fbpx

Indeks Kebahagiaan Dunia: Malaysia Jatuh Dari Kedudukan 35 Kepada 80 Dalam Tempoh Setahun

Oleh : Wan Syarafiz
22 Mac 2019 - 4:03 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Rakyat yang kurang berpuas hati akan mengundi keluar kerajaan ketika pilihan raya untuk menjadikan negara lebih bahagia
  • New Zealand berada di tangga ke-8 kerana sokongan sosial antara rakyat yang ditunjukkan apabila berlakunya tragedi atau keganasan

 

Rakyat Malaysia tidak lagi gembira dan bahagia seperti dahulu. Ini berdasarkan kedudukan Malaysia yang telah jatuh 45 tangga daripada kedudukan ke-35 kepada 80 dalam Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 yang dikeluarkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan kajian yang dibuat dari tahun 2016 hingga 2018.

 

Seperti biasa, kebanyakan negara yang berada di tangga teratas ialah negara Nordik dengan Finland di kedudukan pertama diikuti oleh Denmark, Norway dan Iceland. Negara yang berada di kedudukan terbawah daripada 156 negara keseluruhan pula ialah South Sudan, Republik Afrika Tengah, Afghanistan dan Tanzania.

 

Dari segi kedudukan di Asia Tenggara, Malaysia berada di tangga ke-4 di belakang Singapura (34), Thailand (52) dan Filipina (69). Laporan yang dikenali sebagai “The World Happiness Report” ini adalah hasil kajian dan bancian yang dijalankan selama tiga tahun dari 2016 hingga 2018 untuk menilai sejauh mana rakyat di negara itu menilai kebahagiaan mereka.

 

Kredit: The World Happiness Report

 

Beberapa faktor telah diambil kira dalam penilaian bagi mengeluarkan laporan kebahagiaan ini seperti Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK), pendapatan, kesejahteraan, sokongan sosial, kebebasan membuat pilihan dan kemurahan hati.

 

Bancian dan kaji selidik ini telah dijalankan oleh pihak Gallup World Poll dengan menyediakan soalan berkaitan faktor yang akan mempengaruhi kebahagian dan jawapan ini kemudiannya digabungkan dengan faktor lain seperti KDNK negara.

 

Kedudukan atau ‘ranking’ sesebuah negara itu adalah ditentukan menggunakan kaedah “Cantril Ladder” di mana responden yang dipilih perlu menjawab soalan-soalan ini dengan memilih skala 0 hingga 10. Skala 10 untuk paling berpuas hati dan skala 0 untuk paling tidak berpuas hati.

 

Apa yang menarik mengenai kajian yang dilakukan untuk laporan tahun ini ialah cadangan kepada rakyat yang hidup dalam situasi tidak gembira atau bahagia di sesebuah negara untuk berjuang ke arah perubahan.

 

Ini dibuktikan berdasarkan hasil bancian yang telah menunjukkan rakyat yang kurang berpuas hati dengan situasi semasa negara tersebut akan mengundi keluar kerajaan atau ahli politik ketika pilihan raya untuk menjadikan negara lebih bahagia.

 

Menurut kaji selidik yang telah dilakukan sejak tahun 2005, rakyat di seluruh dunia akan lebih berpuas hati dengan kehidupan mereka sekiranya kerajaan adalah lebih efektif, menguatkuasakan undang-undang, mempunyai peraturan yang lebih baik, berjaya mengurangkan rasuah serta memperuntukkan dana kerajaan lebih kepada kesihatan dan ketenteraan. Secara keseluruhan, peningkatan keyakinan kepada kerajaan mampu membuatkan rakyat lebih bahagia dan gembira.

 

Selain itu, antara faktor lain yang diulas dalam laporan ini ialah penggunaan teknologi di mana timbul kerisauan terhadap ketagihan kepada teknologi. Kajian mendapati 45% remaja secara konsisten telah memperuntukkan masa mereka untuk ‘online’ dengan purata pelajar ‘high school’ menghabiskan masa enam jam setiap hari untuk media sosial dan internet. Teknologi hari ini dikatakan telah banyak menggantikan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kebahagiaan.

 

Laporan ini turut memperlihatkan beberapa trend positif. Majoriti negara dilaporkan kini semakin berpuas hati dengan taraf kehidupan mereka. Kebahagiaan ini diterjemahkan ke dalam bentuk kemurahan hati dengan hampir 30% orang di seluruh dunia telah mendermakan harta mereka kepada kerja amal serta 20% telah mengambil bahagian dalam aktiviti sukarela.

 

Dalam laporan ini juga ada menyentuh mengenai sokongan sosial di mana rakyat sesebuah negara itu saling memberikan sokongan antara satu sama lain. Kedudukan yang tinggi dalam Indeks Kebahagiaan Dunia ini tidak memberikan jaminan negara itu terlepas daripada sebarang kes jenayah atau keganasan sebaliknya bagaimana rakyat sesebuah negara itu bertindak balas terhadap kes jenayah itu adalah lebih penting.

 

Sebagai contoh, New Zealand yang berada di tangga ke-8 Indeks Kebahagiaan Dunia telah memberikan sokongan moral kepada satu sama lain dalam tragedi gempa bumi di Christchurh pada tahun 2011 dan yang terkini kes pembunuhan orang Islam di Christchurh. Setiap orang di New Zealand telah berhimpun beramai-ramai dan saling membantu untuk memulihkan situasi selepas tragedi.

 

Secara keseluruhan, untuk mencapai taraf kebahagiaan yang lebih tinggi, rakyat perlulah memperjuangkan perubahan dalam negara dan kerajaan serta memperkuatkan hubungan bersama keluarga, jiran dan termasuk orang yang dikenali secara ‘online’. Rakyat dalam masa yang sama boleh menjalankan inisiatif untuk mengambil bahagian dalam kerja sukarela dan menderma kepada yang memerlukan. Selain itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam melaksanakan polisi-polisi yang lebih efektif untuk menjaga kebajikan rakyat dan sekaligus akan membuatkan rakyat lebih gembira dan bahagia.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…