Apa Anda Perlu Tahu Mengenai Mahkamah Khas Perkahwinan
- Terdapat 2 peringkat Mahkamah Khas akan ditubuhkan
- Mahkamah Khas ini akan diberikan kuasa untuk menyita harta suami
Sejumlah 12,983 pendaftaran kes nafkah direkodkan pada tahun 2018. Melihat kepada angka yang membimbangkan ini, Menteri Agama, Dr Mujahid Rawa mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah dijangka akan beroperasi pada bulan Mei ini.
Sudah tiba masanya langkah yang lebih proaktif diambil untuk melindungi wanita dan anak-anak yang ditindas oleh ketua keluarga mereka sendiri. Hari demi hari kita lihat pelbagai kes penindasan terhadap isteri di keratan akhbar dan laman sosial dan tiada sebarang tindakan tegas diambil kerajaan demi mengatasi masalah ini pada masa lalu.
Apakah tujuan Mahkamah Khas ini ditubuhkan?
Kadang kala kita mendengar terdapat keluhan dalam kalangan masyarakat atas kelewatan Mahkamah Syariah. Ada juga kes yang memakan masa sehingga 1-2 tahun untuk selesai. Antara tujuan utama penubuhannya adalah bagi menyelesaikan masalah kelewatan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah.
Selain itu, Mahkamah Khas ini juga dapat memastikan setiap perintah yang dikeluarkan dapat dilaksana dan dikuatkuasakan.
Menurut Mujahid, Mahkamah Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ini bertujuan untuk menyelesaikan secara sekali gus kerana kebiasaan amalan pada hari ini, proses untuk perceraian, proses menuntut nafkah dan hak penjagaan mengambil tempoh yang agak panjang.
Idea penubuhan mahkamah khas ini dicetuskan sendiri oleh Ketua Hakim Syarie MSWP, YAA Tuan Haji Ibrahim bin Deris ketika membentangkannya kepada Dato’ Seri Jamil Khir selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab kepada mengenai hal ehwal Islam bagi Wilayah-wilayah Persekutuan.
Terdapat 2 peringkat Mahkamah Khas akan ditubuhkan di mana Mahkamah Tinggi Khas Hadhanah dan Nafkah bagi tuntutan nafkah dan hadhanah (RM50,000 dan ke atas) dan Mahkamah Rendah Khas Perkahwinan dan Mahkamah Rendah Khas Nafkah.
Selain daripada masalah kelewatan penyelesaian kes, turut menjadi perhatian adalah masalah keculasan pihak suami dalam memberikan nafkah dan hadhanah walaupun sudah diberikan perintah mahkamah.
Bagi menyelesaikan masalah ini, Mahkamah Khas ini akan diberikan kuasa untuk menyita harta suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.
“Kertas Kabinet ini antara lain akan memberi kuasa undang-undang kepada mahkamah khas syariah ini menyita harta suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.
“Kita komited menubuhkan mahkamah ini kerana hampir semua lelaki tidak mematuhi perintah mahkamah membayar nafkah kepada bekas isteri,” – Mujahid
Semoga dengan wujudnya Mahkamah Khas ini, kebajikan para isteri akan lebih terjamin selepas ini.