Jokowinomics: Implikasi Kemenangan Kedua Jokowi
- Jokowi menjanjikan 100 juta perkerjaan baru dalam tempoh masa 5 tahun
- Bank membelanjakan USD120 bilion tahun lalu bagi menstabilkan matawang Rupiah
Semalam kita menyaksikan pertembungan dua tokoh politik Indonesia antara Jokowi dan Prabowo dalam Pilihan Raya Presiden (PEMILU). Buat masa ini, berdasarkan keputusan tidak rasmi, undian kali ini berpihak kepada Jokowi yang dijangkakan akan mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua.
Apakah kesannya kepada ekonomi Indonesia jika keputusan rasmi memihak kepada Jokowi dan apakah janji-janji Jokowi?
Presiden Indonesia ini mahu mempercepatkan lagi pembinaan infrastruktur di Indonesia, terutamanya bagi kawasan bandar dan kawasan projek digital dalam usaha memangkin pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, beliau turut berjanji untuk menurunkan kadar kemiskinan, menurunkan harga barang serta menambah baik sistem percukaian. Indonesia sebelum ini telah memulakan pembangunan infrastruktur yang menelan belanja USD350 bilion, jumlah yang tersebesar dalam sejarah. Antara janji lain Jokowi adalah menjanjikan 100 juta perkerjaan baru dalam tempoh masa 5 tahun melalui perbelanjaan pembelajaran dan latihan.
Kerajaan Indonesia menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.3% bagi tahun ini dan 5.5% pada 2020. Walaupun keadaan ekonomi dunia tidak begitu baik dengan perang dagangan US-China yang tidak berkesudahan, kerajaan Indonesia yakin mereka mampu mencapai sasarannya kerana ekonomi Indonesia bergantung kepada perbelanjaan domestic berbanding negara yang bergantung kepada eksport seperti Malaysia dan Thailand.
Inisiatif program kebajikan dan subsidi minyak Jokowi pula akan meningkatkan lagi kadar perbelanjaan rakyat seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Cabaran kepada Jokowi adalah mengecilkan defisit akaun semasa negara. Perkara ini bergantung sama ada beliau akan mengekalkan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati yang berjaya mengecilkan jurang belanjawan kepada 1.76% berbanding KDNK tahun lalu.
Walaubagaimanapun, nisbah cukai kepada KDNK masih berada pada paras rendah sekitar 12%. Jokowi sebelum telah berjanji hanya akan berhutang bagi perbelanjaan infrastruktur dan mengurangkan kebergantungan kepada pemilikan asing dalam bon kerajaan. Kenaikan harga minyak dunia tidak memberi kesan yang besar kepada pendapatan negara jika Jokowi meneruskan program subsidinya.
Jika keputusan rasmi nanti berpihak kepada Jokowi, ianya akan menghilangkan keraguan pelabur dan ketidak tentuan pasaran semasa musim pilihan raya seterusnya meningkatkan kadar tukaran Rupiah berbanding USD. Tahun lalu, bank pusat telah secara aktif menstabilkan matawang Rupiah yang mengakibatkan sekitar USD120 bilion wang rizab telah dibelanjakan.
Sumber: Bloomberg