Malaysia Negara Terbaik Bagi Pelancongan Persaraan Di Asean
- Seramai 35,800 orang telah menyertai MM2H yang mana telah menyumbang lebih RM13 bilion kepada ekonomi negara
- 1 juta pelancong perubatan dicatatkan pada 2017
Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) dan perkampungan persaraaan telah melonjakkan Malaysia dalam kategori perlancongan persaraan berbanding negara Asia Tenggara yang lain.
Menurut Ahli Ekonomi Maybank Kim Eng Holdings Ltd, Dr Chua Hak Bin, langkah dan inisiatif seperti MM2H telah memudahkan warga asing memperolehi visa bagi tempoh masa yang panjang di Malaysia, namun Malaysia masih ketinggalan dari sudut ketibaan pelancong asing.
“Dari segi pelancongan persaraan, Malaysia berada pada kedudukan yang sangat baik. Malahan, ia adalah yang terbaik di Asean. MM2H dan perkampungan persaraan dilihat mendapat permintaan yang tinggi daripada orang luar” tambah beliau.
Setakat Ogos 2017, seramai 35,800 orang menyertai MM2H yang mana telah menyumbang lebih RM13 bilion kepada ekonomi negara. Pulau Pinang merupakan salah satu destinasi pilihan yang dicadangkan oleh International Living Magazine yang mana meletakkan Malaysia di antara lima negara terbaik bagi destinasi persaraan di seluruh dunia.
Perkampungan persaaraan seperti Eden-on-the-Park di Kuching, Sarawak, dan The Green Leaf di Sepang, Selangor juga kini mula mendapat perhatian dan permintaan daripada orang asing.
Walaupun dengan segala keunikan ini, bilangan pelancong ke Malaysia tetap jatuh tahun lalu sebanyak 0.4%. Tetapi kejatuhan ini dipercayai berpunca daripada kejatuhan ketibaan pelancong daripada Singapura lantaran masalah kelambatan proses kemasukan di sempadan.
Secara keseluruhannya, sektor pelancongan terus menjadi antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menyumbang 14.9% pada 2017 berbanding 10.4% pada 2005.
Selain daripada pelancongan persaraan, pelancongan perubatan juga semakin mendapat perhatian di Malaysia dengan catatan lebih kurang 1 juta pelancong perubatan pada 2017. Kebanyakannya adalah daripada Indonesia, Myanmar, Vietnam dan China.
Resit pelancongan bagi kategori perubatan pada tahun lalu mencatatkan peningkatan kepada RM1.5 bilion, 40% daripadanya datang daripada Pulau Pinang.
Peningkatan jumlah pelancong beberapa tahun kebelakang turut disumbang oleh peningkatan jumlah pelancong daripada China. Pelancong China kini mula beralih daripada Amerika Syarikat ke negara Asean seperti Singapura dan Thailand.
Menurut Chua, antara negara lain yang berpotensi menjadi penyumbang utama bagi sektor pelancongan adalah India. Buat masa ini, kadar penembusan passport di India (5%) dan China (9%) masih lagi berada pada tahap yang rendah berbanding negara maju seperti AS (42%) dan UK (76%). Potensinya masih lagi besar di masa hadapan.