fbpx

(EKSKLUSIF) MAHB: Monopoli Operator Lapangan Terbang Perlu Dirombak?

Oleh : Kapital
09 April 2019 - 9:20 pm

Reading Time: 5 minutes
  • Industri pelancongan negara telah jatuh sebanyak 1.5% sejak 2014.
  • Struktur governans, peraturan lapuk dan prosedur regresif antara punca MAHB tidak kompetitif

Bawa perubahan segera atau anda akan digantikan.

 

Ini gesaan daripada Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin kepada kapten-kapten syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika wawancara bersama sebuah akhbar tempatan.

 

Namun apakah kayu ukur yang sesuai untuk menilai prestasi GLC? Adakah dengan melihat laporan kewangan semata-mata? Tetapi cara ini berkemungkinan tidak adil terutama bagi GLC yang sudah pasti mencatatkan keuntungan kerana monopoli.

 

Misalnya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang memonopoli perniagaan  pengurusan lapangan terbang dengan menjadi operator di 39 lapangan terbang seluruh Malaysia. Syarikat ini senantiasa mencatatkan prestasi kewangan cemerlang dengan keuntungan sebanyak RM237.1 juta  (2017) dan RM 727.3 juta (2018).

 

Walaubagaimanapun ini tidak bermakna MAHB boleh terlepas dari penilaian kerajaan. Bahkan, begitu banyak perkara di luar aspek keuntungan yang perlu diharapkan dari MAHB mengambil kira peranan strategik yang dimiliki syarikat tersebut.

 

Peranan Strategik Lapangan Terbang

Ini selari dengan apa yang dikatakan oleh Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza dalam ucapan beliau di Forum Yayasan Kepimpinan Perdana minggu lepas.

 

Ujar beliau, “peranan strategik Khazanah di dalam industri yang dikawal selia seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah dengan membangunkan teknologi dan industri yang penting kepada negara.”

 

Sebagai rekod, Khazanah merupakan pemegang saham terbesar di dalam MAHB dengan kepentingan sebanyak 33.2%. Apakah objektif sebenar Khazanah memegang kepentingan sebanyak ini?

 

Nilai sebenar adalah daripada kesan berganda kepada ekonomi melalui pelancong dan wang mereka, menurut Shahril ketika mengulas kerugian MAS.

 

“Kesan berganda kepada ekonomi adalah sekitar 8 ke 10 kali ganda berdasarkan jumlah perbelanjaan mereka (pelancong) ke negara.”

 

MAHB Dan Industri Pelancongan

Oleh yang demikian, antara peranan strategik yang boleh dimainkan oleh MAHB sudah tentulah menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub penerbangan di rantau Asia Tenggara (ASEAN) kerana perkara ini berkait rapat dengan industri pelancongan negara.

 

Dan agenda ini menjadi lebih penting apabila data ketibaan pelancong asing ke Malaysia pada 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 0.4% sedangkan negara-negara ASEAN yang lain mencatatkan peningkatan. Contohnya Vietnam (+29%), Indonesia (+22%), Thailand (+9%) dan Singapura (+6%).

Perkara ini turut disokong oleh ahli ekonomi.

 

“Salah satu naratif kemajuan terbaik buat Malaysia adalah pelancongan.” ujar Ahli Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng, Chua Hak Bin.

 

Justeru, Kementerian Pelancongan, Khazanah dan MAHB perlu mengambil serius akan hal ini memandangkan industri pelancongan menyumbang RM201 billion atau 14.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, menggajikan 23% daripada jumlah pekerja di Malaysia, dan mewujudkan pelaburan bernilai RM21 billion.

 

Adakah MAHB berada di kedudukan terbaik dalam menangani situasi ini? Bolehkah Malaysia Baharu mengharapkan entiti di bawah Khazanah ini menjalankan peranan strategik mereka selain daripada menyampaikan penyata kewangan yang positif?

 

Persoalan yang lebih penting adalah, bagaimana MAHB mampu bersaing tanpa mengharapkan perlindungan kerajaan mengambil kira agenda kerajaan Pakatan Harapan yang ingin mengurangkan monopoli perniagaan di dalam pasaran?

 

MAHB Perlu Dirombak

Jika dilihat struktur governans, peraturan dan prosedur di dalam MAHB, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian

 

Pertama, struktur keahlian Lembaga Pengarah MAHB perlulah dirombak. Zaman di mana sebahagian besar ahli lembaga pengarah MAHB turut menjadi pengerusi atau ahli lembaga pengarah di syarikat subsidiari MAHB perlu dihentikan.

 

Apa yang pernah terjadi di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tidak seharusnya terjadi di MAHB.

 

Sedikit pencerahan- sebelum 2017, FELDA mempunyai beberapa ahli lembaga pengarah yang turut menduduki di kerusi pengarah di Felda Investment Corporation (FIC) serta Felda Global Venture (FGV). Bahkan pengerusi FELDA, FIC dan FGV adalah individu yang sama.

 

Perkara ini menyebabkan beberapa keputusan pelaburan dikritik hebat dan beberapa kes salah guna kuasa telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

 

Sememangnya tiada skandal kewangan mahupun salah guna kuasa yang berlaku di MAHB. Walaubagaimanapun, adalah lebih baik kita bersikap mencegah daripada merawat.

 

Sebagai contoh terdapat beberapa Ahli Lembaga Pengarah MAHB yang turut menjadi Pengerusi di beberapa syarikat subsidiari.

 

Antaranya Datuk Zalekha Hassan (Pengerusi Malaysia Airports Consultancy Services Sdn Bhd), En Rosli Abdullah (Pengerusi KLIA Aeropolis Sdn Bhd), Dato’ Ir Haji Mohamad Husin (Pengerusi Urusan Teknologi Wawasan Sdn Bhd) dan Hajah Jamilah Dato’ Hashim (Pengerusi MAB Agriculture – Horticulture Sdn Bhd).

 

Tambahan pula, pengasingan kedudukan dan jawatan di antara Ahli Lembaga Pengarah MAHB dan syarikat subsidiari menjamin integriti syarikat dan segala keputusan yang dibuat tidak boleh dipersoalkan kerana ianya dibuat berdasarkan kepentingan terbaik buat MAHB.

 

Lembaga Pengarah vs Pengurusan?

Kedua, peraturan lapuk dan prosedur yang terkebelakang di dalam MAHB seharusnya diubah.

 

Ianya adalah rahsia umum di MAHB di mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) hanya diberi kuasa untuk menandatangani surat tawaran kerja bernilai RM 5 juta dan ke bawah. Adakah Lembaga Pengarah MAHB tidak mempercayai CEO mereka?

 

Selain itu, prosedur lapuk dan peraturan yang terlalu berpandukan perolehan kerajaan menyebabkan proses tender mengambil masa 6 bulan ke setahun lamanya.

 

 

Ini menjelaskan mengapa sehingga ke hari ini masih tiada kerja-kerja menggantikan ‘aerotrain’ dan sistem pengurusan bagasi di KLIA walaupun aduan telah banyak diterima.

 

Dan, bagaimanakah prosedur ini boleh membantu menjadikan KLIA dan KLIA2 sentiasa di hadapan dalam aspek teknologi sebagaimana Lapangan Terbang Changi?

 

Mengambil kira MAHB merupakan antara kaunter terbesar di Bursa Malaysia, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana sudah jelas ianya mengganggu operasi syarikat dan memberi gambaran jelas bahawa Lembaga Pengarah yang ‘menguruskan’ syarikat, bukannya pengurusan.

 

Mengapakah isu-isu asas ini dibangkitkan? Dan apa kaitannya dengan pelancongan serta monopoli?

 

KLIA Semakin Ketinggalan

Jawapannya mudah. MAHB tidak bersedia untuk menghadapi persaingan di pasaran terbuka. Tanpa MAHB menjadi kompetitif, adalah sukar untuk kita melihat lapangan terbang utama seperti KLIA menjadi jaguh ASEAN dan hub udara di rantau ini.

 

Sifirnya mudah, mengapa perlu berubah dan menandingi Changi, Jakarta serta Suvarnabhumi jika bisnes sedia ada dijamin keuntungannya?

 

Hakikatnya, lapangan terbang yang kurang jaringan laluannya, fasiliti yang lesu dan tiada teknologi terkini tidak akan menarik lebih banyak pelancong luar untuk datang ke negara.

Laporan Skytrax World Airport Awards 2019 meletakkan KLIA pada kedudukan ke-54, berbanding tempat ke-2 pada 2001. (Changi berada di kedudukan pertama buat kali keenam)

 

Walaubagaimanapun KLIA ada jawapan kepada perkara ini.

 

MAHB dalam kenyataannya berkata, ‘model silang subsidi yang diguna pakai diperlukan bagi menampung kerugian operasi di 32 lapangan terbang yang lain memandangkan hanya 7 lapangan terbang sahaja yang mencatatkan keuntungan.’

 

Beban Pembayar Cukai Negara

Perkara ini bagaimanapun dijawab oleh En Mohsin Aziz, penganalisis Maybank Kim Eng Securities. Menurut beliau, menyusun dan memecahkan kesemua lapangan terbang MAHB kepada beberapa kluster akan membolehkan operator baru lebih fokus kepada aset tersebut. Ini termasuklah kepada lapangan terbang yang kerugian.

 

“Lapangan terbang mestilah diuruskan oleh operator yang pro-kemajuan, berpengalaman dan mempunyai strategi yang memberi nilai kepada pemegang saham.”

 

Perkara terakhir yang Malaysia Baharu perlukan adalah MAHB masih mengharapkan beberapa ‘perlindungan’ dari kerajaan untuk berterusan mencatatkan keuntungan melalui perjanjian pengurusan (operating agreement).

 

Antaranya seperti Marginal Cost Support Sum (MARCS) yang membenarkan MAHB menuntut bayaran dari kerajaan Malaysia bagi perbezaan caj pengurusan penumpang (PSC) sedia ada dan caj baru. Ini tidak termasuk kadar PSC yang dinaikkan ekoran kos pembinaan KLIA2 yang menelan belanja terlalu tinggi.

 

Ini semua adalah contoh bagaimana monopoli membebankan pengguna dan inilah kayu ukur paling tepat bagi menilai prestasi Lembaga Pengarah dan ketua pengurusan baru di MAHB.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 12-01
Kapital

Malaysia Rugi Lebih Besar Sekiranya ECRL Dibatalkan

Reading Time: 2 minutes Pada tahun 2018, China merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai sebanyak USD42.5 bilion Penerusan projek ECRL dilihat…

Featured Image 22-01

Aplikasi Teknologi 5G

Reading Time: 2 minutes Teknologi 5G menjanjikan kadar latensi bermula serendah 1 ms Dianggarkan 5G boleh mencapai kelajuan melebihi 1 Gigabits sesaat…

Featured Image 19-01

ONE Championship Bakal Setanding UFC

Reading Time: 3 minutes Pada tahun 2018, nilai One Championship dilaporkan bernilai lebih daripada USD1 bilion Jumlah tontonan video One Championship di…

Featured Image 20-01

30%-40% Bekalan Beras Malaysia Diimport Daripada Luar Negara

Reading Time: 2 minutes Industri beras hanya menyumbang 2.3% sahaja kepada Keluaran Kasar Dalam Negara 74.1% daripada penghasilan beras dalam negara adalah…