fbpx

Ke Arah Pentadbiran Kerajaan Telus Dan Mampan

Oleh : Kapital
15 Mac 2019 - 11:37 am

Reading Time: 3 minutes

Walaupun isu rasuah mengisi ruang berita dan dada-dada akhbar hampir setiap hari, tidak ramai dalam kalangan masyarakat tahu mengapa dan bagaimana rasuah berlaku. Skandal-skandal besar yang menjadi tumpuan media antarabangsa baru-baru ini mungkin menarik perhatian masyarakat oleh sebab jumlah wang yang diseleweng besar, namun harus diingat bahawa rasuah adalah masalah sistemik dan struktural yang menghimpit setiap lapisan masyarakat. Perkara ini paling ketara dalam kes-kes rasuah yang melibatkan perolehan kerajaan, kerana dalam kes-kes inilah pembinaan kemudahan awam untuk rakyat diseleweng dan mengakibatkan stadium sukan runtuh, dinding hospital bocor, dan bermacam-macam lagi.

 

Memerangi gejala rasuah merupakan cabaran yang dihadapi banyak negara, baik yang membangun mahupun yang maju. Terdapat banyak teori mengapa rasuah berlaku, dan penulis percaya bahawa gabungan norma budaya dan kelemahan institusi yang menyebabkan gejala rasuah sukar ditangani. Namun begitu, pemerkasaan institusi dan penguatkuasaan undang-undang harus diutamakan. Ini kerana, institusi yang kuat dan hukuman yang setimpal mampu menjadi semak dan imbang kepada mana-mana ahli politik atau pemegang kuasa yang menyalahgunakan kuasa mereka demi keuntungan peribadi.

 

Pada peringkat dasar pula, umum sudah ketahui bahawa kerajaan Pakatan Harapan mengambil serius gejala rasuah, sesuai dengan pelancaran Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019 – 2023 (NACP) Januari lalu. NACP mendapat perhatian ramai pihak, termasuklah masyarakat sivil yang sudah bertahun menekankan kepentingan membanteras rasuah sehingga ke akar umbi. Antara yang menarik perhatian mengenai NACP adalah pengakuan bahawa campur tangan politik adalah salah satu punca utama berlakunya rasuah dan statistik yang menunjukkan bahawa aduan terbanyak diterima Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berkaitan perolehan.

 

Apabila diteliti semula, kes-kes ketirisan yang berlaku dalam perolehan kerajaan tidak semestinya disebabkan oleh rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan ketidakpatuhan kepada skop projek, pemantauan yang lemah, projek yang tertangguh dan kegagalan merancang aktiviti-aktiviti perolehan dengan sempurna. Kelemahan-kelemahan ini menunjukkan bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki dalam Prosedur Pengendalian Standard (SOP) sistem perolehan kerajaan yang sedia ada. Salah satu daripada strategi dalam NACP mencadangkan beberapa inisiatif penting untuk menambahbaik sistem perolehan, dan wajar untuk inisiatif-inisiatif ini dikupas dengan lebih lanjut.

 

Strategi 3 di dalam NACP bertajuk “Mempertingkat Keberkesanan dan Ketelusan Perolehan Awam.” Di bawah strategi ini, terdapat beberapa inisiatif berkaitan perolehan. Contoh yang paling baik ialah inisiatif untuk menggubal Akta Perolehan Kerajaan, yang telah dijanjikan selewat-lewatnya pada tahun 2023. Akta ini penting untuk memperkuat lagi struktur dan mekanisme yang mentadbir sistem perolehan sedia ada. Namun begitu, jarak masa untuk penggubalan agak lama, dan banyak yang boleh berlaku dalam masa lima tahun. Kerajaan disyorkan untuk mempercepat proses penggubalan supaya ketirisan yang sering berlaku dapat dikurangkan.

 

Strategi 3 juga boleh diperkukuhkan lagi dengan memastikan bahawa setiap projek kerajaan, terutamanya yang berskala besar, harus melalui proses penilaian impak ekonomi, sosial dan alam sekitar yang jelas. Selain daripada itu, setiap projek juga haruslah melalui analisa keperluan yang teliti sebelum dimulakan untuk memastikan bahawa hasil kutipan cukai rakyat tidak dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya. Proses penilaian ini mestilah dikendalikan dengan telus dan bebas daripada mana-mana kepentingan politik, dan laporan penilaian haruslah dimuat naik di laman yang mudah diakses masyarakat. Hal ini amat penting untuk dititikberatkan oleh kerajaan kerana LKAN saban tahun menunjukkan banyak projek yang dilancarkan kerajaan sebenarnya tidak diperlukan oleh masyarakat setempat. Kesannya, pembaziran yang serius berlaku.

 

Mengutamakan tender terbuka sebagai kaedah perolehan juga amat penting bagi memastikan persaingan sihat di antara pembida kontrak. Tambahan pula, tender terbuka merupakan kaedah perolehan terbaik untuk memastikan nilai untuk wang buat pembayar cukai. Sebaliknya, kaedah rundingan terus membuka peluang kepada kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Akibatnya, risiko untuk projek tergendala, tidak menepati piawaian dan tertangguh juga meningkat. Walaupun sistem tender terbuka sudah termasuk dalam udang-undang perolehan sedia ada, LKAN menunjukkan bahawa sistem ini tidak dipraktikkan dengan sepatutnya. Sebagai contoh, LKAN 2011 melaporkan bahawa kontrak pembinaan Penjara Baharu Kuching bernilai RM 165 juta diberikan kepada WMM Holdings Sdn Bhd melalui rundingan terus, dan akhirnya kontraktor tersebut ditamatkan kerana gagal menyiapkan projek dalam jangka masa yang ditetapkan. Kes-kes seperti ini terlalu kerap berlaku, oleh itu wajar NACP menekankan penguatkuasaan tender terbuka dalam sistem perolehan kerajaan sedia ada.

 

Saban tahun, sudah pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan mahupun masyarakat sivil untuk membanteras gejala rasuah di Malaysia. Kebanyakan daripada usaha ini, walaupun berniat mulia, masih tidak berjaya menangani masalah rasuah secara menyeluruh. Salah satu daripada keadaan yang menyukarkan lagi usaha pembanterasan rasuah adalah ketiadaan undang-undang yang menjamin kebebasan maklumat di peringkat persekutuan. Di Malaysia, kebanyakan dokumen kerajaan diklasifikasi sebagai “rahsia rasmi” di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, dan sesiapa yang melanggar Akta ini akan dikenakan hukuman yang berat, seperti yang terjadi kepada Rafizi Ramli ketika kes 1MDB dahulu.

 

Sebuah negara demokrasi matang sepatutnya mengutamakan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada kerajaan, melainkan perkara yang boleh mengganggu gugat kententeraman awam. Maklumat mengenai projek-projek kerajaan, nilai-nilai tender dan kontraktor-kontraktor yang dianugerahkan tender daripada kerajaan seharusnya dijadikan maklumat awam yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat dengan mudah, termasuklah agensi media dan badan bukan kerajaan. Justeru itu, Inisiatif 1.2.8 dalam NACP yang menjanjikan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat amatlah penting, dan harapan rakyat tinggi bahawa kerajaan akan mengutamakan inisiatif ini demi pentadbiran negara yang lebih telus dan mampan.


Artikel ini ditulis oleh Aira Azhari, Penyelidik Kanan, IDEAS

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Malaysia-Postpaid-Telco-Logos
Kapital

Celcom-Digi Bergabung, Pengguna Untung Atau Rugi?

Reading Time: 3 minutes Apakah anda rasa penggabungan Celcom dengan Digi akan memberi faedah kepada rakyat? Ok, anda yang tidak menggunakan kedua-dua…

Axiata
Kapital

Hati Hati Dengan Gergasi Telekomunikasi

Reading Time: 2 minutes Baru-baru ini telah diumumkan bahawa Axiata dan syarikat telekomunikasi dari Norway, Telenor sedang menjalankan perbincangan bagi menggabungkan aset-aset…

Featured Image 14-01
Kapital

Pelan Mega USD412 Bilion Pembinaan Negara Indonesia

Reading Time: 2 minutes 40% daripada dana akan disalurkan oleh pihak kerajaan persekutuan manakala 25% lagi disumbangkan melalui syarikat milik kerajaan negeri…

Featured Image 13-01

Malaysia Bakal Hantar Pekerja Berkemahiran Ke Jepun

Reading Time: 2 minutes Memorandum kerjasama dijangka ditandatangani Julai Potensi sehingga 50 ribu peluang pekerjaan Malaysia kini sedang mengadakan rundingan dengan Jepun…