Kronologi Isu Taman Rimba Kiara
Kemelut pembinaan projek perumahan di Taman Rimba Kiara bermula sejak 2013 lagi dan masih lagi belum selesai sehingga kini. Pada 2013 sebuah projek perumahan berjumlah 350 unit rumah telah diluluskan kerajaan untuk dibina di LOT 55118, Mukim Kuala Lumpur dengan keluasan 12 ekar. 100 unit diberikan kepada penduduk estet pada harga RM25,000, 83 kepada keluarga estet pada RM150,000 dan baki 167 unit dijual pada harga pasaran.
Walaubagaimanapun projek ini tidak mendapat sambutan yang baik daripada penduduk sekitar yang mempertahankan keindahan flora dan fauna di Taman Rimba Kiara itu sendiri. Manakala kerajaan pula mahu membantu lebih kurang 100 keluarga estet memiliki rumah idaman mereka yang jauh lebih selesa berbanding rumah panjang yang didiami mereka lebih 36 tahun.
Berikut merupakan kronologi isu pembangunan Taman Rimba Kiara.
Jun 2016
Papan tanda pembinaan pembinaan sembilan blok pangsapuri yang diletakkan di Taman Rimba Kiara telah mengejutkan penduduk TTDI. Projek ini adalah bagi memenuhi janji DBKL kepada warga estet yang tinggal disitu untuk menyediakan perumahan mampu milik.
Seterusnya bantahan dihantar oleh penduduk TTDI kepada DBKL kerana bimbang pembangunan ini bakal merosakkan flora dan fauna di Taman Rimba Kiara

Ogos 2016
Mendengar rintihan penduduk, DBKL kemudiannya bersidang bersama penduduk bagi mendengar keluhan mereka. Menurut penduduk, DBKL telah melanggar Kaedah 5(8) Kaedah-Kaedah Perancangan.
Ogos 2017
Setelah hampir setahun tiada maklum balas daripada DBKL, penduduk TTDI mengambil keputusan untuk mencabar keputusan ahli majlis DBKL yang meluluskan projek tersebut di mahkamah.
Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada pemohon untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang memberi kebenaran berhubung cadangan pembangunan di kawasan Taman Rimba Kiara.
Nov 2017
Salah seorang pemimpin pembangkang ketika itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng telah melancarkan laporan kepada MACC bagi menyiasat jika ada sebarang salah laku berkaitan penukaran hak milik 12-ekar tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan
Dis 2017
Keputusannya, Mahkamah Tinggi membenarkan pembinaan projek diteruskan oleh Memang Perkasa Sdn Bhd dan menolak permintaan penduduk. Mahkamah meminta penduduk membayar RM40,000 kepada DBKL.
Mei 2018
Setelah kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pula melancarkan laporan kepada MACC bagi menyiasat jika ada sebarang salah laku berkaitan penukaran hak milik 12-ekar tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan.
Nov 2018
Dalam menyelesaikan isu ini, Menteri Wilayah, Khalid Samad berharap dapat mencapai jalan tengah kerana sekiranya projek ini dibatalkan, DBKL mungkin terpaksa menanggung pampasan antara RM177 juta ke RM500 juta.
Sebuah jawatankuasa bersama ditubuhkan dianggotai oleh Hannah Yeoh, Khalid Samad, Datuk Bandar Kuala Lumpur, persatuan penduduk TTDI, pertubuhan penduduk perumahan awam Bukit Kiara Kuala Lumpur, persatuan penduduk rumah panjang Bukit Kiara Kuala Lumpur, kawasan rukun tetangga perumahan awam Bukit Kiara dan juga pihak pemaju Memang Perkasa Sdn. Bhd
Mar 2019
Setelah sekian lama menanti, penduduk rumah panjang Bukit Kiara menggesa kerajaan jangan berlengah lagi kerana mereka telah menunggunya bagi tempoh 36 tahun.
April 2019
Setelah menilai beberapa perkara, Khalid mengumumkan projek ini akan dikurangkan keluasannya daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar sahaja yang mana ianya adalah solusi menang-menang menurutnya. Kertas cadangan baru ini akan dibentangkan di kabinet bagi mendapatkan kelulusan.
Sementara itu, MACC belum lagi memberi sebarang maklum balas terhadap laporan MACC dibuat oleh Hannah dan Lim.
Mei 2019
Hannah yang berada di pihak penduduk TTDI menyoal sama ada Khalid sudah berbincang dengan AG berkaitan hal ini kerana projek ini melibatkan dana awam bagi menampung pampasan sekiranya projek dibatalkan.
Hannah dan Khalid terus berbeza pendapat mengenai projek ini, Hannah berada di pihak penduduk manakala Khalid mahu projek ini diteruskan. Khalid kecewa kerana Hannah gagal untuk membincangkan isu ini terus dengannya sebaliknya bercakap dengan media.
Hannah tidak mahu projek ini diteruskan lansung manakala Khalid telah menyediakan solusi menang-menang kepada penduduk TDDI dan penduduk rumah panjang Bukit Kiara.