fbpx

HBO Bakal Mati Selepas Siri Game of Thrones Tamat

Oleh : Wan Syarafiz
18 April 2019 - 5:19 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Dalam tempoh tahun 2015 hingga 2018, HBO telah berjaya mengaut keuntungan dengan nilai USD6 bilion
  • Setiap episod GoT musim kelapan ini telah menelan belanja sebanyak USD15 juta untuk dihasilkan

 

Masa depan HBO bakal malap selepas musim terakhir Game of Thrones (GoT) melabuhkan tirainya. Ini berdasarkan persaingan sengit daripada Netflix dan Disney+ dalam perkhidmatan streaming yang dikatakan akan membunuh HBO sekiranya gagal menghasilkan rancangan sehebat GoT selepas ini.

 

Selepas 595 hari menunggu, peminat tegar GoT dari seluruh dunia sedang hangat menanti-nantikan setiap episod untuk menyaksikan bagaimanakah kesudahannya nanti. Adakah Daenerys dan Jon Snow akan berjaya mengalahkan Night King serta White Walker? Bagaimana pula perancangan Cersei dalam menakluki 7 kingdom?

 

Di saat kita sedang tertanya-tanyakan soalan ini, kita perlu ingat juga siri GoT ini sebenarnya mendatangkan hasil yang banyak kepada HBO dan juga syarikat induknya, Time Warner yang baru sahaja dibeli of AT&T pada harga USD85 bilion pada tahun 2018. GoT bukan sahaja siri HBO paling banyak ditonton dalam sejarah mereka malahan francais rancangan bersiri ini dilaporkan bernilai lebih daripada USD1 bilion.

 

Jumlah tontonan siri GoT dilaporkan melebihi 30 juta bagi setiap rancangan pada musim sebelum ini. Jumlah ini dijangkakan akan meningkat lebih tinggi pada musim ini kerana HBO telah mengeluarkan bajet lebih besar dengan setiap episod GoT menelan belanja USD15 juta.

 

Related image
Kredit: Maxim.com

 

Bagaimanakah HBO ini sebenarnya menjana duit?

 

HBO tidaklah bergantung kepada pengiklanan seperti saluran-saluran TV tradisional yang lain. Sebaliknya, mereka bergantung kepada langganan melalui kabel dan streaming yang berharga sekitar USD10 hingga USD15 setiap bulan. Dalam tempoh tahun 2015 hingga 2018, HBO telah berjaya membuat keuntungan berjumlah USD6 bilion. Memandangkan hasil pendapatan HBO tidak datang daripada pengiklanan, mereka mahu memastikan pelanggan-pelanggan kekal setia untuk melanggan saluran mereka.

 

Jadi, situasi ini sebenarnya agak membimbangkan pihak HBO dan AT&T kerana apa yang bakal terjadi selepas siri GoT ini tamat? Melihat kepada keadaan ini, AT&T telah menyatakan bahawa mereka akan menyuntik dana 50% lebih tinggi berbanding sebelum ini untuk HBO. AT&T juga dilaporkan akan melancarkan perkhidmatan streaming mereka sendiri penghujung tahun ini dengan HBO menjadi salah satu salurannya di samping saluran lain seperti TBS, TNT dan Warner Bros.

 

Apa yang mendatangkan masalah sebenar kepada HBO nanti ialah persaingan yang bakal dihadapi dengan Walt Disney melalui perkhidmatan streaming Disney+ yang bakal dilancarkan penghujung tahun ini. Walt Disney sebelum ini telah menjanjikan kepada bakal pelanggannya untuk menghasilkan siri berasaskan karakter Marvel iaitu Loki. HBO juga mempunyai satu lagi pesaing hebat iaitu Netflix dengan jumlah pelanggan sebanyak 148 juta. Jangan kita lupa, pada tahun 2019 ini, Netflix dikatakan akan mengeluarkan belanja sebanyak USD15 bilion bagi penghasilan konten dan USD2.9 bilion bagi kos pemasaran.

 

Majoriti 140 juta pelanggan HBO merupakan pelanggan yang masih menggunakan perkhidmatan saluran TV berbayar tetapi situasi hari ini menunjukkan ramai pelanggan sudah mula beralih kepada langganan melalui aplikasi HBO Now. Jadi, ia akan mendatangkan bahaya kerana pengguna akan lebih senang untuk menghentikan langganan mereka sekiranya rancangan yang ditawarkan tidak menarik. Satu kajian telah dibuat THR/Morning Consult di mana hasil kajian menunjukkan 28% responden akan menghentikan langganan perkhidmatan streaming sekiranya rancangan yang disukai mereka berhenti ditayangkan.

 

Bagi HBO, keutamaan mereka kini terletak kepada kekuatan siri GoT dengan dikatakan akan ada 4 ‘spinoff series’ bakal dihasilkan berdasarkan rancangan itu.  Tetapi adakah itu akan menjanjikan kejayaan yang sama seperti GoT? Sebagai contoh, saluran AMC sebelum ini telah menghasilkan ‘spinoff series’ berdasarkan siri The Walking Dead iaitu Fear The Walking Dead. AMC juga mengeluarkan siri Better Call Saul berdasarkan siri Breaking Bad. Tetapi kedua-dua ‘spinoff series’ yang dihasilkan ini sebenarnya kurang berjaya!

 

Adakah perkara yang sama juga bakal berlaku kepada HBO? Sekiranya ia berlaku, sudah pasti HBO perlu memikirkan untuk menghasilkan projek seterusnya yang sehebat GoT. Jika tidak, HBO hanya akan mati ditewaskan Netflix, Disney+ dan juga perkhidmatan streaming yang lain.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 24-01
Kapital

Kenapa Orang Jepun Tidak Membeli Kereta Buatan Amerika

Reading Time: 2 minutes 40% daripada kereta yang dijual di Jepun adalah kereta bersaiz kecil General Motor hanya mampu menjual 700 unit…

Featured Image 3-01 (1)
Kapital

Perkhidmatan Kesihatan & Impak Kepada Ekonomi Negara

Reading Time: 2 minutes   AmInvestment menjangkakan prospek pertumbuhan bagi sektor kesihatan adalah positif untuk tempoh jangka panjang yang akan datang berdasarkan…

Featured Image 2-01
Kapital

Graduan B40 Sukar Dapat Kerja Setimpal

Reading Time: 10 minutes   Peluang melanjutkan pelajaran di menara gading, kini bukan lagi jaminan bagi anak-anak daripada keluarga miskin serta kelompok…

Featured Image-01
Kapital

Hi HOME Bakal Tingkatkan Kadar Pemilikan Rumah Di Malaysia

Reading Time: 3 minutes   Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, sudah pasti memiliki rumah adalah salah satu impian yang mahu dipenuhi. Selain…