BNM Turunkan OPR, Apa Kesannya Kepada Anda?
Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi yang pertama di Asia Tenggara untuk memotong kadar faedah utama tahun ini, dengan bertindak untuk menyokong ekonomi pada masa yang membimbangkan tentang pertumbuhan global.
Bank pusat itu menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman bank sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus.
“Ini konsisten dengan pendirian dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan yang stabil,” – BNM
Tahukah anda apa kesannya turun naik OPR ini? Sebelum itu, mari kita kenali dahulu apa itu OPR.
Dalam bahasa mudahnya, OPR (Overnight Policy Rate) adalah faedah yang dikenakan bagi pinjaman antara bank-bank. Anda jangan tak tahu bank turut meminjam antara satu sama lain.
Sebuah bank berfungsi sebagai peminjam wang dan mereka hanya akan menyimpan tunai dalam kadar minima dan selebihnya digunakan untuk memberi pinjaman kewangan.
Bila mana tunai yang disimpan sedikit, dan ramai pengguna bank mengeluarkan simpanan mereka secara mendadak dan menyebabkan kekurangan tunai pada bank, mereka akan meminjam dari bank lain dan dikenakan faedah.
OPR adalah salah satu faktor yang menentukan kadar faedah pinjaman kita. Kebiasaannya apabila anda meminjam daripada bank, struktur faedah adalah seperti berikut:
Kadar Asas (KA) + Kadar Keuntungan = Kadar Efektif
Contohnya: 3.5% + 0.9% = 4.4%
Jadi apabila OPR berubah sahaja, ia akan memberi kesan kepada kadar asas yang dikenakan. Jika OPR diturunkan, maka kadar asas juga akan menurun dan begitu juga sebaliknya. Dengan pengumuman terkini daripada BNM ini, kemungkinan besar kos bayaran bulanan hutang anda akan berkurang juga.
Namun harus diiingatkan bahawa hanya pinjaman yang menggunakan ‘floating interest’ sahaja yang akan turun. Contohnya, pinjaman perumahan dan pinjaman ASB sahaja.
Manakala pinjaman kereta yang telah diambil sebelum ini tidak turun kerana pinjaman kereta menggunakan kadar faedah tetap. Hanya pinjaman kereta baharu sahaja akan terkesan dan sedikit murah.
Bagi anda yang pernah membuat pinjaman pelajaran atau sedang membuat pinjaman pelajaran janganlah khawatir dan gundah gelana kerana pinjaman pelajaran tidak naik.
Hal ini kerana, pinjaman pelajaran merangkumi PTPTN dan MARA tiada kaitan dengan bank.
Secara amnya, apabila semua bayaran bulanan rakyat berkurang, rakyat akan mempunyai lebihan tunai untuk dibelanjakan yang mana ianya boleh meransang pertumbuhan ekonomi.