3 Sebab Mengapa Jangkaan Ahli Ekonomi Sering Salah
Tugas seorang ahli ekonomi adalah membuat jangkaan ke mana hala tuju ekonomi seterusnya berdasarkan data-data semasa. Contohnya, ahli ekonomi akan meramalkan berapakah kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), adakah akan berkembang atau menguncup? berapa kadar pertumbuhannya?
Namun, ramalan-ramalan mereka kebanyakannya lari daripada ramalan asal, bahkan mungkin lari jauh daripada jangkaan asal mereka. Apakah punca kepada kesilapan mereka?
Monetary Authority of Singapore (MAS) baru-baru ini menyatakan cabaran-cabaran yang dihadapi ahli ekonomi dalam membuat jangkaan pertumbuhan KDNK atau menjangkakan bilakah akan berlakunya kemelesetan ekonomi.
Menurut MAS, ahli ekonomi gagal menjangkakan bilakah bermulanya kemelesetan atau pemulihan ekonomi tepat pada masanya, mereka juga gagal menjangkakan sejauh mana penurunan atau pengembangan ekonomi.
MAS menyenaraikan 3 sebab mengapa ahli ekonomi gagal membuat jangkaan.
Maklumat tidak mencukupi
Data-data ekonomi kebiasaannya keluar lebih lambat, misalnya anda mahu melihat kepada data bulan Mac, anda perlu tunggu sehingga tegah bulan April untuk memperolehi data tersebut. Jadi ada unsur ‘lagging’ yang menyukarkan ahli ekonomi untuk mendapatkan gambaran sebenar keadaan ekonomi semasa.
Selain itu, model makroekonomi direka untuk berfungsi dengan baik pada waktu-waktu biasa, namun gagal model ini gagal apabila berlakunya kemelesetan ekonomi.
Tingkah laku strategik
Kadang kala, setiap jangkaan atau ramalan yang dikeluarkan oleh ahli ekonomi adalah berdasarkan objektifnya tersendiri. Ahli ekonomi di Bank Pelaburan A sudah pasti akan mempamerkan data yang memenangkan produk-produk pelaburan mereka sahaja.
Selain itu, satu kajian mengatakan bahawa ahli ekonomi tidak berani untuk meramalkan sesuatu yang diluar norma dan kebiasaan industri. Hal ini kerana jika mereka silap, reputasi dan kredibiliti mereka akan tercalar. Oleh sebab itu, mereka lebih cenderung untuk mengeluarkan jangkaan yang sama seperti ahli-ahli ekonomi yang lain.
Tidak cukup pantas
Berdasarkan sebuah kajian ahli ekonomi Amerika, William Nordhaus, ahli ekonomi lambat dalam mengkaji semula jangkaan mereka berdasarkan maklumat-maklumat terkini. Menurut beliau, mereka juga sering ‘mencantikkan’ jangkaan mereka.
“ kita memecahkan berita baik atau buruk kepada diri kita secara perlahan-lahan, mengambil masa yang terlalu lama sehingga membolehkan kejutan dimasukkan ke dalam jangkaan kami” Tambah beliau.
Adakah ramalan dan jangkaan ahli ekonomi boleh dipercayai?