enam jam sehari dengan kadar tol sedia ada.

 

Selain itu, pada waktu ‘off peak’ dari pukul 11 malam sehigga 5 pagi, kadar tol dihapuskan sama sekali. Manakala bagi penggunaan lebuhraya waktu biasa, diskaun bayaran sebanyak 30% pula akan diberikan.

 

Pendek kata, caj kesesakan ini mahu dilaksanakan sebagai salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat supaya tidak menggunakan lebuhraya ketika waktu puncak dan sesak.

 

 

Adakah sistem untuk mengenakan caj kesesakan ini adalah lebih baik berbanding mekanisme tol sedia ada?

 

Jika dilihat kepada sistem caj kesesakan ini, ia bukanlah satu perkara yang baru. Banyak bandar-bandar utama di seluruh dunia seperti London, Stockholm dan Milan mengamalkan kaedah yang sama. Malahan, negara jiran kita, Singapura juga sudah melaksanakan kaedah ini.

 

Melihat kepada hasil daripada pelaksanaan sistem ini di tempat-tempat lain, ia boleh dikatakan berkesan dalam mengurangkan kesesakan jalan raya. Sebagai contoh, ketika London melaksanakan sistem ini pada tahun 2003, kesesakan trafik di bandar tersebut telah menurun sebanyak 25%.

 

Situasi hampir sama berlaku di Stockholm apabila kesesakan trafik telah menurun 20% dalam tempoh pelaksanaan caj kesesakan ini.

 

Caj kesesakan ini boleh disifatkan sebagai satu langkah positif kerana kesesakan trafik sebenarnya mendatangkan bebanan bukan sahaja kepada individu malahan juga kepada masyarakat. Kesesakan trafik akan menyebabkan kehilangan masa produktiviti, pencemaran alam sekitar serta juga boleh mendatangkan masalah kesihatan berpunca daripada asap yang dikeluarkan kenderaan.

 

Namun setakat hari ini, harga pengambil alihan empat lebuh raya ini masih belum diketahui. Jika kita lihat dalam pembentangan Belanjawan 2019, langkah ini juga tidak pernah dinyatakan sama sekali. Jadi, ini mungkin bermakna kerajaan akan membuat lebih banyak hutang baru. Jika ini berlaku, terdapat suara-suara yang mula mempersoalkan bukankah Pakatan Harapan ketika mengambil alih kerajaan persekutuan mahu mengurangkan hutang negara RM1 trilion?

 

Satu perkara lagi, sekiranya caj kesesakan ini dilaksanakan kerana mahu mengurangkan kesesakan, kenapa ia hanya melibatkan empat lebuhraya ini? Jika di London dan Singapura, caj kesesakan ini dikenakan untuk memasuki radius sesebuah Central Business District. Tetapi di Malaysia, pengguna lebuhraya masih mempunyai pilihan jalan alternatif lain untuk memasuki Kuala Lumpur.

 

Jadi, apakah signifikan caj kesesakan ini sekiranya rakyat masih bersesak ke Kuala Lumpur menggunakan jalan alternatif lain?

 

Radius Caj Kesesakan di London

 

London dan Singapura juga melaksanakan caj kesesakan ini untuk mengalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Namun situasi di Malaysia, jaringan pengangkutan awam masih belum menyeluruh dan tidak sebagus bandar-bandar besar ini.

 

Selain itu, ketika manifesto penghapusan tol oleh Pakatan Harapan dibuat, ia dikatakan bertujuan untuk mengurangkan kos kehidupan majoriti rakyat. Adakah ia benar-benar boleh menurunkan kos sara hidup rakyat?

 

Jika kita teliti kenyataan akhbar yang dibuat Pejabat Perdana Menteri, pengguna lebuhraya masih perlu membayar caj kesesakan pada kadar tol sedia ada ketika waktu puncak. Di Malaysia, sekolah bermula pada jam 7.20 pagi dan kebanyakan pejabat pula bermula sekitar jam 8 pagi hingga 9 pagi. Rata-rata rakyat masih perlu bergerak pada waktu puncak dan perlu melalui lebuhraya untuk tiba di tempat kerja pada waktu yang tepat.

 

Penggunaan lebuhraya ini bukan lagi pilihan yang dibuat kerana kemewahan tetapi ia dibuat atas dasar keperluan. Jadi, kebanyakan rakyat sebenarnya masih perlu membayar caj kesesakan ini dan ia sama sahaja seperti mekanisme kutipan tol yang dijalankan sekarang.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Malaysia-Postpaid-Telco-Logos
Kapital

Celcom-Digi Bergabung, Pengguna Untung Atau Rugi?

Reading Time: 3 minutes Apakah anda rasa penggabungan Celcom dengan Digi akan memberi faedah kepada rakyat? Ok, anda yang tidak menggunakan kedua-dua…

Axiata
Kapital

Hati Hati Dengan Gergasi Telekomunikasi

Reading Time: 2 minutes Baru-baru ini telah diumumkan bahawa Axiata dan syarikat telekomunikasi dari Norway, Telenor sedang menjalankan perbincangan bagi menggabungkan aset-aset…

Featured Image 14-01
Kapital

Pelan Mega USD412 Bilion Pembinaan Negara Indonesia

Reading Time: 2 minutes 40% daripada dana akan disalurkan oleh pihak kerajaan persekutuan manakala 25% lagi disumbangkan melalui syarikat milik kerajaan negeri…

Featured Image 13-01

Malaysia Bakal Hantar Pekerja Berkemahiran Ke Jepun

Reading Time: 2 minutes Memorandum kerjasama dijangka ditandatangani Julai Potensi sehingga 50 ribu peluang pekerjaan Malaysia kini sedang mengadakan rundingan dengan Jepun…