fbpx

Lanjutkan Tempoh Pinjaman Beli Rumah Kepada 40 Tahun. Pembeli Atau Pemaju Untung?

Oleh : Kapital
15 Mac 2019 - 4:39 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Malaysia telah mula menetapkan tempoh maksimum pinjaman pembelian rumah 35 tahun ini bermula dari tahun 2013
  • Lanjutan tempoh pinjaman akan menjadikan kos insurans rumah dan kos kadar faedah menjadi lebih tinggi

 

Melihat kepada lanskap hartanah di Malaysia pada hari ini, bilangan unit rumah tidak terjual dilaporkan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah (NAPIC), jumlah keseluruhan unit kediaman yang sudah siap tetapi tidak terjual kini mencecah nilai tertinggi RM19.54 bilion.

 

Pada suku ketiga tahun 2018, unit kediaman tidak terjual yang direkodkan berjumlah sebanyak 30,115 unit. Pada tempoh yang sama tahun 2017 pula, unit kediaman tidak terjual mencatatkan jumlah 20,304 unit. Ini bermakna unit kediaman tidak terjual meningkat sebanyak 48.35% hanya dalam tempoh setahun.

 

Pendek kata, pihak pemaju kini sedang ‘pening kepala’ kerana banyak rumah yang sudah disiapkan namun masih belum berjaya dijual.

 

Baru-baru ini pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berjalan untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2019.

 

Kempen ini dikatakan mahu membantu orang ramai memiliki rumah dengan memberi diskaun sekurang-kurangnya 10% bagi setiap pembelian. Namun dikhabarkan kempen itu hanyalah “indah khabar dari rupa” dan tidaklah seperti yang dijanjikan.

 

Pengarah Urusan PPC International, Datuk Siders Sittampalam menyatakan HOC mungkin tidak akan dapat mencapai sasaran jualan bernilai RM3 bilion. Terdapat juga konsultan hartanah lain yang menyatakan nilai RM3 bilion yang ditetapkan untuk jualan HOC ini sebagai tidak realistik.

 

Susulan daripada situasi pasaran hari ini yang dilihat terdapatnya lambakan hartanah, kini mula timbul cadangan supaya tempoh maksimum pinjaman perumahan 35 tahun dipanjangkan kepada 40 tahun bagi membendung masalah lambakan rumah ini menjadi semakin parah.

 

Namun, adakah pembeli akan lebih untung jika tempoh maksimum pinjaman ini dilanjutkan kepada 40 tahun?

 

 

Sebagai contoh (rujuk gambar), sekiranya pinjaman sebuah rumah itu bernilai RM400,000 dan tempoh pinjaman ialah 35 tahun dengan kadar faedah 4.9%, jumlah yang perlu dibayar setiap bulan ialah RM1,993.

 

Untuk tempoh pinjaman 40 tahun pula, dengan jumlah pinjaman RM400,000 ini, pembeli perlu membayar RM1,902 setiap bulan. Jika dikira, perbezaan bayaran bulanan untuk pinjaman 35 tahun dan 40 tahun ialah RM91. Ini bermakna, peratusan perbezaan harga bayaran bulanan untuk pinjaman 35 tahun dan 40 tahun hanyalah 4.6%.

 

Dari segi kiraan keseluruhan pula, pembeli yang mengambil pinjaman 40 tahun perlu membayar tambahan RM75,946 berbanding pinjaman 35 tahun.

 

Selain itu, sekiranya tempoh maksimum pinjaman ini dilanjutkan kepada 40 tahun, ia mungkin akan meningkatkan permintaan untuk membeli rumah dalam jangka masa yang pendek kerana bebanan bayaran bulanan berkurang. Tetapi, apabila permintaan meningkat mendadak ianya berisiko menaikkan harga rumah. Jika harga rumah hanya naik sebanyak 5%, ia akan menyebabkan tempoh lanjutan pinjaman kepada 40 tahun adalah sia-sia sahaja.

 

Lanjutan tempoh pinjaman juga sebenarnya akan menjadikan kos insurans rumah dan kos kadar faedah menjadi lebih tinggi. Ini adalah merugikan rakyat jika akhirnya harga rumah akan meningkat naik.

 

Jadi, adakah ini akan menguntungkan pembeli? Atau ia hanya untuk membantu pemaju menghabiskan rumah tidak terjual mereka?

 

Sebelum ini juga telah wujud gesaan supaya pihak pemaju mengalah dan menurunkan harga rumah. Ini kerana, lambakan rumah ini dikatakan terjadi berpunca daripada salah pemaju sendiri yang tidak memahami kehendak pasaran dan telah membina produk yang salah.

 

Apabila berlaku ketidaksepadanan (mismatch) bekalan (supply) dan permintaan (demand), sudah semestinya harga produk itu akan jatuh. Rumah dengan saiz selesa begitu mahal manakala rumah yang mampu dibeli pula terlalu kecil. Maka, akhirnya ramai memilih untuk tidak membeli.

 

Tetapi, kenapa pemaju di Malaysia pula masih ‘degil’ untuk menurunkan harga rumah?

 

Sebagai rekod, Malaysia telah mula menetapkan tempoh maksimum pinjaman perumahan 35 tahun ini bermula dari tahun 2013. Sebelum itu, tempoh maksimum pinjaman perumahan yang ditawarkan adalah 45 tahun.

 

Negara jiran Singapura juga sudah menetapkan tempoh maksimum pinjaman perumahan 35 tahun sejak tahun 2012 lagi. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Monetary Authority of Singapore (MAS) sebelum ini telah menyatakan “long tenure loans pose risks to both lenders and borrowers”. Dengan bayaran bulanan yang lebih rendah, ia sebenarnya boleh menyebabkan peminjam “over-estimate” keupayaan untuk membayar pinjaman tersebut. Ini akhirnya menyebabkan peminjam membuat pinjaman melebihi kemampuan mereka dan seterusnya tidak mampu membayar kembali pinjaman terbabit.

 

Dengan rata-rata negara di dunia ini telah menetapkan tempoh maksimum pinjaman pembelian rumah pada 30 tahun hingga 35 tahun, adakah Malaysia mahu menjadi regresif dengan melanjutkan tempoh itu kepada 40 tahun?

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

230194
Kapital

7 Perkara Mengenai Ekonomi Malaysia Baru

Reading Time: 3 minutes Satu garis panduan pelantikan jawatan tertinggi GLC akan dikeluarkan MoF Cukai korporat bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)…

7-01
Kapital

MRCB Perkenal MBS Bagi Tingkatkan Kualiti Pembinaan

Reading Time: 2 minutes   Syarikat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bakal meningkatkan lagi kualiti dalam sektor pembinaan dengan memperkenalkan sistem pembinaan…

101b
Kapital

Lima Strategi Makro Kekal Daya Tahan Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan lima strategi makro bagi…

kilang-mazda-kulim-mekanika-4

Tahap Perniagaan Di Malaysia Kurang Memberansangkan Bagi Tempoh 5 Bulan Berturut-Turut

Reading Time: 2 minutes PMI China kekal bawah paras 50 semenjak Disember 2018 PMI adalah satu kaji selidik yang dilakukan secara bulanan…