fbpx

[EKSKLUSIF]: “Saya Jaga Kepentingan Semua Pihak Termasuk Penduduk Rumah Panjang” – Khalid Samad

Oleh : Syafiq Hanafi
28 Mei 2019 - 3:03 am

Reading Time: 7 minutes
  • Cadangan projek di Taman Rimba Kiara telah dikecilkan daripada 8 bangunan kepada 4 bangunan.
  • Pembangunan hanya melibatkan 8 ekar dan bukan lagi 12 ekar dan ini termasuk kawasan tempat letak kereta dan tidak melibatkan taman awam.

 

Isu pembangunan Taman Rimba Kiara mula mencetuskan kontroversi pada tahun 2017 apabila DBKL pada ketika itu mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek berskala mega di atas tapak lebih 12 ekar di taman berkenaan.

 

Projek berkenaan pada asalnya melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

 

Projek ini mendapat bantahan penduduk di kawasan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kerana dikatakan bakal merosakkan persekitaran hijau dan ekosistem di kawasan berkenaan.

 

Kami di kapital.my dan hartabumi.com berkesempatan menemubual Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Abdul Samad bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini. Berikut merupakan inti pati sesi berkenaan.

 

 

Boleh YB jelaskan mengenai isu engagement yang kononnya YB dakwa Ahli Parlimen Segambut, YB Hanna Yeoh tidak pernah bertemu YB? 

 

Suka untuk saya terangkan bahawa yang tidak pernah saya temui sebelum ini ialah Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel dan bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.

 

YB Hanna Yeoh saya sudah bertemu dan berbincang dengan beliau mengenai isu ini beberapa kali secara tertutup.

 

Jadi, jika sudah bertemu, apakah sebenarnya isu yang melibatkan Taman Rimba Kiara ini? Atau apakah pertikaian yang menyebabkan berlaku ‘perang mulut’ di antara YB dan penduduk TTDI?

 

Secara umumnya, saya hormati pendirian penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang tidak mahu mengalah atau enggan berkompromi. Pada mereka, tidak boleh dilaksanakan apa-apa pembangunan. Sekiranya ingin juga dilaksanakan projek pembinaan, ia mestilah dilakukan di dalam kawasan 4 ekar tersebut iaitu kawasan sedia ada rumah panjang Bukit Kiara. Ini pendirian mereka.

 

Namun kita kena ambil kira hakikat bahawa kita mewarisi keadaan di mana proses tawaran projek ini telah selesai. Pertama sekali kita perlu ingat bahawa tanah yang telah diberikan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) adalah seluar 12 ekar. Pada asalnya kesemua 12 ekar ini bertujuan untuk pembangunan projek pembangunan ini.

 

Walaubagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan dan hasil daripada rundingan di antara pihak saya dan pemaju, kita berjaya mengurangkan pembangunan tanah daripada 12 ekar kepada 8 ekar. Daripada 8 ekar ini, 6 ekar akan digunakan untuk pembangunan projek perumahan manakala baki 2 ekar untuk pembinaan rumah mampu milik serta rumah ibadat bagi penduduk rumah panjang.

 

Oleh itu pada hemat saya, isu pembangunan Taman Rimba TTDI ini telah menemui jalan penyelesaian.

 

Ini kerana kita akan pulangkan kembali 4 ekar kepada taman awam (daripada 12 ekar). Dan kita tidak sesekali menceroboh taman berkenaan.

 

Kredit: The Edge

 

Tetapi masih lagi terdapat bantahan dari kalangan penduduk?

 

Secara umumnya terdapat dua isu yang menjadi perhatian.

 

Pertama, seperti saya katakan tadi, penduduk TTDI tidak berpuas hati apabila kita masih mahu mengambil lebih daripada 4 ekar. Mereka mahu sebarang pembangunan dilaksanakan pada tanah dengan keluasan secara spesifik 4.4 ekar sahaja. Jangan ganggu kawasan lain.

 

Namun begitu, kita sudah memaklumkan bahawa kita hanya mengambil kawasan tempat letak kereta. Kawasan hijau langsung tidak terjejas.

 

Secara umumnya terdapat dua taman di kawasan berkenaan. Pertama ialah Taman Rimba Kiara dan kedua ialah Taman Persekutuan Bukit Kiara.

 

Taman Persekutuan ini saiznya kira-kira 370 ekar dengan jarak hanya kira-kira satu kilometer. Manakala Taman Rimba Kiara memiliki keluasan 25 ekar. 12 ekar telah diberikan kepada YWP dan jumlah yang tinggal ialah 13 ekar.

 

Penduduk TTDI memiliki taman seluas 370 ekar, namun mereka berpandangan taman kecil itu juga perlu dipelihara. Bagi kami di Kementerian, ini sukar untuk dilakukan kerana pihak pemaju hanya bersetuju untuk mengurangkan setakat itu sahaja. Meminda Kebenaran Merancang (D.O.) tanpa persetujuan pemaju akan menyebabkan DBKL disaman dan ganti rugi dituntut.

 

Di pihak saya, kita telah mengecilkan skala asal projek berkenaan dan ia tidak langsung menjejaskan mana-mana kawasan hijau. Pembangunan yang menjadi perhatian ini hanya melibatkan kawasan tempat letak kereta. Namun pihak penduduk TTDI membantah tetapi mereka tidak dapat mengemukakan alasan konkrit di atas bantahan berkenaan.

 

Kredit: The Star

 

Bukankah terdapat isu lain iaitu isu rasuah dan penyelewengan menteri sebelumnya?

 

Ya benar. Projek pembangunan ini juga dikaitkan dengan isu penyelewengan membabitkan pemimpin politik daripada kerajaan sebelumnya di samping rasa tidak puas hati tentang bagaimana YWP boleh mendapat tanah berkenaan. Ini antara sebab mengapa ianya dibantah tetapi ianya hanya tuduhan yang tidak lagi dibuktikan di mahkamah.

 

Tetapi saya tidak pasti adakah ini isu sebenar berhubung hal ini kerana apabila saya mencadangkan kepada mereka untuk menukar pemaju pun mereka tidak bersetuju.

 

Saya katakan, jika pemaju ini yang anda semua tidak mahu, mungkin saya boleh minta pemaju lain untuk datang dan ‘beli’ perintah pembangunan (DO) dari Memang Perkasa Sdn Bhd bagi memajukan kawasan tersebut. Tapi mereka tetap bantah.

 

 

Saya cukup memahami jika sesetengah pemimpin melihat isu ini sebagai contoh di mana mereka berasa kita seperti tidak memenuhi janji kerana semasa kempen pilihan raya lepas, isu ini menjadi antara tumpuan utama.

 

Cuma saya tidak boleh bersikap sedemikian. Sebagai menteri, saya perlu melihat dari pelbagai sudut. Ya, kita cuba sedaya upaya untuk memenuhi janji pilihan raya tersebut. Sebab itu kita runding kerana sebarang pembatalan akan membawa kepada bayaran pampasan yang tinggi.

 

Bahkan, penduduk rumah panjang Bukit Kiara perlukan rumah baru. Mereka sudah lama tunggu. Dalam situasi ini, apakah solusi menang-menang atau yang paling ideal?

 

Adakah proses rundingan projek ini sebelum pilihan raya umum ke-14 antara pihak YWP dan Pemaju melalui prosedur betul?

 

Secara umumnya ia sah berasaskan undang-undang. Namun, ia menjadi persoalan dari sudut moral atau etikal.

 

Tanah berkenaan pada asalnya adalah milik Kerajaan Persekutuan di bawah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tanah tersebut kemudiannya diberikan kepada YWP dengan bayaran premium. Bayaran berkenaan dijelaskan oleh YWP kepada PTG. Tanah berkenaan turut dizonkan semula untuk pembangunan.

 

Bagi YWP pula, terdapat syarat diberikan untuk mereka, termasuk keperluan bagi menangani isu rumah panjang. Sehubungan itu, harga tanah telah direndahkan bagi menjadikannya viable untuk pembangunan.

 

Sekitar tahun 2014 tanah berkenaan diserahkan kepada pihak YWP dan premium sudah dibayar serta nama juga sudah ditukarkan.

 

Kemudian pihak YWP mencari pemaju untuk membangunkan tanah berkenaan disebabkan mereka tidak mempunyai lesen sebagai pemaju. Sehubungan itu, mereka menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat iaitu Memang Perkasa Sdn Bhd dan ia merupakan anak syarikat kepada Malton.

 

Malton, sebagaimana anda semua mungkin tahu adalah syarikat yang berkait rapat dan mempunyai hubungan dengan pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan sebelum ini.

 

Terdapat beberapa persetujuan di antara kedua-duanya termasuk aspek perkongsian keuntungan. Melalui keuntungan berkenaan, YWP dapat menggunakannya untuk tujuan kebajikan, sama dengan matlamat asal penubuhan YWP.

 

Bagaimana cara pelantikan pemaju ini dibuat oleh YWP?

 

Pelantikan pemaju dibuat secara lantikan terus oleh menteri sebelum saya. Ianya boleh dipersoalkan dari segi moral, namun dari sudut tadbir urus, itulah kuasa dan prosedur yang ada.

 

Apabila YB pertama kali bertemu dengan Malton atau Memang Perkasa ini, apakah pendirian YB pada ketika itu?

 

Saya sudah menyemak dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa perintah pembangunan sudah dikeluarkan, tanah sudah ditukarkan nama dan apabila kita berunding, ia rundingan dari titik (kedudukan) yang agak lemah kerana kita perlu bergantung kepada persetujuan pihak pemaju.

 

Pihak penduduk TTDI telah mencabar keabsahan perintah pembangunan yang dikeluarkan kepada pemaju dan mahkamah memutuskan bahawa arahan berkenaan adalah sah.

 

Keputusan ini dibuat selepas pilihanraya.

 

Sebagai pengamal undang-undang, mereka (Ambiga dan Cynthia) patut faham akan keputusan mahkamah dan mendidik masyarakat untuk akur dan patuh dengan keputusan mahkamah. Bukan mengajar mereka sebaliknya.

 

Dalam pertemuan dengan pemaju, kita mencadangkan untuk projek berkenaan dikecilkan skalanya sehingga 50 peratus. Hasilnya pembangunan dikurangkan daripada 12 menjadi 6 ekar dan 2 ekar lagi diperuntukkan untuk kuil serta rumah bagi penduduk rumah panjang.

 

Jumlah unit kondominium mewah yang akan dibina juga dikurangkan daripada dua ribu unit kepada seribu unit sahaja. Daripada 8 blok kepada 4 sahaja. Dan ketinggian blok diturunkan dari 51 tingkat kepada 45 tingkat.

 

Pada masa sama DBKL tidak perlu membayar pampasan, penduduk rumah panjang mendapat rumah yang diperlukan, taman dan kawasan hijau tidak terjejas. Nilai projek juga dikecilkan daripada RM3 bilion kepada RM1.5 bilion.

 

Apakah manfaat kepada penduduk rumah panjang sama dengan persetujuan sebelumnya?

 

Ya. Persetujuannya sama. Tiada apa-apa perubahan. Mereka akan menerima rumah berkenaan secara percuma dan bagi generasi kedua mereka akan ditawarkan rumah berkenaan dengan separuh harga.

 

Rumah Panjang Taman Rimba Kiara. Kredit: Propertyguru

 

Melalui laporan berita sebuah portal, YB Hanna Yeoh menyebutkan tidak timbul isu pampasan, kalau YWP atau DBKL memulangkan semula wang yang telah dibayar oleh pemaju. Apa pandangan YB?

 

Secara umumnya jumlah yang telah dibayar itu mencecah RM155 juta. Kita tahu bahawa pihak pemaju telah membuat sebahagian pembayaran pada tahun 2014 kepada PTG dan wang berkenaan sudah tentu telah digunakan. Jika wang berkenaan baru dibayar, dan kesemuanya kepada DBKL, mungkin ia boleh diteliti semula. Namun pembayaran sudah dibuat lama dahulu dan bukan semuanya kepada DBKL.

 

Pihak DBKL sudah tentu mempunyai wang. Namun isunya mengapa kita perlu menggunakan wang berkenaan untuk membayar kepada pemaju dan kemudian kita perlu mengeluarkan wang sehingga RM30 juta bagi membina rumah kepada penduduk rumah panjang berkenaan. Siapa yang akan keluarkan duit untuk pembinaan rumah baharu ini? Ianya bukan urusan DBKL.

 

Sedangkan kita boleh menggunakan wang berkenaan untuk keperluan lain di Kuala Lumpur. Cadangan ini, tidak mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk DBKL dan warga KL keseluruhnya. Kita tidak menyelesaikan masalah penduduk rumah panjang dan isu-isu berkaitan.

 

Adakah keputusan yang dilaksanakan YB dibuat secara bersendirian?

 

Kita mempunyai jawatankuasa untuk membincangkan hal ini di peringkat Kementerian.

 

Ada yang menyatakan SPRM membuka kembali kes ini dan dari aspek mana siasatan dilakukan oleh SPRM?

 

Pihak C4 telah menunjukkan hal berkaitan hubungan pemimpin politik kerajaan terdahulu dengan pemaju. Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat.

 

Sebagai menteri yang mempunyai kuasa eksekutif, mengapa YB tidak batalkan sahaja dan jadi popular di kalangan penduduk TTDI?

 

Ini ialah perbezaan saya dengan YB Hanna. Hanna melihat kepentingan penduduk sahaja dan saya memahami keadaan itu kerana beliau merupakan Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.

 

Namun saya pula perlu melihat kepentingan semua pihak terlibat. Saya harus fokus untuk mendapatkan penyelesaian terbaik. Sehubungan itu, kita akan menyerahkan kepada Kabinet untuk memutuskan hal ini.

 

Saya bukan melindungi pemaju, namun saya melindungi dana awam. Mengapa kita mahu menggunakan dana sehingga RM150 juta untuk membayar semula pemaju dan menambah sehingga RM30 juta bagi membina rumah bagi penduduk rumah panjang, jika ia boleh disediakan oleh pemaju dalam penyelesaian yang dicadangkan.

 

Lebih buruk, imej kerajaan akan tercalar kerana kita tidak menghormati perjanjian yang telah dibuat yang mana disahkan sendiri oleh mahkamah.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Front Facade
Kapital

Lokasi Adalah ‘Senjata’ Penting Tarikan Hartanah

Reading Time: 4 minutes Tatkala pasaran hartanah semasa berada dalam situasi yang mencabar, apakah faktor yang boleh menarik minat orang ramai untuk…

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…