Melonggarkan Syarat Pinjaman Rumah Bukan Jalan Penyelesaian
- Kes kebankrapan berpunca daripada pinjaman rumaha dari tahun 2014 hingga 2018 berjumlah 13,400 orang
- Lim Guan Eng menggesa supaya bank lebih fleksibel dalam memberikan pinjaman
Sejumlah 40,916 unit kediaman bernilai RM27.39 bilion tidak terjual pada tahun ini berdasarkan data daripadan Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). Hal ini sudah acap kali dibincangkan dan semua pihak saling menunding jari antara satu sama lain.
Rakyat menyalahkan pemaju kerana meletekkan harga jualan yang terlampau tinggi, pemaju pula menyalahkan kerajaan yang mengenakan kos compliance yang tinggi. Pihak kerajaan pula mengatakan syarat pinjaman bank terlalu ketat punca rakyat Malaysia gagal memiliki rumah.
Terbaru, dalam majlis Invest Malaysia, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa supaya bank lebih fleksibel dalam memberikan pinjaman ekoran terdapat banyak aduan berhubung kesukaran mendapatkan pinjaman.
“Kami ingin meminta bank-bank agar lebih fleksibel dalam pemberian pinjaman mereka kerana kami menerima banyak aduan(mengenainya).
“Jadi saya rasa sudah sampai masanya bagi anda untuk mula memberikan pinjaman melainkan anda lebih suka cukai durian runtuh (windfall tax)” – Lim
Adakah dengan memudahkan pinjaman mampu menyelesaikan masalah pemilikan rumah?
Pertama sekali kita cuba lihat dahulu, benarkah syarat yang dikenakan bank terlampau ketat. Menurut data daripada Bank Negara Malaysia, pada tahun 2017, kadar penolakan pinjaman rumah berada pada kadar 23.1% bermakna daripada 100 orang pemohon hanya 23 pemohonan ditolak. Berdasarkan data ini, bank-bank tidaklah mengenakan syarat yang terlampau ketat kepada pemohon.
Jika dilonggarkan juga syarat tersebut, adakah peminjam benar-benar mampu untuk membayar pinjaman tersebut tanpa culas? Pinjaman perumahan merupakan punca ketiga tertinggi bagi kes kebankrapan dari tahun 2014 hingga 2018 dengan jumlah 13,400 orang. Apalah gunanya pinjaman diluluskan tetapi akhirnya rumah tersebut dilelongkan?
Seterusnya apakah kesannya kepada ekonomi jika syarat pinjaman dilonggarkan dan semakin ramai orang yang ‘tidak mampu’ kini memiliki pinjaman rumah. Adakah anda tahu punca krisis ekonomi global pada 2008? Semuanya bermula dengan pinjaman rumah.
Ketika itu, ramai yang merasakan harga rumah akan sentiasa naik dan berpusu-pusu rakyat Amerika membeli rumah dek kerana ingin mengejar keuntungan. Ketika itu pinjaman subprime diperkenalkan dimana mereka yang mempunyai skor kredit yang rendah juga diluluskan pinjamannya tapi dengan kadar faedah yang berbeza.
Orang yang sebelum ini tidak layak mendapat pinjaman kini berjaya mendapatkan pinjaman dan akhirnya kadar pemilikan rumah di Amerika meningkat. Ya, pada mulanya semua gembira kerana mereka sudah berjaya memiliki rumah tetapi mereka terlupa akan bebanan bayaran bulanan tersebut.
Pada tahun 2006, 23.79% peminjam gagal membayar semula pinjaman setelah setahun pinjaman diluluskan dan pada 2007 25.48% peminjam gagal membayar semula pinjaman setelah setahun pinjaman diluluskan. Ini merupakan antara punca krisis ekonomi global pada 2008.
Jadi, adakah memudahkan syarat pinjaman jalan penyelesaian kepada masalah pemilikan rumah? Atau pemaju yang perlu beralah dan menurunkan harga rumah dengan mengorbankan sedikit keuntungan mereka?