fbpx

Bon Malaysia Antara Pasaran Terbesar Di Asia Tenggara

Oleh : Kapital
28 Mac 2019 - 6:48 pm

Reading Time: 2 minutes

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Bernama.

 

KUALA LUMPUR: Pasaran bon Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai antara pasaran terbesar di Asia Tenggara pada 2018, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Menurut BNM dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 yang dikeluarkan di sini hari ini, bon kerajaan dan korporat terkumpul meningkat 8.8 peratus kepada RM1.4 trilion pada 2018, masing-masing mewakili 51.7 peratus dan 46.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (2017: RM1.3 trilion, kerajaan: 49.7 peratus daripada KDNK; korporat: 45.7 peratus daripada KDNK).

 

Manakala, sukuk, yang mencakupi 60.1 peratus daripada jumlah sekuriti hutang terkumpul (2017: 58.8 peratus) terus mendominasi penerbitan.

 

“Dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pasaran global yang tercetus akibat ketegangan perdagangan AS-China menyumbang kepada sentimen penghindaran risiko pada peringkat global dan menyebabkan berlakunya aliran keluar portfolio daripada pasaran yang sedang pesat membangun, termasuk Malaysia pada 2018.

 

“Bagaimanapun, kedalaman pasaran sekuriti hutang terus menyokong keadaan pasaran yang teratur, disokong oleh institusi kewangan dan institusi pelaburan domestik yang utuh, seperti yang dicerminkan oleh urus niaga yang terus aktif dalam pasaran sekuriti kerajaan yang mencatatkan dagangan berjumlah RM1.2 trilion pada 2018,” katanya.

 

BNM berkata, kadar hasil bon kekal stabil manakala permintaan terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) terus utuh, mencerminkan penyertaan yang aktif terutamanya daripada institusi perbankan, syarikat insurans dan pelabur institusi.

 

Katanya, purata nisbah bida kepada perlindungan yang dicatatkan pada 2018 ialah 2.293 kali berbanding 2.198 kali pada 2017.

 

“Berbeza dengan prestasi yang lebih memberangsangkan pada 2017, ringgit menyusut nilai 1.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ditutup pada RM4.1385 pada 2018, dengan dolar AS yang pada amnya mengukuh.

 

“Risiko untuk ringgit menyusut nilai sebahagian besarnya dikurangkan oleh lebihan akaun semasa imbangan pembayaran yang berterusan dan asas ekonomi Malaysia yang mantap,” menurut BNM.

 

Dalam pasaran pertukaran asing (FX), spread bida-tawar untuk AS$/RM kekal stabil pada purata 24 pips bagi 2018 (purata 2016 dan 2017: 35 pips), disokong oleh mudah tunai pasaran domestik yang mencukupi.

 

Katanya, pembangunan pasaran FX dalam negeri terus berkembang berikutan lebih fleksibiliti diberikan kepada pengurus dana untuk mengurus risiko FX dan kedudukan perlindungan nilai mereka secara lebih dinamik.

 

“Pada akhir 2018, lebih 80 pengurus dana berdaftar dengan bank untuk memohon fleksibiliti perlindungan nilai yang dinamik dengan jumlah aset yang layak melebihi RM120 bilion.

 

“Liberalisasi dasar pentadbiran pertukaran asing (FEA) yang dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini telah menyumbang kepada desentralisasi rizab yang dipegang oleh syarikat korporat dan institusi kewangan, membolehkan obligasi luaran dipenuhi tanpa perlu membuat tuntutan ke atas rizab antarabangsa bank,” katanya.

 

Pada akhir 2018, rizab antarabangsa berjumlah AS$101.4 bilion, cukup untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 1.0 kali hutang luar negeri jangka pendek.

 

“Sejajar dengan pendigitalan yang semakin meluas dalam sektor kewangan, bank sedang membangunkan satu rangka kerja bagi platform dagangan elektronik, berfungsi memperincikan bentuk penubuhannya dan keperluan lain yang perlu dipatuhi oleh penyedia platform.

 

“Satu Draf Dedahan dijangka dikeluarkan pada separuh tahun pertama 2019,” katanya.

 

-BERNAMA

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…