fbpx

Kematangan Demokrasi Indonesia

Oleh : Kapital
17 April 2019 - 12:06 pm

Reading Time: 4 minutes

Sepanjang minggu lalu, saya dan pasukan Bait Al Amanah berkampung di Jakarta untuk memantau dan belajar tentang Pilihanraya Indonesia, khususnya Pemilihan Presiden (PILPRES) bagi tahun 2019.

 

Untuk kali ini, pertembungannya boleh dianggap rematch,satu deja vu kepada rakyat Indonesia kerana calonnya adalah Presiden sekarang Joko Widodo (PDI Perjuangan) dan Probowo (GERINDRA) yang masing-masing memegang nombor urutan calon 01 dan 02. Mereka masing-masing membariskan Haji Amin Ma’ruf dan Sandiaga Salahudin Uno sebagai timbalan.

 

Selain sesi soal jawab dan perbincangan tertutup dengan pelbagai pihak, bagi benar-benar melihat sendiri kemeriahannya kami menyertai sendiri 4 sesi kempen di Jakarta yang dianjurkan oleh kedua-dua belah pihak. Pengamatan pertama yang terlintas adalah, betapa matangnya cara mereka menghidupkan demokrasi. Ini adalah pesta yang diangkat dengan cara yang tidak terlihat di negara kita.

 

Pemerkasaan Wanita

Pertama, keseimbangan dan pemerkasaan wanita. Sejak 2014, partai yang bertanding dikehendaki membariskan sekurang-kurangnya 30% calon wanita. Ini bukan saranan atau seruan. Ini peruntukan hukum yang dikuatkuasakan secara tegas. Di negara kita, calon wanita masih terpaksa melobi di sana sini untuk memastikan ada wakil dari sayap mereka yang dicalonkan. Itu pun selalunya hanya seorang dua. Segala-galanya sangat tergantung pada budi bicara parti.

 

Image result for pemilu 2019

 

Tempoh Bertenang

Kedua, ketetapan tempoh bertenang selama 3 hari menjelang hari mencoblos (mengundi). Bermula jam 12 malam 14 April sehinggalah 17 April nanti kesemua parti sudah tidak dibenarkan berkempen sama sekali. Sudah tidak ada hantaran di media sosial atau ceramah-ceramah atau aktiviti meraih undi. Sekurang-kurang secara terus dan terbuka. Tempoh tenang ini benar-benar tenang. Kalau di negara kita, perkara ini dikuatkuasakan bermula jam 12 malam mengundi, kurang dari 24 jam.

 

Malah, bermula lewat malam hari terakhir kempen, semua bendera, sepanduk dan banting sudah mesti diturunkan. Jika kita ke Indonesia sekarang, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Biarpun hanya beberapa hari lepas negara demokrasi ketiga terbesar dunia ini menyaksikan perang poster dan sorakan yang amat gamat. Kalau di negara kita, jika kita memandu keliling kota sekarang, silap hari bulan masih ada sisa bendera dan poster yang tergantung walaupun sudah hampir setahun PRU berlalu.

 

Umur Mengundi 17 Tahun

Perkara ketiga yang menakjubkan adalah umur mengundi di Indonesia adalah 17 tahun. Ini menjadikan sebahagian besar para pengundi adalah golongan muda.

 

Image result for debat pilpres

Debat Antara Calon

Keempat, debat terbuka antara calon. Untuk PILPRES kali ini, sudah 5 kali debat diadakan, pertembungan satu lawan satu serta antara pasangan presiden dan timbalan presiden. Ya, sudah 5 kali. Semuanya disiarkan secara langsung di TV dan media elektronik. Perdebatannya tegang dan sengit. Tetapi, semuanya aman dan lancar. Di negara kita, semuanya juga aman dan lancar. Bukan kerana calon dan pendukung parti berkelakuan baik. Kerana, debat sebegitu sebenarnya tidak pernah ada pun.

 

Sokongan Terbuka

Kelima, deklarasi sokongan secara terbuka oleh kelompok masyarakat yang khusus. Ini bermakna, sesetengah kumpulan profesional atau persatuan menyatakan dengan jelas dan terbuka sokongan mereka kepada seseorang calon.

 

Pada 8 April misalnya, bertempat di Indonesia Convention Exhibition (ICE), golongan atlet, influencer,serta ahli paralimpik menyatakan ikrar sokongan kepada Jokowi. Nama-nama besar sukan Indonesia seperti Taufik Hidayat membuat kemunculan dan menyatakan sokongan.

 

Pada 10 April bertempat di Istora Senayan pula, golongan milenial dan usahawan muda melalui Young Enterprenuers Summit (YES) menyatakan sokongan mereka pada gandingan Probowo-Sandi.

 

Terbaharu, video agamawan tersohor Ustaz Ahmad Somad (UAS) menyatakan dukungannya kepada Probowo sangat mengesankan. Yang menariknya, dalam video ringkas tersebut, UAS memberi 2 hadiah ‘kecil’ kepada Probowo.

 

Satu, calitan minyak wangi kayu gaharu di tangan Probowo, sebagai simbol dan peringatan bahawa sebagai ketua, beliau wajib menjadi haruman kepada bangsa. Kedua, diberikan tasbih kesayangan beliau. Agar, selaku pemimpin apabila menang kelak, jiwa beliau akan sentiasa terisi dengan zikir. Kerana, hanya dengan zikir dan mengingati Allah, akan lahir pemimpin yang jujur dan telus. Tidak hairan jika Probowo menangis tanpa tertahan.

 

Perkara ini tidak berlalu di negara kita. Kalau ada artis menyatakan sokongan, pasti dikecam. Kalaupun menyokong, akan dilakukan secara tertutup dan senyap takut nanti jika parti yang disokong tidak memang dan berkuasa, akan habislah masa depan dan periuk nasi mereka.

 

Image result for pemilu 2019

Tawaran Alternatif

Keenam, partai yang mencabar gandingan Jokowi-Amin tampil mencabar bukan sahaja dengan janji dan ikrar kosong. Tetapi, ada sekurang-kurangnya 2 program yang sudah mereka jayakan ketika belum pun memerintah dan memang.

 

Misalnya, inisiatif OKE-OCE iaitu satu daerah satu pusat keusahawanan dan Rumah Siap Kerja, yang mirip konsep Jobstreet bagi membantu anak muda mendapat kerja. Semua ini sudah sedia untuk beroperasi dan memberikan impak, sebelum pun mereka menang dan berkuasa.

 

 

Di negara kita, budaya promise first think latermasih sangat menebal. Kalau pun ada tawaran, tawaran tersebut akan gagal sebelum sampai setahun memerintah. Kerana kurangnya data dan maklumat semasa membuat janji tersebut.

 

Pemimpin Muda Masa Depan 

Sekalipun sosok Jokowi dan rekod 4 tahunnya sebagai Presiden dilihat agak meyakinkan kepada ramai orang, Sandi adalah calon termuda yang sangat menyerlah. Beliau kini dilihat sebagai ikon orang muda yang mampu menjadi tarikan kira-kira 80 juta pengundi milenial di negara itu. Jadi, tidak pelik jika beliau sebenarnya dilihat sebagai lambang masa depan Indonesia. Lebih-lebih lagi, dalam ucapan penutupnya semasa debat terakhir, beliau telah mengumumkan tidak akan mengambil dan menerima sebarang gaji sebagai Timbalan Presiden Indonesia, jika terpilih kelak.

 

Perkara ini sebenarnya dapat dilihat dalam banyak keadaan. Indonesia kini rancak merekrut dan melatih pemimpin muda mereka untuk ke hadapan. Kebanyakan parti sedang memastikan mereka mempunyai generasi pelapis yang berkaliber dan teruji.

 

Biar apa pun keputusannya pada 17 April nanti, yang pasti, banyak perkara yang boleh dan mesti kita pelajari dari demokrasi Indonesia.


Artikel ini ditulis oleh Mohd Daud Mat Din dan Shahrill Sabarudin, Bait Al Amanah

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…