fbpx

Universe Ganti Empayar

Oleh : Syafiq Hanafi
24 April 2019 - 9:20 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Kutipan Melebihi USD5 bilion untuk tiga francais Avengers
  • Ada panggung di Malaysia menayangkan Endgame sehingga 40 sesi sehari

Seluruh negara kecoh dengan sambutan hangat peminat Marvel Cinematic Universe (MCU) terhadap Avengers: Endgame, francais terakhir siri filem Avengers yang mula ditayangkan pada hari ini. Seperti yang kita tahu, francais filem aksi adiwira ini bermula dengan siri The Avengers pada tahun 2012, diikuti Avengers: Age of Ultron (2015) dan Avengers: Infinity War (2018).

 

Menghimpunkan seluruh karakter adiwira terkemuka dari komik-komik utama Marvel, sudah tentu setiap filem dalam francais Avengers ini akan menerima sambutan hangat. Malah kutipannya juga begitu menguntungkan. Angka USD1 bilion adalah jumlah kutipan yang biasa buat semua filem-filem Avengers.

 

The Avengers (2012) dibikin dengan kos USD220 juta, tetapi mampu menjana kutipan USD1.519 bilion hasil tayangan di seluruh dunia. Begitu juga Avengers: Age of Ultron (2015) melalui kos USD250 juta ia mampu mendapatkan pulangan melalui kutipan tiket berjumlah USD1.405 bilion.  Avengers: Infinity War (2018) nampaknya lebih hebat, dengan kos sekitar USD300 juta, ia memberikan pulangan mencecah USD2.048 bilion.

 

Begitulah besarnya ekonomi dunia Avengers dan sudah tentu Avengers: Endgame bakal mencatatkan kegilaan luar biasa. Lihat sahaja dengan sambutan di Malaysia. Malah panggung-panggung utama juga menayangkan filem ini seawal jam 7 pagi sehingga paling lewat tayangan tengah malam sekitar 1 pagi. Malah ada panggung di Malaysia menayangkan filem ini sehingga 40 sesi sehari!

 

Namun segala-gala yang bermula pasti akan menemui penamatnya. Begitulah juga dengan 12 tahun karakter-karakter Marvel disajikan dalam kira-kira 20 filem. Kini apakah selepas Endgame, segala-galanya akan berakhir. Sudah tentu ia tidak semudah itu. Marvel kini dalam proses membentuk sesuatu yang baru, jadi untuk menamatkan apa yang yang telah berlangsung sejak 12 tahun lalu, Endgame mungkin penamat terbaik untuk itu.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa Avengers ialah francais filem paling menguntungkan pernah dibikin dan bagaimana agaknya rupa filem-filem pasca Endgame ini? Atau adakah ia cuma satu gimik dan kita bakal melihat adanya yang sama selepas ini?

 

Ini merupakan antara persoalan-persoalan yang bermain di minda peminat MCU dalam melihat bagaimana hayat francais filem yang hebat ini.

 

Presiden Marvel Studios, Kevin Feige dalam satu temubual dengan akhbar New York Times menyebut bahawa menceritakan kisah yang hebat sudah tentu memerlukan penamat yang juga hebat.

 

Feige memberi jaminan, selepas selesai francais Avengers ini, pihak Marvel tidak akan berhenti, sebaliknya akan terus menghasilkan lebih banyak filem dengan menggunakan karakter-karakter yang wujud dalam Avengers. Namun apa yang pasti akan ada karakter-karakter baharu yang akan ditonjolkan.

 

Seperti diketahui Disney yang kini memiliki Marvel dalam proses untuk menguasai saham Fox dan jika ini terjadi, kemungkinan besar kita akan dapat melihat wajah-wajah X-Men dan Fantastic Four pula muncul untuk disatukan dengan adiwira yang sudah terkenal di dalam MCU. Namun masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang itu. Pihak Fox kini memegang hak perfileman untuk karakter-karakter berkenaan.

 

Namun kejayaan Marvel bukanlah datang dengan mudah. Mereka membina reputasi besar dalam bidang penerbitan komik bermula dari tahun 1960an namun bermula tahun 1993 hingga 1996, perniagaan komik merudum teruk dan ini menyaksikan Marvel turut merasai kesannya yang menyebabkan nilai saham dan prestasi kewangan mereka merosot. Saham yang satu ketika mencecah nilai USD35.75 menjadi USD2.375.

 

Kebangkitan semula Marvel mula tercetus apabila mereka melibatkan diri dalam perniagaan filem. Sesuatu yang cuba dilakukan sejak tahun 1980an. Penglibatan Marvel dalam industri filem menjadi titik terpenting buat mereka. Bermula dengan Blade (1998) yang mengutip sekitar USD131 juta, namun X-Men (2000) berjaya mendapat sambutan hangat dan mencatat kutipan USD296 juta dan Spider-Man (2002) menjadi detik terpenting kejayaan Marvel apabila mencapai kutipan mencecah USD800 juta.

 

Pihak Marvel mula terfikir untuk mendapat keuntungan lebih besar dengan menghasilkan sendiri filem mereka tanpa penglibatan pihak produksi lain. Idea ini menjadi kenyataan apabila pada tahun 2005, Marvel berjaya menjalinkan kerjasama dengan firma kewangan Merill Lynch dan mereka diberikan dana mencecah USD525 juta dalam tempoh tujuh tahun.

 

Dengan termeterainya perjanjian berkenaan, Marvel berjaya mendapatkan semula hak terhadap karakter-karakter yang telah dijual beberapa tahun lalu semasa syarikat berkenaan berdepan masalah kewangan. Karakter-karakter berkenaan termasuklah Iron Man, Thor dan Hulk. Namun, ia bukanlah satu hal yang mudah kerana karakter-karakter ini boleh menjadi milik pihak Merrill Lynch jika Marvel gagal dalam mendapatkan pulangan melalui filem-filemnya.

 

Selepas itu terhasillah filem Iron Man (2008) yang menyaksikan Marvel tidak lagi menoleh ke belakang. Iron Man menjadi filem pertama yang dihasilkan Marvel secara sendiri dan kemudian sejak itu, Marvel muncul dengan formula-formula menguntungkan dan mula berkembang sehingga ke hari ini.

 

Pembelian oleh Disney kemudiannya pula menyaksikan Marvel kini melalui detik-detik paling gemilang dalam sejarah mereka.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Malaysia-Postpaid-Telco-Logos
Kapital

Celcom-Digi Bergabung, Pengguna Untung Atau Rugi?

Reading Time: 3 minutes Apakah anda rasa penggabungan Celcom dengan Digi akan memberi faedah kepada rakyat? Ok, anda yang tidak menggunakan kedua-dua…

Axiata
Kapital

Hati Hati Dengan Gergasi Telekomunikasi

Reading Time: 2 minutes Baru-baru ini telah diumumkan bahawa Axiata dan syarikat telekomunikasi dari Norway, Telenor sedang menjalankan perbincangan bagi menggabungkan aset-aset…

Featured Image 14-01
Kapital

Pelan Mega USD412 Bilion Pembinaan Negara Indonesia

Reading Time: 2 minutes 40% daripada dana akan disalurkan oleh pihak kerajaan persekutuan manakala 25% lagi disumbangkan melalui syarikat milik kerajaan negeri…

Featured Image 13-01

Malaysia Bakal Hantar Pekerja Berkemahiran Ke Jepun

Reading Time: 2 minutes Memorandum kerjasama dijangka ditandatangani Julai Potensi sehingga 50 ribu peluang pekerjaan Malaysia kini sedang mengadakan rundingan dengan Jepun…