fbpx

Lima Strategi Makro Kekal Daya Tahan Ekonomi Negara

Oleh : Kapital
20 Mac 2019 - 11:17 am

Reading Time: 2 minutes

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan lima strategi makro bagi memastikan ekonomi negara terus kekal berdaya tahan, yang antaranya bermatlamat membina standard kehidupan rakyat lebih baik melalui kenaikan gaji, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Perdana Menteri berkata, lima strategi makro berkenaan ialah memacu produktiviti di semua peringkat untuk memastikan pertumbuhan mampan dan inklusif, menggalakkan pelaburan berkualiti untuk menerajui pertumbuhan ekonomi, memulakan inisiatif terhadap industri bagi meningkatkan rantaian nilai, memperkukuhkan eksport untuk meningkatkan imbangan pembayaran dan menekankan penyatuan fiskal untuk memastikan kelestarian dalam jangka sederhana.

 

Katanya, fokus pertumbuhan kerajaan melangkah ke hadapan ialah di dalam bidang ekonomi digital, pengeluaran dengan teknologi tinggi dan gaji tinggi serta sektor perkhidmatan.

 

“Kerajaan mengiktiraf kepentingan ekonomi digital dan infrastruktur yang diperlukannya untuk berkembang. Kedua-dua syarikat besar dan kecil perlu mendepani sambungan digital, menggunakan analisis data dan meneroka peluang untuk membina perniagaan digital.

 

“Kerajaan akan memberi galakan dan insentif kepada pelaburan dan kerjasama dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab untuk perkhidmatan dan komunikasi digital,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

 

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga menggalakkan syarikat Malaysia untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang berkenaan melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dalam merealisasikan usaha menjadi juara global atau serantau.

 

Katanya, perniagaan sedemikian semakin meningkat menjadi tanpa sempadan dan syarikat perlu melihat kepada pembangunan skala yang hanya boleh dicapai melalui kerjasama sama ada di dalam atau luar negara.

 

“Bagi terus mengukuhkan asas-asas ekonomi Malaysia, keperluan untuk menaik taraf perindustrian melalui penggunaan teknologi adalah amat penting. Ia sejajar dengan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD) yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.

 

“Ia memberi tumpuan kepada menggalakkan sektor pembuatan untuk mengguna pakai sistem perkilangan pintar. Dasar ini menggariskan strategi dan pelan tindakan yang meliputi pembiayaan, infrastruktur, pengawalseliaan, kemahiran dan teknologi yang akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi yang berkaitan dengan kerjasama industri untuk menerajui pembangunan sektor perkilangan,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, bagi sektor perkilangan, kerajaan akan terus menarik pelaburan yang menawarkan nilai tambah yang tinggi, teknologi tinggi dan berpacukan pengetahuan bagi melengkapkan nilai rantaian dalam ekosistem industri bersasar dengan menumpukan dalam industri aeroangkasa, produk kimia dan kimia, mesin dan peralatan, peralatan perubatan dan elektronik dan elektrik.

 

Katanya, kerajaan telah mengenal pasti industri aeroangkasa sebagai salah satu daripada subsektor pemangkin dalam kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11.

 

“Kita menyasarkan untuk menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara dan menjadi antara pasaran penting dalam pasaran global menjelang 2030.

 

“Inisiatif khusus sedang dilaksanakan meliputi pemudahcara industri, pembangunan rantaian bekalan tempatan, pembangunan kecekapan, penyelidikan & teknologi (R&T) dan kerjasama antarabangsa.

 

Dr Mahathir berkata, bagi sektor perkhidmatan, tumpuan akan diberikan kepada industri pelancongan, penjagaan kesihatan swasta dan perkhidmatan profesional, serta sector runcit dan makanan dan minuman.

 

“Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kami mahu ia menjadi pemangkin dalam memacu industri pelancongan di Malaysia,” katanya.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 12-01
Kapital

Malaysia Rugi Lebih Besar Sekiranya ECRL Dibatalkan

Reading Time: 2 minutes Pada tahun 2018, China merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai sebanyak USD42.5 bilion Penerusan projek ECRL dilihat…

Featured Image 22-01

Aplikasi Teknologi 5G

Reading Time: 2 minutes Teknologi 5G menjanjikan kadar latensi bermula serendah 1 ms Dianggarkan 5G boleh mencapai kelajuan melebihi 1 Gigabits sesaat…

Featured Image 19-01

ONE Championship Bakal Setanding UFC

Reading Time: 3 minutes Pada tahun 2018, nilai One Championship dilaporkan bernilai lebih daripada USD1 bilion Jumlah tontonan video One Championship di…

Featured Image 20-01

30%-40% Bekalan Beras Malaysia Diimport Daripada Luar Negara

Reading Time: 2 minutes Industri beras hanya menyumbang 2.3% sahaja kepada Keluaran Kasar Dalam Negara 74.1% daripada penghasilan beras dalam negara adalah…