fbpx

Anthony Loke Harus Jadi Pendamai ‘perang saman’ MAHB-AirAsia

Oleh : Kapital
27 Mei 2019 - 3:53 pm

Reading Time: 3 minutes

Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian

 

SEKTOR pelancongan penting bagi Malaysia dan ia penyumbang ketiga paling besar kepada pendapatan negara, di belakang pembuatan dan komoditi.

 

Lebih-lebih lagi dalam ekonomi dunia yang tidak tentu halanya sekarang – ekoran ‘perang dagang’ Amerika Syarikat-China yang masih tidak nampak kesudahannya – sektor pelancongan terserlah penting dan mampu menjadi penyelamat ekonomi negara.

 

Justeru, Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2020 tidak boleh gagal dan perlu mengulangi kejayaan empat VMY sebelumnya.

 

Tahun lalu negara mencatatkan kedatangan pelancong 25.8 juta orang, lebih rendah daripada sasaran 26.4 juta. Bagi VMY2020, negara mensasarkan 30 juta pelancong yang diharapkan menghasilkan pendapatan RM100 bilion (berbanding RM84.1 bilion tahun lalu).

 

Kita yakin sasaran sederhana VMY2020 ini boleh dicapai, walaupun sektor pelancongan negara ini gagal mencapai sasaran kedatangan untuk lapan tahun berturut-turut pada 2018, ekoran kejatuhan 15 peratus pelawat dari Singapura (sumber terbesar kedatangan pelancong Malaysia).

 

Keyakinan ini disandarkan kepada peningkatan kedatangan pelawat tahun lalu dari China (naik 29 peratus), Indonesia (naik 17.2 peratus), Vietnam (naik 50.9 peratus), Korea Selatan (naik 27.3 peratus) dan lebih mengagumkan lonjakan 27.8 peratus dari Amerika Syarikat (AS) – walaupun pejabat Tourism Malaysia New York ditutup.

 

Namun, kita lihat satu perkembangan yang tidak sihat dalam industri penerbangan negara yang boleh menghancurkan impian VMY2020, lantas membantutkan pemulihan ekonomi negara.

 

Di sinilah kita mengharapkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, untuk tampil menunjukkan kepimpinannya bagi mendamaikan pihak bertelagah – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan syarikat penerbangan dominan negara, AirAsia.

 

Jejas sektor pelancongan

Kita tidak mahu membincangkan punca pertelagahan itu di sini, kerana ia sudah menjadi subjek beberapa kes saman menyaman antara kedua pihak. Cukuplah sekadar menyatakan ia berkisar kepada ketidakpuasan hati kedua-duanya terhadap satu sama lain yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

 

Bayangkan kalau satu daripada pihak bertelagah ini kalah dalam kes saman terbabit, apakah ia tidak menjejaskan pertumbuhan industri penerbangan negara yang juga berkait rapat dengan sektor pelancongan.

 

Bottom line atau tahap keuntungan masing-masing sudah tentu terjejas dan seterusnya kualiti perkhidmatan akan merosot.

 

Jika MAHB kalah, lapangan terbang yang menjadi pintu masuk utama pelancong akan tidak terurus dengan baik dan sebaliknya, jika AirAsia kalah syarikat penerbangan itu pula tidak mempunyai keupayaan untuk menambah penerbangan, mahupun mewujudkan destinasi pelancongan tempatan yang baharu. Semuanya ini akan menggagalkan VMY2020.

 

Saling memerlukan

Apa yang kita hairan, mengapakah kedua-dua pihak bertelagah ini tidak boleh duduk berbincang, lebih-lebih lagi kedua-duanya adalah syarikat tempatan dan berkongsi pemegang saham yang sama – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Apakah MAHB (pengendali lapangan terbang) dan AirAsia (pelanggan terbesar MAHB) selama ini tidak ada mekanisme untuk duduk berbincang.

 

Kita mahu tanya bilakah kali terakhir pengurusan kanan MAHB mengunjungi ibu pejabat pelanggan utamanya itu untuk bertanya khabar dan bilakah pula kali terakhir pengurusan AirAsia mengunjungi Ibu Pejabat MAHB?

 

Apa yang kita lihat adalah hanya kenyataan akhbar dan ciapan media sosial yang kandungannya tidak banyak membantu melegakan ketegangan.

 

Kedua-dua pihak ini perlu faham bahawa mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Ia bukan zero-sum game yang mana menang akan mengaut segala-galanya. Jauh daripada itu, sesiapa sahaja yang menang atau kalah akan menjejaskan perniagaan kedua-dua pihak.

 

Kita hairan juga apakah kedua-dua entiti perniagaan besar ini tidak mungkin berfikir sebagai usahawan, menjalin entrepreneur agreement yang mana mereka boleh berkongsi pertumbuhan masing-masing.

 

Misalnya, kalau pertumbuhan perniagaan AirAsia meningkat berikutan kesediaan MAHB mengurangkan caj perkhidmatannya di lapangan terbang tertentu – seperti Melaka, Kuala Terengganu dan Kota Kinabalu – mereka akan berkongsi hasilnya.

 

Kita percaya banyak lagi boleh dibuat jika kedua-dua pihak duduk semeja tanpa membawa dendam masing-masing.

 

Bagaimanapun, menunggu mereka dengan sendiri berdamai atau Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendamaikan pihak bertelagah ini, adalah seperti menantikan kucing bertanduk.

 

MAVCOM yang antara lain menjaga kepentingan konsumer – walaupun tidak mempunyai seorang pun wakil badan konsumer sebagai pesuruhjayanya – turut terbabit dalam kes semakan kehakiman dengan AirAsia.

 

Jadi, jatuhlah semua beban ini kepada Loke. Setakat ini, menteri setahun jagung itu, hanya menyatakan kesediaannya pada akhir tahun lalu untuk menjadi orang tengah, tetapi sehingga kini tidak berhasil membawa pihak bertelagah ini ke meja perbincangan.

 

Apakah Loke tidak cukup gagah untuk tugas ini? Apakah kita perlu campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Sudah tentu MAHB dan AirAsia malu alah dan perlu akur kepada permintaan Dr Mahathir.

 

Siapakah pengerusi MAHB, Tan Sri Zainun Ali, berbanding Dr Mahathir yang mencetus idea pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Subang ke Sepang pada 1993.

 

Dan siapakah Tan Sri Tony Fernandes, berbanding Dr Mahathir yang diakui Pengasas AirAsia itu sendiri sebagai pemberi restu kepada kewujudan industri penerbangan tambang murah di negara ini.

 

Apapun kita berharap ‘dendam lama’ MAHB-AirAsia akan cepat terkubur dan kedua-kedua entiti penting itu dapat saling bekerjasama membangunkan industri penerbangan negara, seterusnya menjayakan VMY2020 dan selanjutnya sektor pelancongan Malaysia.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…