fbpx

Harimau Malaya: Lambang Kebanggaan Negara Yang Semakin Pupus

Oleh : Wan Syarafiz
29 Mac 2019 - 5:09 pm

Reading Time: 2 minutes
  • Sebanyak 3000 jerat telah dimusnahkan dalam 479 operasi yang dijalankan dari tahun 2014 hingga Julai 2018
  • Jumlah harimau di Nepal telah meningkat daripada 120 kepada 235 dalam tempoh 2009-2018

 

Harimau Malaya dipercayai kini hanya berjumlah kurang daripada 150 ekor di seluruh hutan di Semenanjung Malaysia. Ini adalah kenyataan daripada Ahli Biologi, Dr Kae Kawanishi yang mana dikatakan Harimau Malaya berdepan dengan ancaman kepupusan berpunca daripada aktiviti pemburuan haram serta kehilangan habitat.

 

Panthera tigris jacksoni atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya telah diklasifikasikan sebagai haiwan terancam di bawah IUCN Red List pada tahun 2015. Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), setakat hari ini terdapat 62 harimau Malaya di zoo seluruh negara manakala di zoo seluruh dunia pula terdapat 83 haiwan terancam ini. Kajian yang dijalankan Perhilitan juga menunjukkan jumlah keseluruhan Harimau Malaya di seluruh negara kini dianggarkan kurang daripada 200.

 

Setakat ini, empat jenis harimau dilaporkan sudah pupus dari muka bumi seperti Balinese, Caspian dan Javan serta hanya ada lima jenis harimau sahaja yang masih wujud. Harimau Malaya adalah salah satu daripadanya serta paling kurang popular dan paling berpeluang tinggi untuk pupus berdasarkan jumlah pada hari ini. Haiwan ini berdepan dengan kepupusan kerana aktiviti pemburuan haram yang kemudiannya menjual harimau ini dalam ‘black market’. Antara tujuan utama Harimau Malaya diburu ialah bagi tujuan perubatan tradisional.

 

Statistik daripada Perhilitan menunjukkan sekitar 3000 jerat telah dimusnahkan dalam 479 operasi yang dijalankan dari tahun 2014 hingga Julai 2018. WWF-Malaysia juga telah melancarkan Projek Stampede bermula Julai 2018 dengan kerjasama Orang Asli untuk meningkatkan jumlah kawalan bagi membersihkan hutan, membuang jerat serta memberikan maklumat berkenaan aktiviti pemburuan haram.

 

Melihat kepada langkah-langkah yang diambil negara lain sebenarnya ia adalah tidak mustahil untuk meningkatkan bilangan Harimau Malaya di negara kita. Contohnya negara India dan Nepal telah berjaya meningkatkan jumlah Harimau Bengal. Pada tahun 2009, jumlah harimau di Nepal hanyalah berjumlah 120 sahaja namun kini jumlah tersebut berjaya ditingkatkan hampir dua kali ganda kepada 235 ekor. Kejayaan ini dicapai dengan mengerahkan lebih ramai ranjer hutan untuk membasmi aktiviti pemburuan haram.

 

Begitu juga dengan Harimau Siberia yang mana bilangannya telah meningkat daripada hanya 20 ekor kepada 500 ekor. Ini semua sebenarnya dibantu oleh langkah-langkah pencegahan yang ketat daripada pihak kerajaan.

 

Menurut jurucakap WWF-Malaysia, Dr Mark Rayan Darmaraj, harimau sebenarnya adalah petunjuk yang baik kepada kesihatan sesuatu ekosistem itu. Sebagai contoh, harimau kebiasaannya memburu rusa atau babi hutan sebagai sumber makanan. Namun apabila harimau sudah semakin berkurang, ia akan menimbulkan konflik pula kepada manusia kerana peningkatan jumlah rusa dan babi hutan. Pada awal tahun lepas, Perhilitan mengenal pasti Sungai Buloh sebagai kawasan yang sering menerima aduan berkenaan gangguan babi hutan.

 

Isu kepupusan Harimau Malaya ini bukanlah soal ekosistem atau alam semula jadi sahaja. Tetapi ia juga berkenaan kebanggaan negara. Haiwan ini banyak digunakan sebagai simbol negara Malaysia. Contohnya ialah Jata Negara di mana dua ekor Harimau Malaya dipaparkan di sebelah kiri dan kanan. Bukan itu sahaja, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Maybank dan Proton juga menggunakan simbol Harimau Malaysia bahkan skuad bola sepak kebanggaan kita turut digelar dengan nama Harimau Malaya. Kerajaan sewajarnya memikirkan langkah terbaik bagi menangani masalah ini atau akhirnya Harimau Malaya akan menjadi seperti harimau lain yang akhirnya akan pupus begitu sahaja.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Malaysia-Postpaid-Telco-Logos
Kapital

Celcom-Digi Bergabung, Pengguna Untung Atau Rugi?

Reading Time: 3 minutes Apakah anda rasa penggabungan Celcom dengan Digi akan memberi faedah kepada rakyat? Ok, anda yang tidak menggunakan kedua-dua…

Axiata
Kapital

Hati Hati Dengan Gergasi Telekomunikasi

Reading Time: 2 minutes Baru-baru ini telah diumumkan bahawa Axiata dan syarikat telekomunikasi dari Norway, Telenor sedang menjalankan perbincangan bagi menggabungkan aset-aset…

Featured Image 14-01
Kapital

Pelan Mega USD412 Bilion Pembinaan Negara Indonesia

Reading Time: 2 minutes 40% daripada dana akan disalurkan oleh pihak kerajaan persekutuan manakala 25% lagi disumbangkan melalui syarikat milik kerajaan negeri…

Featured Image 13-01

Malaysia Bakal Hantar Pekerja Berkemahiran Ke Jepun

Reading Time: 2 minutes Memorandum kerjasama dijangka ditandatangani Julai Potensi sehingga 50 ribu peluang pekerjaan Malaysia kini sedang mengadakan rundingan dengan Jepun…