fbpx

Langkah Penyelesaian Bagi Mengukuhkan Ekonomi Pesawah Malaysia

Oleh : Wan Syarafiz
16 April 2019 - 3:14 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Jumlah pendapatan isi rumah pesawah dilaporkan berjumlah RM2,527 yang sekaligus meletakkan mereka berada dalam kelompok B40
  • Kedudukan ekonomi pesawah di Malaysia dapat dipulihkan melalui penubuhan koperasi – Felo Pelawat Kanan KRI

 

Sejak 30 tahun lepas, Malaysia dilaporkan telah mengimport 30% hingga 40% beras dari luar negara bagi kegunaan rakyat tempatan. Berdasarkan beberapa kajian yang telah dilakukan, situasi ini dijangkakan akan berterusan dan Malaysia akan tetap menjadi pengimport bersih (net importer) komoditi beras dalam tahun-tahun yang akan mendatang.

 

Sebagai rekod, Asia Tenggara merupakan tunjang utama kepada ekonomi beras global di mana 16 juta tan metrik yang bersamaan dengan 40% eksport beras dunia datangnya dari rantau ini. Dua negara pengimport utama di Asia Tenggara ini ialah Thailand dengan jumlah eksport beras sekitar 9.8 juta tan metrik dan Vietnam dengan 5.2 juta tan metrik.

 

Manakala Malaysia dan Indonesia pula dikategorikan sebagai negara pengimport beras dengan jumlah import sebanyak 821 ribu tan metrik (Malaysia) dan 1.2 juta tan metrik (Indonesia).

 

Kredit: StarBiz

 

Sebelum ini, kerajaan di bawah Barisan Nasional telah meletakkan sasaran untuk mencapai 100% self-sufficiency level (SSL) penghasilan beras menjelang tahun 2020 yang membawa maksud jumlah beras yang dihasilkan berada pada paras yang sama dengan jumlah kegunaan rakyat Malaysia. Setakat ini, paras SSL beras di Malaysia ialah pada kadar 70%.

 

Memandangkan kita akan memasuki tahun 2020 hanya beberapa bulan sahaja lagi, adakah sasaran ini akan berjaya dicapai? Melalui laporan ‘Status Industri Padi dan Beras di Malaysia’ yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute (KRI), walaupun taraf SSL ini tidak berjaya dicapai tetapi ia tidaklah menjadi satu perkara yang perlu dibimbangkan.

 

Berdasarkan statistik dan geografi, terdapat ramai rakyat Malaysia masih mengutamakan beras premium yang diimport dari luar negara. Jadi, KRI berpendapat adalah lebih baik kerajaan tidak meletakkan sasaran 100% SSL sebaliknya lebih fokus kepada membantu pesawah untuk mencapai hasil pendapatan yang lebih mampan.

 

Kredit: StarBiz

 

Daripada 14 juta jumlah pekerja di Malaysia, 1.6 juta daripadanya adalah pekerja dalam sektor agrikultur, perhutanan dan perikanan. Daripada 1.6 juta pekerja ini pula, 200 ribu adalah pesawah yang rata-rata berumur sekitar 50 tahun dan ke atas. Apa yang membimbangkan sebenarnya ialah jumlah pendapatan isi rumah pesawah ini dilaporkan berjumlah RM2,527 yang sekaligus meletakkan mereka berada dalam kelompok B40.

 

Walaupun pelbagai subsidi dan sokongan telah diberi oleh kerajaan kepada industri padi ini, namun pesawah hari ini dilihat masih berdepan dengan masalah kemiskinan. Apakah solusi terbaik supaya kepentingan 200 ribu pesawah ini dapat dijaga?

 

Ketua Penyelidik bagi laporan ini, Dr Sarena Che Omar menyatakan pengurusan ladang berdasarkan hasil ‘menang-menang’ antara pesawah dan pengilang serta penggunaan teknologi boleh membantu untuk menyelesaikan masalah kemiskinan pesawah hari ini.

 

Beliau telah mencadangkan supaya model pertanian kontrak dan teknologi blockchain diperluaskan ke dalam industri padi. Selain itu, beliau turut menyatakan harapan supaya industri padi ini dapat disertai oleh lebih ramai pembiak baka daripada sektor swasta serta universiti dan tidak seharusnya bergantung kepada Institusi Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) sahaja.

 

Salah satu perkara yang menjadi fokus utama dalam laporan KRI ini adalah berkenaan masalah pengeluaran padi di Malaysia yang dikatakan tidak mempunyai kepelbagaian (variety) yang baru. Situasi ini dilihat telah menyebabkan Malaysia agak terkebelakang berbanding negara-negara pengeluar beras yang lain.

 

“Justeru, penyertaan pembiak baka daripada sektor swasta dan universiti perlu digalakkan bagi membantu mempercepatkan proses pengeluaran varieti baharu,” ujar Dr Sarena.

 

Selain itu, Felo Pelawat Kanan KRI, Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed berpendapat kedudukan ekonomi pesawah di Malaysia dapat dipulihkan melalui penubuhan koperasi dan juga pelaksanaan pemasaran input secara terbuka.

 

Pada hari ini, jurang antara pesawah dengan pengilang dan pemborong telah menyebabkan pesawah akhirnya akur dengan keputusan yang ditetapkan pengilang dan pemborong. Jadi, untuk mengubah nasib petani ini, institusi ladang atau sawah boleh diperkasakan melalui penubuhan koperasi sesama sendiri supaya dana dapat dikumpul sebagai modal untuk membeli mesin, mendapatkan input juga bagi menguruskan pemasaran sendiri.

 

Pesawah di Malaysia seharusnya mengambil contoh dari negara luar seperti di Jepun dan Belanda di mana kilang pengeluaran padi di kedua-dua negara itu terdiri daripada kilang kecil yang dimiliki oleh pesawah sendiri. Di Korea pula, petani di negara itu berupaya untuk menubuhkan pasar raya mereka sendiri. Jika perkara ini dapat direalisasikan, pastinya ia akan membuka peluang baru untuk menjana sumber pendapatan yang lebih kepada pesawah di Malaysia.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…