fbpx

Malaysia Negara ‘Tong Sampah’

Oleh : Wan Syarafiz
10 April 2019 - 5:04 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Hampir 50% sisa plastik dihasilkan di Amerika Syarikat telah dihantar ke Malaysia bagi tujuan pelupusan
  • Industri kitar semula plastik boleh memberikan hasil pendapatan sekitar RM3.5 bilion kepada negara

 

Sejak China mengharamkan import sisa buangan bermula awal tahun 2018, Malaysia telah menjadi destinasi utama bagi melupuskan sisa buangan dari seluruh dunia. Banyak kilang telah dibuka di Malaysia untuk mengendalikan sisa buangan ini tetapi kebanyakannya beroperasi secara haram tanpa sebarang lesen. Kilang-kilang ini dilaporkan menggunakan alatan berteknologi rendah serta prosedur pelupusan yang berbahaya.

 

Selama 25 tahun China telah menjadi destinasi nombor satu dunia dengan 45% sisa buangan dari seluruh dunia akan dihantar ke negara tembok besar itu namun, semuanya berubah apabila China memutuskan tidak akan lagi mengimport sisa plastik utama (major plastic waste) kerana mengambil berat masalah alam sekitar. Perkembangan ini seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pengimport terbesar sisa plastik di dunia.

 

Berdasarkan data yang telah dikeluarkan oleh Greenpeace, nilai import sisa plastik ke Malaysia dilaporkan berjumlah sebanyak 626,328 tan metrik dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Julai 2018. Amerika Syarikat berada di kedudukan pertama dengan sisa plastik yang dihantar ke Malaysia berjumlah sebanyak 195,444 tan metrik. Jepun pula berada di kedudukan kedua dengan jumlah 104,920 tan metrik dan diikuti oleh United Kingdom (95,249 tan metrik).

 

Untuk pengetahuan umum, sisa plastik yang dihantar dari Amerika Syarikat ke Malaysia ini adalah mewakili hampir 50% daripada keseluruhan sisa plastik yang dihasilkan di negara tersebut. Manakala baki 50% lagi dihantar ke negara-negara lain seperti Hong Kong, India, Thailand dan Vietnam.

 

Kredit: The Edge

 

Melihat kepada data dan statistik ini, ia sudah pasti perkara yang agak membimbangkan ramai pihak memandangkan kebanyakan sisa buangan di Malaysia tidak dilupuskan mengikut saluran dan prosedur yang betul. Adakah Malaysia hanyalah negara ‘tong sampah’ yang menjadi tapak pelupusan kepada sampah-sampah dari seluruh dunia?

 

Lihat sahaja di sekitar kawasan Zon Perindustrian Pulau Indah. Di sana anda boleh lihat banyak tapak kitar semula yang tidak mempunyai papan tanda dan nama syarikat. Sedangkan menurut data daripada kerajaan, hanya dua kilang di kawasan tersebut yang mempunyai lesen untuk mengimport sisa buangan plastik. Adakah kebanyakan kilang ini beroperasi secara haram?

 

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh pihak Reuters, terdapat lapan kilang yang beroperasi secara haram di kawasan perindustrian terbabit dan melakukan pembakaran secara terbuka terutamanya sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula. Di Kuala Langat pula, pihak berkuasa telah mengenal pasti 41 kilang telah beroperasi secara haram yang mana rata-rata kilang ini dikawal selia oleh syarikat dari China. Sebanyak 30 daripada kilang ini telah ditutup oleh pihak berkuasa kerana menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan masalah pembakaran terbuka dan juga masalah komplikasi kesihatan.

 

Menerusi satu pemeriksaan yang dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terhadap 114 kilang yang mendapat kelulusan mengimport sisa plastik, hanya lapan sahaja yang betul-betul memenuhi syarat ditetapkan untuk beroperasi. Susulan daripada itu, pihak KPKT telah bertindak untuk menghentikan pemberian permit import (AP) sisa plastik bagi tempoh tiga bulan bermula daripada 23 Julai 2018.

 

Tidak dinafikan industri pengitaran semula plastik adalah satu industri yang boleh mendatangkan pulangan yang lumayan kepada negara. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin menganggarkan industri pengitaran semula plastik ini boleh memberikan hasil pendapatan sekitar RM3.5 bilion kepada negara. Namun adakah Malaysia sanggup mengorbankan kesihatan alam sekitar semata-mata tidak mahu melepaskan peluang ini?

 

Setakat ini, masih tiada cadangan dibuat bagi mengubah Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara sebaliknya Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin menyatakan komitmen untuk meningkatkan dan memperketatkan syarat permohonan AP bagi sisa plastik. Dalam masa yang sama, KPKT juga akan meningkatkan penguatkuasaan serta mengadakan pemantauan rapi terhadap kilang yang beroperasi seluruh negara. Kepada mana-mana kilang yang mahu membuat permohonan lesen memproses plastik, mereka perlulah mendapatkan kelulusan AP dengan 18 syarat baru perlu dipenuhi terlebih dahulu.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…