fbpx

Perang Dagangan: ‘Senjata Rahsia’ China Bakal Beri Tekanan Kepada Amerika Syarikat

Oleh : Kapital
28 Mei 2019 - 10:32 am

Reading Time: 2 minutes
  • 81% hasil nadir bumi di seluruh dunia pada tahun 2017 adalah dihasilkan di China
  • Dalam tempoh 2014 hingga 2017, China membekalkan 80% daripada keseluruhan nadir bumi di Amerika Syarikat

 

Ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dan China dilihat semakin memuncak dengan Beijing kini dikhabarkan akan menggunakan kedudukan mereka sebagai pembekal nadir bumi (rare earth) utama dunia untuk dijadikan kelebihan dalam perang dagangan antara dua kuasa besar itu.

 

Buat mereka yang kurang mengenali apa itu nadir bumi, ia adalah hasil galian yang mempunyai unsur logam serta mempunyai sifat konduktif elektrik yang tinggi. Ia kebiasaannya ditemui bersama mineral-mineral lain seperti plumbum, kuprum dan emas. Sebagai contoh di Malaysia, nadir bumi ini selalunya dijumpai semasa aktiviti perlombongan bijih timah.

 

Nadir bumi ini banyak digunakan bagi pembuatan motor kereta elektrik, enjin pesawat tempur, satelit, fiber optik serta laser. Malahan, banyak produk-produk elektronik yang berkait rapat dengan pengguna seperti TV serta smartphone juga menggunakan nadir bumi. Pendek kata, hasil galian nadir bumi ini adalah sangat penting.

 

Apa yang membuatkan nadir bumi ini lagi penting ialah kos penggalian atau perlombongan untuk mendapatkannya adalah sangat tinggi. Proses untuk membersihkan nadir bumi ini juga adalah sangat rumit. Di sinilah terletaknya kelebihan China kerana mempunyai kemudahan pemprosesan terbesar di dunia bagi hasil nadir bumi ini.

 

Menurut data daripada U.S. Geological Survey, 81% hasil nadir bumi di seluruh dunia pada tahun 2017 adalah dihasilkan di China. Dalam masa yang sama, China turut membekalkan 80% daripada keseluruhan nadir bumi di Amerika Syarikat dalam tempoh 2014 hingga 2017. Amerika Syarikat dilaporkan mempunyai satu lombong nadir bumi di Mountain Pass, California, namun hasil-hasil ini tetap perlu dihantar ke China bagi tujuan pemprosesan. China telah bertindak mengenakan tariff 25% kepada nadir bumi yang diimport ke negaranya ketika perang dagangan ini berlaku.

 

Daripada sudut pertahanan negara, terdapat beberapa mineral nadir bumi yang sukar didapati tetapi sangat penting bagi pembuatan peralatan ketenteraan seperti enjin jet, sistem peluru berpandu dan satelit. Permintaan yang diperlukan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat terhadap nadir bumi ini adalah bersamaan dengan 9% keseluruhan permintaan global. Berdasarkan kepada situasi ini, kita dapat lihat tahap kebergantungan Amerika Syarikat kepada China dalam mendapatkan hasil galian nadir bumi ini adalah sangat tinggi.

 

Beberapa syarikat pembuat peluru berpandu di Amerika Syarikat seperti Raytheon Co, Lockheed Martin Corp dan BAE Systems setakat ini dilaporkan masih enggan memberikan sebarang komen mengenai ketegangan perang dagangan ini.

 

Walaupun Amerika Syarikat dikatakan masih mempunyai pilihan lain seperti mengimport nadir bumi dari negara-negara lain atau mengitar semula produk-produk untuk mendapatkan nadir bumi ini, namun ia jelas dilihat masih belum mencukupi. Hal ini kerana, hasil nadir bumi yang dikeluarkan negara-negara selain China adalah sangat rendah jumlahnya. Selain itu, proses kitar semula juga tidak lah semudah yang disangka kerana jumlah nadir bumi yang akan didapatkan melalui proses kitar semula ini bukanlah 100% seperti jumlah asal. Apple Inc juga pernah menyatakan barangan mereka seperti speaker dan kamera menggunakan nadir bumi dalam jumlah yang sangat kecil sehingga menyebabkan ia tidak boleh didapatkan kembali walaupun telah dikitar semula.

 

Dengan apa yang baru sahaja terjadi kepada Huawei, Amerika Syarikat dilihat tidak henti-henti memberi tekanan kepada China dan terus akan berbuat demikian. Maka sudah pasti dengan kelebihan yang dimiliki China melalui hasil galian nadir bumi ini akan digunakan mereka sebagai ‘senjata rahsia’ untuk memberi tekanan kembali kepada Amerika Syarikat.

 

Sumber: Reuters

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…