fbpx

LHDN Tuntut RM1.5 Bilion Daripada Najib: Apa Yang Kita Perlu Tahu Tentang Cukai Individu?

Oleh : Syafiq Hanafi
09 April 2019 - 10:12 am

Reading Time: 3 minutes
  • LHDN mensyaratkan individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34 ribu (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
  • Jika anda ada menjalankan sesuatu perniagaan, maka pendapatan bersih anda daripada perniagaan berkenaan layak untuk dikenakan cukai

Awal bulan ini, negara dikejutkan dengan tuntutan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1.5 bilion.

 

Jumlah berkenaan adalah untuk tempoh dari 2011 hingga 2017 dan LHDN dilaporkan mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan berjumlah kira-kira RM4 bilion –  jumlah ini termasuk amaun RM2.6 bilion yang cukup kontroversi didakwa berada dalam akaun peribadi beliau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah ketika mengulas perkara ini memaklumkan – “Pembayaran secara sukarela mungkin berubah cirinya dan tertakluk dicukai jika ia diberikan secara berulang kali, sebagai pertimbangan bagi perkhidmatan diberikan, sebagai balasan bagi sebarang faedah dalam apa-apa bentuk atau jumlah digunakan dalam kegiatan perniagaan bagi membolehkan operasi perniagaan diteruskan.”

 

Jadi sebagai pembayar cukai pendapatan apa yang anda perlu tahu tentang cukai pendapatan individu? Apa pula jenis-jenis pendapatan yang memerlukan anda membayar cukai? Kami Di Kapital.My akan membantu anda melihat perkara ini.

 

Mulai tahun 2015, LHDN mensyaratkan individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34 ribu (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

 

Apakah pendapatan-pendapatan yang layak dikenakan cukai?

 

  1. Perolehan atau keuntungan daripada sesuatu perniagaan yang dijalankan – Jika anda ada menjalankan sesuatu perniagaan, maka pendapatan bersih anda daripada perniagaan berkenaan layak untuk dikenakan cukai.

 

  1. Perolehan atau keuntungan daripada sesuatu penggajian – Jika anda seorang yang makan gaji atau menjadi pengarah kepada mana-mana syarikat dan menerima bayaran untuk tugas yang anda jalankan itu, maka pendapatan daripada hasil penerimaan gaji atau bayaran itu layak dikenakan cukai. Pendapatan ini bukan sahaja gaji, tetapi turut meliputi bonus dan elaun.

 

  1. Dividen – Keuntungan melalui dividen yang diterima daripada saham syarikat atau unit amanah yang tidak dikecualikan cukai oleh kerajaan juga layak dikenakan cukai.

 

  1. Sewa dan Royalti – Pendapatan melalui sewaan bangunan, rumah atau harta lain yang diterima juga layak dikenakan cukai berdasarkan peraturan dan syarat tertentu. Royalti karya untuk penggubah lagu, penulis lirik, penulis buku dan sebagainya juga turut boleh dikenakan cukai berdasarkan kaedah yang ditetapkan.

 

Dalam pada jenis-jenis pendapatan yang telah diketahui boleh dikenakan cukai, ada juga di antara kita yang kurang pasti dengan pendapatan-pendapatan lain yang boleh dikenakan cukai. Antara yang sering terlepas pandang perkara ini ialah golongan peniaga dalam talian.

 

LHDN tidak pernah memberikan peruntukan khusus berkenaan layanan terhadap cukai pendapatan perniagaan dalam talian di Malaysia. LHDN melayani cukai pendapatan untuk perniagaan ini sama seperti cukai pendapatan perniagaan konvensional. Sehubungan itu, individu yang menjalankan perniagaan dalam talian tidak boleh terlepas daripada membayar cukai pendapatan mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan.

 

Di samping itu, pendapatan pencen juga boleh dikenakan cukai dan anda perlu berhati-hati jika anda bersara sebelum usia 55 tahun, maka pencen anda layak dikenakan cukai pendapatan sehingga anda berumur 55 tahun. Malah jika anda menerima lebih dari satu pencen, hanya jumlah pencen tertinggi sahaja yang dikecualikan daripada cukai.

 

Selain itu, jika anda merupakan kakitangan bukan kerajaan dan skim pencen anda tidak mendapat kelulusan LHDN, maka pendapatan pencen anda tidak terkecuali daripada dikenakan cukai. Adalah amat penting untuk anda memastikan skim pencen anda menerima kelulusan daripada LHDN.

 

Di negara kita kesalahan cukai yang sering dilakukan adalah mengelak daripada cukai dengan cara menipu jumlah pendapatan. Memberi maklumat salah secara sengaja tentang pendapatan kitab oleh dikenakan denda sehingga RM10 ribu termasuk tambahan mencecah 200% ke atas cukai yang dikenakan.

 

Lebih teruk daripada menipu pendapatan ialah mengelak secara seluruhnya daripada membayar cukai. Kesalahan seperti ini denda dan hukumannya lebih berat, malah pesalah boleh dihalang daripada keluar negara dan dikenakan denda sehingga RM20 ribu termasuk tambahan 300% kepada cukai yang anda elak itu.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 12-01
Kapital

Malaysia Rugi Lebih Besar Sekiranya ECRL Dibatalkan

Reading Time: 2 minutes Pada tahun 2018, China merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai sebanyak USD42.5 bilion Penerusan projek ECRL dilihat…

Featured Image 22-01

Aplikasi Teknologi 5G

Reading Time: 2 minutes Teknologi 5G menjanjikan kadar latensi bermula serendah 1 ms Dianggarkan 5G boleh mencapai kelajuan melebihi 1 Gigabits sesaat…

Featured Image 19-01

ONE Championship Bakal Setanding UFC

Reading Time: 3 minutes Pada tahun 2018, nilai One Championship dilaporkan bernilai lebih daripada USD1 bilion Jumlah tontonan video One Championship di…

Featured Image 20-01

30%-40% Bekalan Beras Malaysia Diimport Daripada Luar Negara

Reading Time: 2 minutes Industri beras hanya menyumbang 2.3% sahaja kepada Keluaran Kasar Dalam Negara 74.1% daripada penghasilan beras dalam negara adalah…