fbpx

Tukar Sampah Kepada Pendapatan Negara, Nilai Mampu Mencecah RM30 Bilion

Oleh : Kapital
23 April 2019 - 3:54 pm

Reading Time: 2 minutes
  • Kerajaan mahu membangunkan tapak sisa buangan berpusat khusus bagi mengendalikan proses kitar semula plastik
  • Hanya 8 daripada 114 kilang import sisa plastik memenuhi syarat ditetapkan untuk beroperasi

 

Malaysia bakal mempunyai kawasan spesifik yang mengumpulkan kesemua kilang kitar semula dalam satu tempat. Ini adalah visi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang bertekad untuk mengubah pengurusan industri sisa buangan serta dalam masa yang sama untuk menambahkan pendapatan negara.

 

Dalam usaha mencapai visi ini, Zuraida telah memberikan idea untuk mengurus sisa plastik dan menjadikannya sebagai pendapatan negara. Salah satu idea yang diutarakan beliau ialah untuk membangunkan tapak sisa buangan berpusat khusus bagi mengendalikan proses kitar semula plastik. Melalui cara ini, pemantauan terhadap pengurusan sisa buangan adalah lebih fokus dan memudahkan. Sekiranya terdapat kilang kitar semula plastik beroperasi di luar kawasan yang ditetapkan ini, ianya dianggap sebagai kilang yang beroperasi secara haram.

 

Sebelum ini kecoh berkenaan isu kilang pelupusan sampah di Malaysia yang mana kebanyakannya beroperasi secara haram. Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh pihak Reuters, terdapat lapan kilang yang beroperasi secara haram di Zon Perindustrian Pulau Indah dan melakukan pembakaran secara terbuka terutamanya sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula. Di Kuala Langat pula, pihak berkuasa telah mengenal pasti 41 kilang telah beroperasi secara haram yang mana rata-rata kilang ini dikawal selia oleh syarikat dari China.

 

Menerusi satu pemeriksaan yang dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terhadap 114 kilang yang mendapat kelulusan mengimport sisa plastik, hanya lapan sahaja yang betul-betul memenuhi syarat ditetapkan untuk beroperasi. Susulan daripada itu, pihak KPKT telah bertindak untuk menghentikan pemberian permit import (AP) sisa plastik bagi tempoh tiga bulan bermula daripada 23 Julai 2018.

 

Malaysia telah menjadi destinasi pilihan utama bagi pelupusan sisa buangan dari seluruh dunia dengan nilai import sisa plastik ke Malaysia dilaporkan berjumlah sebanyak 626,328 tan metrik dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Julai 2018. Amerika Syarikat berada di kedudukan pertama dengan sisa plastik yang dihantar ke Malaysia berjumlah sebanyak 195,444 tan metrik. Jepun pula berada di kedudukan kedua dengan jumlah 104,920 tan metrik dan diikuti oleh United Kingdom (95,249 tan metrik).

 

Sebagai rekod, Amerika Syarikat telah menghantar 50% sisa plastik yang dihasilkannya ke Malaysia bagi tujuan kitar semula dan pelupusan. Kerajaan hari ini dilihat seolah-olah dalam keadaan tersepit kerana hasil pendapatan yang mampu diraih negara melalui sektor ini adalah bernilai berbilion ringgit. Namun dalam masa yang sama, kerajaan juga harus memikirkan impak terhadap alam sekitar sekiranya cara dan prosedur pelupusan sampah ini tidak dibuat melalui saluran yang betul. Ianya bukan sahaja akan menyebabkan alam sekitar semakin terjejas malahan penduduk setempat yang tinggal berhampiran dengan tapak pembakaran sampah sarap juga berisiko besar untuk mengalami komplikasi kesihatan.

 

Setakat ini, Zuraida menyatakan beberapa negeri akan mempunyai tapak sisa buangan berpusatnya sendiri. Namun ada beberapa negeri juga berkemungkinan akan berkongsi seperti Kedah, Perlis dan Penang yang mana tapak sisa buangan akan dibangunkan di Kulim. Lesen kepada import plastik bersih akan dikeluarkan oleh kerajaan dan plastik ini akan dikitar semula sebagai resin dan palet yang kemudiannya akan dieksport untuk dijadikan sebagai barangan pengguna. Nilai yang dijangkakan bakal diperoleh kerajaan daripada sektor ini berjumlah sebanyak RM30 bilion.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Malaysia-Postpaid-Telco-Logos
Kapital

Celcom-Digi Bergabung, Pengguna Untung Atau Rugi?

Reading Time: 3 minutes Apakah anda rasa penggabungan Celcom dengan Digi akan memberi faedah kepada rakyat? Ok, anda yang tidak menggunakan kedua-dua…

Axiata
Kapital

Hati Hati Dengan Gergasi Telekomunikasi

Reading Time: 2 minutes Baru-baru ini telah diumumkan bahawa Axiata dan syarikat telekomunikasi dari Norway, Telenor sedang menjalankan perbincangan bagi menggabungkan aset-aset…

Featured Image 14-01
Kapital

Pelan Mega USD412 Bilion Pembinaan Negara Indonesia

Reading Time: 2 minutes 40% daripada dana akan disalurkan oleh pihak kerajaan persekutuan manakala 25% lagi disumbangkan melalui syarikat milik kerajaan negeri…

Featured Image 13-01

Malaysia Bakal Hantar Pekerja Berkemahiran Ke Jepun

Reading Time: 2 minutes Memorandum kerjasama dijangka ditandatangani Julai Potensi sehingga 50 ribu peluang pekerjaan Malaysia kini sedang mengadakan rundingan dengan Jepun…