fbpx

Runding Semula Penjualan Tanah, DBKL Raih Hasil Tambahan RM205 Juta

Oleh : Kapital
13 Mac 2019 - 11:39 am

Reading Time: 2 minutes

23 transaksi penjualan tanah milik kerajaan yang telah dibuat pada pemerintahan kerajaan lepas telah dirunding semula oleh pihak DBKL. Pihak pemaju telah bersetuju untuk membuat penilaian semula harga hartanah mengikut kadar semasa kerana tanah-tanah ini dipercayai telah dibeli pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Susulan daripada rundingan ini, pihak DBKL telah berjaya meraih hasil tambahan bernilai RM205 juta yang mana RM149 juta dalam bentuk tunai, RM6 juta dalam bentuk nilai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan RM50 juta bagi pembinaan infrastruktur DBKL.

 

Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian.

 

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meraih hasil tambahan bernilai RM205 juta susulan rundingan semula terhadap 23 transaksi penjualan tanah milik kerajaan, yang dilakukan di bawah harga pasaran oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata susulan nilaian semula transaksi tanah terbabit, DBKL meraih pulangan RM149 juta dalam bentuk tunai, RM6 juta dalam bentuk nilai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan RM50 juta bagi pembinaan infrastruktur DBKL.
Beliau berkata, pihaknya bertegas melakukan penilaian semula harga tanah milik kerajaan untuk pelbagai projek pembinaan di sekitar ibu kota, selepas mendapati 97 transaksi jual beli tanah kerajaan milik DBKL, mencurigakan.

 

“Susulan penilaian semula transaksi jual beli tanah ini, kita dapati 40 daripada 97 tanah yang dijual sebelum ini, tidak bermasalah. Sebanyak 34 daripadanya sudah dimulakan projek pembinaan, tetapi 23 transaksi terpaksa dirunding semula kerana harga jualannya lebih murah berbanding nilai pasaran.

“Daripada 23 transaksi jualan tanah yang dirunding semula, DBKL berjaya mengutip tambahan RM149 juta wang tunai dan RM6 juta (dalam bentuk) CSR.

“Terbaru, rundingan semula dengan satu pemaju yang masih berjalan, mereka (memaklumkan) sanggup memberi RM50 juta, yang akan digunakan bagi membina kemudahan, termasuk bengkel kenderaan milik DBKL,” katanya kepada BH.

 

Pemaju setuju penilaian semula

 

Khalid berkata, semua pemaju bersetuju membuat penilaian semula harga tanah mengikut kadar semasa ketika dibeli kerana ia dipercayai dijual pada harga murah.

Katanya, walaupun kebanyakan pemaju sebelum ini sudah menandatangani surat perjanjian dengan DBKL, mereka akur dengan arahan kerajaan.

 

“Mereka sanggup runding balik. Ada pemaju sanggup tambah nilai rundingan semula sehingga RM60 juta untuk satu kes tanah. Contohnya, dulu dia beli tanah pada harga RM400 juta, sekarang dia tambah RM60 juta lagi.

“Walaupun sudah ada perjanjian, dia sanggup berunding kerana dia tahu rundingan semula mengikut harga jualan semasa ketika dibeli.

“Dia tahu tidak sepatutnya tanah dibeli pada harga itu kerana ia lebih mahal. Mungkin kalau kita (Pakatan Harapan) tidak ambil alih (menang Pilihan Raya Umum ke-14), mereka akan beri RM60 juta kepada orang lain tetapi kita tidak tahu,” katanya.

 

Sehubungan itu, Khalid berkata, pihaknya kini bertegas kepada semua pemaju terbabit supaya menyalurkan duit tambahan nilai itu kepada DBKL.

“Sekarang, Apabila kementerian tetapkan beri duit itu kepada DBKL, mereka kena beri kepada DBKL. Kalau pentadbiran lama, mungkin dapat juga RM50 juta, tetapi tidak dapat kepada DBKL.

“Mereka dapat tanah murah, mereka tahu. Jadi, mereka kena bagi semula kepada DBKL atau pihak ketiga. Selepas kita (Pakatan Harapan) ambil alih, kita kata kamu jangan beri kepada mana-mana pihak, sebaliknya bagi kepada DBKL,” katanya.

 

Mengulas satu kes transaksi jual tanah kerajaan yang mencurigakan dan kini dicabar di mahkamah, Khalid berkata, kementeriannya tegas menangani isu jual beli tanah kerajaan yang mencurigakan.

Katanya, pemaju masih berdegil tidak mahu berunding dengan alasan sudah menandatangani perjanjian menyebabkan DBKL menghalang kerja pembinaan dijalankan.

 

“Sekarang mereka tidak mahu runding ,tetapi sedang mencari jalan keluar. Saya tidak akan lepaskan sehingga mereka datang ke meja rundingan.

“Pendirian kementerian adalah kalau pemaju lain sanggup berunding, kenapa dia menolak rundingan?” katanya.

 

Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

230194
Kapital

7 Perkara Mengenai Ekonomi Malaysia Baru

Reading Time: 3 minutes Satu garis panduan pelantikan jawatan tertinggi GLC akan dikeluarkan MoF Cukai korporat bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)…

7-01
Kapital

MRCB Perkenal MBS Bagi Tingkatkan Kualiti Pembinaan

Reading Time: 2 minutes   Syarikat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bakal meningkatkan lagi kualiti dalam sektor pembinaan dengan memperkenalkan sistem pembinaan…

101b
Kapital

Lima Strategi Makro Kekal Daya Tahan Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan lima strategi makro bagi…

kilang-mazda-kulim-mekanika-4

Tahap Perniagaan Di Malaysia Kurang Memberansangkan Bagi Tempoh 5 Bulan Berturut-Turut

Reading Time: 2 minutes PMI China kekal bawah paras 50 semenjak Disember 2018 PMI adalah satu kaji selidik yang dilakukan secara bulanan…