fbpx

PR1MA Mungkin Dimansuhkan?

Oleh : Syafiq Hanafi
03 Mei 2019 - 5:06 pm

Reading Time: 2 minutes
  • 10,000 unit rumah PR1MA telah ditempah pada nilai RM2.3 bilion
  • Lebih 80 peratus rumah PR1MA berharga di bawah RM300,000

Agensi perumahan awam, Perbadanan PR1MA Malaysia kemungkinan besar akan dimansuhkan dan segala-galanya bergantung kepada pelan penting untuk memastikannya mampu bertahan dan menjana hasil yang positif.

 

Pelan strategik ini akan membantu PR1MA untuk bertahan dalam bermacam obligasi kontrak yang dilaluinya dan badan ini kini dalam keadaan genting untuk terus kekal kompetitif dalam keadaan pasaran hartanah yang merudum.

 

“Kami sedang berusaha sebaik mungkin bagi memastikan semua kontrak yang ada dapat dipatuhi. Pasaran kini sedang merudum dan kami perlu membayar kontraktor. Pada masa kini, pasaran sedang berlawanan dengan kami,” kata Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen Lok Loi.

 

Pelan strategik dan penilaian semula ke atas model perniagaan PR1MA dijangka disiapkan pada penghujung bulan ini.

 

Menurut Chen lagi, model perniagaan PR1MA dipacu dengan bilangan rumah yang dibina. PR1MA perlu membina rumah dalam kuantiti yang banyak namun, jumlah tanah yang ada sangat terhad.

 

“Nasib PR1MA sangat bergantung kepada keupayaannya untuk mencatatkan keuntungan,” kata beliau lagi.

 

Malah menurut Chen lagi, banyak rumah yang dibina oleh PR1MA adalah di kawasan-kawasan yang boleh dipersoalkan.

 

Beliau juga melihat model perniagaan yang ada pada PR1MA sekarang sebagai model yang salah.

 

“Kami menandatangani kontrak dengan pihak kedua dan kami membeli tanah daripada mereka. Kami perlu membayar keseluruhan kontrak tanpa mengira soal jualan,” katanya.

 

Menurut Chen, PR1MA dipertanggungjawabkan untuk membina rumah dan kemudian menjualnya. Namun, terdapat kekangan untuk menjual rumah-rumah yang telah dibina.

 

“Di kawasan yang baik, tidak jadi masalah untuk menjual rumah. Namun apabila kami membina rumah di kawasan yang tidak strategik dengan kadar permintaan rendah, ia menjadi satu cabaran sukar dan bilangan rumah tidak dijual di kawasan-kawasan ini semakin meningkat.,” kata beliau.

 

Menurut beliau lagi, senario pada hari ini sangat berbeza berbanding pada ketika PR1MA ditubuhkan sekitar tahun 2013. Ini kerana cabaran paling kritikal pada saat ini ialah menentukan harga rumah pada paras yang bersesuaian.

 

Pada saat ini, lebih 10,000 unit rumah PR1MA telah ditempah pada nilai RM2.3 bilion. Namun begitu, pemilikannya bergantung kepada kelulusan terhadap pinjaman perumahan pemohon.

 

“Kami sedang memantau perkara ini dan sedang bekerjasama dengan rakan-rakan strategik kami bagi memastikan semua pinjaman perumahan ini dapat diluluskan,” katanya.

 

Lebih 80 peratus rumah PR1MA berharga di bawah RM300,000 dan kebanyakannya jatuh pada kategori RM150,000. Untuk itu, rumah PR1MA boleh disifatkan sebagai sangat mampu milik.

 

Menurut sumber, PR1MA baru sahaja menyiapkan 16 projek dengan jumlah keseluruhan 11,000 unit rumah. Pihak PR1MA telah membayar semuanya namun tidak banyak unit telah terjual.

 

PR1MA kini cuba untuk mendapatkan pulangan daripada projek ini kerana dalam masa sama mereka mempunyai kira-kira 60 lagi projek yang sedang berjalan meliputi sehingga 60,000 unit.

 

PR1MA ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangunkan, membina dan menyelenggara rumah berkualiti tinggi untuk golongan berpendapatan pertengahan di kawasan-kawasan bandar utama.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…