fbpx

94% Permohonan Pembiayaan Perniagaan Usahawan IKS Diluluskan – Laporan BNM

Oleh : Wan Syarafiz
08 April 2019 - 2:49 pm

Reading Time: 3 minutes
  • 71% syarikat IKS telah merekodkan margin keuntungan melebihi 10% dan mampu menjana aliran wang tunai yang positif
  • Sektor pembuatan (manufacturing)  mencatatkan kadar peratusan paling tinggi permohonan pembiayaan perniagaan ditolak

 

Inisiatif untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan bagi syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tidak dianggap sebagai salah satu masalah utama yang dihadapi oleh majoriti usahawan. Ini berdasarkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) di mana satu bancian telah dilakukan pada tahun 2018 untuk memahami keperluan pembiayaan usahawan IKS.

 

Melalui hasil bancian itu, BNM mendapati majoriti responden yang telah memohon pembiayaan dalam tempoh 6 bulan sebelum bancian ini dilakukan telah berjaya mendapat kelulusan. 22% responden dilaporkan telah memohon dengan 94% daripada keseluruhan permohonan ini diluluskan.

 

Daripada 22% responden itu, 13% memohon pembiayaan daripada institusi kewangan manakala 9% lagi memohon daripada sumber-sumber lain.

 

Sebanyak 1,529 syarikat IKS telah mengambil bahagian dalam bancian yang dijalankan BNM ini dan dilaporkan 71% daripadanya telah merekodkan margin keuntungan melebihi 10% dan mampu menjana aliran wang tunai yang positif.

 

Kredit: The Star

Menurut BNM, antara tujuan utama permohonan pembiayaan ini dibuat adalah bagi tujuan pembelian aset seperti bangunan, hartanah, mesin dan barangan lain. Selain itu, responden yang memohon pembiayaan ini juga menyatakan tujuan utama lain seperti modal perniagaan harian (working capital) dan juga bagi tujuan memulakan perniagaan baru.

 

Secara purata, 89% daripada permohonan ini diluluskan hanya dalam tempoh sebulan dan kemudiannya dana itu akan disalurkan secara terus pada bulan yang berikutnya. Bagi perniagaan yang dimiliki oleh wanita pula, BNM menyatakan kadar kelulusan bagi permohonan pembiayaan adalah 83%. Ini adalah lebih rendah berbanding kadar kelulusan keseluruhan 94%. Antara punca utama kadar permohonan pembiayaan ini mendapat kelulusan lebih rendah adalah kerana dokumentasi yang tidak lengkap serta rekod perniagaan yang kurang bagus.

 

Jika kita lihat kepada inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan dan juga institusi kewangan di Malaysia, ia boleh dianggap sebagai ‘mesra usahawan’ kerana banyak produk atau skim yang telah disediakan kerajaan bagi membantu dan menggalakkan rakyat menceburi bidang keusahawanan.

 

Tekun Nasional adalah antara agensi yang sangat aktif membantu usahawan dengan menyediakan skim seperti Skim Pembiayaan Tekun Niaga, Skim Pembiayaan Teman Tekun, Skim Pembiayaan Program Temanita dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Banyak lagi sebenarnya agensi-agensi lain yang ditubuhkan dengan hasrat untuk membantu usahawan seperti Teraju, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Bank, Cradle Fund dan bermacam-macam lagi.

 

Kredit: The Star

 

Berbalik kepada bancian yang telah dijalankan BNM, bank pusat itu menyatakan permohonan pembiayaan kebiasaannya ditolak kerana dokumen yang tidak lengkap, aliran wang tunai yang lemah serta pelan perniagaan yang tidak berdaya maju. Jika dilihat daripada keseluruhan segmen perniagaan, sektor pembuatan (manufacturing) telah mencatatkan kadar peratusan paling tinggi berdepan dengan kegagalan dalam permohonan pembiayaan perniagaan. Ini kemudian diikuti oleh IKS Inovatif (Innovating SMEs), pengeksport dan syarikat IKS dalam bidang automasi (Automating SMEs).

 

Permohonan usahawan IKS ini telah ditolak kerana gagal menyediakan cagaran serta dianggap mempunyai risiko yang lebih besar. Antara tujuan permohonan pembiayaan dibuat adalah bagi pembelian mesin dan barangan, peralatan ICT serta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Aset-aset yang dinyatakan ini akan mempunyai nilai yang rendah untuk dijual balik sekiranya perniagaan tersebut gagal. Selain itu, perniagaan dalam sektor-sektor ini juga berdepan dengan dengan risiko ketidaktentuan hasil pulangan.

 

41% responden daripada bancian itu juga dikatakan memerlukan pembiayaan perniagaan tetapi tidak membuat sebarang permohonan kerana tidak pasti dengan kemampuan kewangan untuk membayar balik pinjaman tersebut. Manakala 46% responden pula menyatakan produk pembiayaan yang ditawarkan tidak menepati keperluan perniagaan mereka kerana kos pembiayaan yang tinggi, jumlah pembiayaan yang rendah serta banyak dokumen perlu disediakan dan dianggap sebagai ‘menyusahkan’.

 

Melalui kaji selidik yang telah dijalankan BNM ini, ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya amat prihatin dalam memberikan bantuan kepada usahawan kerajaan. Antara faktor-faktor utama yang dinyatakan oleh responden sebagai perkara yang mengekang pertumbuhan perniagaan mereka ialah peningkatan persaingan (69%), permintaan yang tidak menentu (51%) dan harga kos barangan yang meningkat naik (44%). Faktor seperti kesulitan untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan serta syarat yang dikenakan kerajaan (government regulations) pula hanya berada di kedudukan paling rendah pada kadar 19% dan 5%.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Front Facade
Kapital

Lokasi Adalah ‘Senjata’ Penting Tarikan Hartanah

Reading Time: 4 minutes Tatkala pasaran hartanah semasa berada dalam situasi yang mencabar, apakah faktor yang boleh menarik minat orang ramai untuk…

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…