fbpx

Penyedut Minuman Kertas Jadi Penyebab Kenaikan Harga Minuman?

Oleh : Syafiq Hanafi
20 Februari 2019 - 4:00 pm

Reading Time: 2 minutes
  • Harga untuk seunit penyedut minuman plastik ialah 3 sen
  • Penyedut minuman berasaskan kertas harga maksimum seunit 15 sen

Kempen khas Kerajaan untuk menghapuskan penggunaan penyedut minuman plastik secara berperingkat mendapat pelbagai reaksi. Ada yang melihat tindakan ini sebagai sesuatu yang radikal kerana masih terdapat banyak cara lain untuk menggalakkan rakyat menjaga alam sekitar. Ada pula yang melihat ia sebagai suatu permulaan yang baik untuk mendidik masyarakat dengan meminimumkan penggunaan bahan berasaskan plastik yang tidak mesra alam.

 

Namun begitu ada sesuatu hal yang perlu difikirkan kerajaan dalam soal ini. Jika alat penyedut minuman plastik dihapuskan, apakah material yang sesuai sebagai pengganti? Ramai melihat penyedut minuman mesra alam merupakan pilihan bijak. Namun ia sudah tentu mendatangkan impak dari segi kos.

 

Pada masa ini harga untuk seunit penyedut minuman plastik ialah 3 sen, namun begitu, penyedut minuman mesra alam pula harganya jauh lebih tinggi menjangkau sehingga lima kali ganda. Penyedut minuman berasaskan kertas misalnya mencecah harga maksimum seunit sehingga 15 sen.

 

Jika keadaan ini berlaku sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada harga minuman yang dijual. Kebanyakan peniaga di kedai kopi dan warung biasa sudah tentu tidak bersedia untuk menanggung peningkatan kos penyedut minuman ini tanpa menyerapnya ke dalam harga minuman yang dijual.

 

Pembekal barangan plastik, Michael Loh berpandangan hanya kafe-kafe besar dan hotel yang menghidangkan minuman dengan harga mahal sahaja yang kini sanggup beralih menggunakan penyedut minuman berasaskan kertas, memandangkan harga minuman yang dijual sudah sedia tinggi.

 

Image result for straw besi

 

Selain itu, alternatif untuk menggunakan penyedut minuman berasaskan logam yang boleh diguna semula juga dilihat tidak bersesuaian dari sudut kebersihan dan kesihatan kerana terdapat kesukaran untuk mencuci bahagian dalam penyedut minuman berkenaan.

 

Berdasarkan kepada tinjauan dibuat Kapital.My, harga penyedut minuman berasaskan logam yang dijual di Lazada mencecah harga RM10 untuk 6 unit penyedut minuman dan aplikasi Shopee pula ada peniaga yang menjual pada harga RM1.85 sen untuk seunit.

 

Sehubungan itu, Loh meramalkan tanpa penyedut minuman plastik, harga minuman akan meningkat dan ini sejajar dengan apa yang pernah berlaku sebelum ini apabila bekas polistrin diharamkan di Pulau Pinang sehingga menyebabkan peniaga warung meningkatkan harga makanan jualan mereka.

 

“Berdasarkan keadaan ini, harga minuman diramal meningkat,” kata Loh.

 

Adalah sesuatu yang menyukarkan untuk menghalang penggunaan produk berasaskan plastik dalam industri makanan dan minuman. Ini kerana produk berasaskan plastik seperti penyedut minuman, sudu dan garfu digunakan secara meluas. Sehingga kini bahan alternatif walaupun dilihat mapan dari sudut alam sekitar, namun ia tidak mapan dari sudut harga dan kos.

 

Pandangan Loh turut dikongsi Ketua Pegawai Operasi HCK Food, Teo Tien Su yang menganggap usaha memperkenalkan penyedut minuman berasaskan kertas demi memelihara alam sekitar bakal memberikan cabaran kepada industri makanan.

 

“Kita harus mempertimbangkan aspek kos penyedut minuman kertas di samping pembekal yang terhad,” katanya.

 

Sehubungan itu, masih banyak restoran dan kafe yang belum bersedia untuk menggugurkan penggunaan penyedut minuman plastik dan digantikan dengan penyedut minuman kertas, walaupun mereka menyedari tentang inisiatif kerajaan itu. Kebanyakan pengusaha kini sedang menunggu masa sesuai untuk mendapatkan bekalan penyedut minuman kertas pada harga bersesuaian sebelum mengambil tindakan seperti yang disarankan.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…

Featured Image 11-01
Kapital

Kuala Lumpur Bandar Penting E-Dagang Asia

Reading Time: 2 minutes Kadar penembusan Internet lebih tinggi berbanding Singapura dan Jakarta Pelancongan jadi sektor penting e-dagang Kuala Lumpur kini tersenarai…