fbpx

Keuntungan Boustead Menurun, Hotel Royale Chulan Bakal Dijual

Oleh : Wan Syarafiz
28 Februari 2019 - 4:24 pm

Reading Time: 2 minutes
  • Hotel Royal Ltd membuat tawaran untuk membeli Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta
  • Boustead Holdings pada tahun 2017 telah mencatatkan keuntungan selepas cukai sekitar RM662 juta

 

Penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang oleh Boustead Holdings Bhd masih belum muktamad. Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan berhubung isu hangat penjualan aset milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu.

 

Menurut laporan, penjualan tersebut masih dalam peringkat penilaian dan sebarang keputusan akhir masih belum diputuskan.

 

Sebelum ini, Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, Boustead Hotel & Resorts Sdn Bhd mengumumkan bahawa mereka telah menerima satu tawaran daripada syarikat perhotelan yang berpangkalan di Singapura, Hotel Royal Ltd untuk membeli hotel Royale Chulan tersebut pada harga RM197 juta.

 

 

Pihak Boustead telah memberikan tempoh selama satu bulan kepada pihak Hotel Royal Ltd bagi melakukan penilaian “due diligence” ke atas Royale Chulan Bukit Bintang dan pelaksanaan perjanjian jual beli akan dibuat dalam tempoh tersebut.

 

Sebagai rekod, Hotel Royal Ltd telah membayar sebanyak RM3.94 juta sebagai deposit 2% dan sekiranya perjanjian jual beli tersebut tidak dilaksanakan atas sebarang sebab, pihak Hotel Royal Ltd akan menerima pengembalian deposit sepenuhnya dalam tempoh 14 hari.

 

Isu penjualan Royale Chulan Bukit Bintang ini telah mendapat perhatian daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempersoalkan penjualan hotel tersebut melalui laman Facebook beliau.

 

Menurut Najib Razak, penjualan hotel tersebut menimbulkan kehairanan berikutan terdapat satu laporan yang mengatakan Boustead terpaksa menjual hotel ini kerana LTAT memerlukan wang. Jika situasi ini terjadi, maka ia sebenarnya akan menjejaskan harga jualan hotel tersebut. Kemudian, timbul satu lagi persoalan, mengapakah LTAT tiba-tiba terdesak untuk mendapatkan wang?

 

Selain itu, Najib Razak juga menyatakan pihak Boustead telah melakukan kesalahan undang-undang kerana membuat pengumuman palsu kepada Bursa Malaysia berkenaan penjualan hotel tersebut. Ini kerana, Boustead telah membuat pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia serta mereka juga mengesahkan sudah menandatangani surat setuju terima dari Hotel Royal Ltd.

 

Berdasarkan laporan tahunan Boustead Holdings, kumpulan syarikat terbabit pada tahun 2017 telah mencatatkan keuntungan selepas cukai sekitar RM662 juta. Keuntungan ini dilihat banyak disumbangkan melalui penjualan tanah pertanian mereka yang keseluruhannya bernilai RM555 juta.

 

Bagaimanapun, jika dilihat kepada prestasi kewangan kumpulan syarikat Boustead Holdings pada tahun 2018, ia dilaporkan telah menurun. Laporan suku ketiga tahun 2018 menunjukkan Boustead Holdings mencatat keuntungan selepas cukai dalam tempoh tersebut berjumlah sebanyak RM40.1 juta. Ini adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan keuntungan selepas cukai pada suku ketiga tahun 2017 yang berjumlah sebanyak RM578 juta. Ini bermakna dalam tempoh setahun, keuntungan yang direkodkan Boustead Holdings telah menurun sebanyak 93%.

 

Menurut wakil Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd, tujuan penjualan Royale Chulan Bukit Bintang mahu dilaksanakan kerana setakat ini terdapat dua hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur iaitu Royale Bukit Bintang dan Royale Chulan Kuala Lumpur yang mana kedua-dua hotel tersebut terletak amat berdekatan antara satu sama lain.

 

Jadi, pihak Boustead Holdings telah memutuskan untuk mengukuh dan memberikan tumpuan hanya kepada satu hotel sahaja iaitu Royale Chulan Kuala Lumpur untuk menguasai pasaran ibu negara. Selain itu, mereka juga merasakan ini adalah masa paling sesuai untuk menjual Royale Chulan Bukit Bintang berdasarkan harga tawaran menarik yang diterima.

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 24-01
Kapital

Kenapa Orang Jepun Tidak Membeli Kereta Buatan Amerika

Reading Time: 2 minutes 40% daripada kereta yang dijual di Jepun adalah kereta bersaiz kecil General Motor hanya mampu menjual 700 unit…

Featured Image 3-01 (1)
Kapital

Perkhidmatan Kesihatan & Impak Kepada Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes   AmInvestment menjangkakan prospek pertumbuhan bagi sektor kesihatan adalah positif untuk tempoh jangka panjang yang akan datang berdasarkan…

Featured Image 2-01
Kapital

Graduan B40 Sukar Dapat Kerja Setimpal

Reading Time: 10 minutes   Peluang melanjutkan pelajaran di menara gading, kini bukan lagi jaminan bagi anak-anak daripada keluarga miskin serta kelompok…

Featured Image-01
Kapital

Hi HOME Bakal Tingkatkan Kadar Pemilikan Rumah Di Malaysia

Reading Time: 3 minutes   Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, sudah pasti memiliki rumah adalah salah satu impian yang mahu dipenuhi. Selain…